18 Februari 2011

HOSPITAL AWAM ATAU SWASTA? PILIHAN DI TANGAN ANDA

Bernama
Oleh Zulkiple Ibrahim
17/2/2011




KUALA LUMPUR, 17 Feb (Bernama)-- Kemudahan penjagaan kesihatan di negara ini adalah antara yang terbaik berikutan perbelanjaan besar yang diperuntuk kerajaan, tetapi masih ramai yang lebih gemar mendapatkan khidmat rawatan masalah kesihatan mereka di hospital swasta.

Persoalannya kenapa?

Menurut pengamal perubatan Dr Y. Foong, terdapat beberapa faktor yang menyebabkan ada dalam kalangan masyarakat yang memilih rawatan di pusat penjagaan kesihatan swasta.

"Mungkin ada orang yang tidak suka dengan waktu menunggu yang agak lama di hospital awam. Kerana beberapa sebab tertentu, masa untuk menerima rawatan mungkin agak lama dan sudah tentu ada yang tidak gemar dengan situasi sebegini.

"Ada juga yang mungkin tidak berapa puas hati dengan rawatan yang diberikan.

"Kadang kala juga mereka mahu mendengar pendapat kedua tentang masalah yang mereka hadapi," kata Dr Foong.

APA KATA PESAKIT?

Peniaga Abdul Rahman Bakar, yang lebih suka mendapatkan rawatan di hospital swasta berkata:

"Di hospital swasta, saya dapat rawatan yang cepat dan saya juga boleh pilih pakar yang saya mahu untuk rawatan. Saya juga boleh pilih pakar untuk konsultasi masalah kesihatan saya," kata beliau.

Pakar teknologi maklumat Steven Lim bersetuju dengan pendapat Abdul Rahman.

Katanya rawatan di hospital swasta dapat diberikan dengan cepat sementara konsultasi dan temujanji diadakan di waktu yang sesuai bagi pesakit.

"Keluarga dan rakan dapat melawat tanpa ada banyak halangan," katanya.

INSURANS PENJAGAAN KESIHATAN SWASTA

Kini ramai yang suka pergi ke hospital swasta kerana majikan mereka menyediakan insurans penjagaan kesihatan sebagai satu daripada kemudahan di tempat kerja.

Terdapat pelbagai perlindungan insurans kesihatan, daripada pelan keluarga hinggalah kepada pakej perlindungan pakar.

"Perkara pertama seseorang yang mendapat perlindungan insurans perlu lakukan ialah menghubungi syarikat insurans untuk mengetahui perlindungan perubatan yang diberikan bagi sesuatu khidmat rawatan itu.

"Mereka juga perlu mengetahui samada perlindungan tersebut meliputi konsultasi serta ujian bagi pesakit luar," kata aktivis sosial dan pengguna Fatimah Mansur, sambil mengingatkan kebanyakan polisi insurans kesihatan tidak meliputi masalah kesihatan yang sedia ada serta juga penyakit kronik.

Juga penyakit jangka panjang yang tidak boleh sembuh.

"Adalah baik bagi anda menghubungi syarikat insurans untuk mengetahui rawatan serta perlindungan kesihatan yang diberikan," kata Fatimah.

KOS TINGGI

"Mahal lah," kata peruncit K. K. Wong yang mahu dikenali sebagai Kay, bila ditanya sama ada beliau memilih hospital swasta atau pusat kesihatan awam.

Menurut Kay, kerajaan membelanjakan berbilion Ringgit untuk menyediakan serta meningkatkan kemudahan penjagaan kesihatan awam di negara ini.

"Kerajaan membelanjakan wang yang banyak dari segi penjagaan kesihatan untuk orang ramai. Sudah tentu jika anda mencari kemewahan seperti bilik yang dilengkapi televisyen, ia tidak didapati di hospital kerajaan.

"Tetapi hospital sepatutnya bagi mereka yang sakit untuk mendapatkan rawatan, jika anda nak tengok televisyen lebih baik duduk di rumah sahaja," kata beliau.

Kata Kay, orang ramai perlu sabar dengan masa menunggu dan rawatan di hospital awam.

"Terpaksa menunggu untuk konsultasi serta mendapatkan ubat dan juga masa untuk masuk wad adalah perkara biasa. Apatah lagi bayaran yang dikenakan amat murah (berbanding hospital swasta)", tambah Kay.

PERMATA DALAM SISTEM PENJAGAAN KESIHATAN

Seorang doktor yang sudah bersara, M. Anthony, berkata bekerja di hospital kerajaan merupakan sesuatu yang beliau banggakan.

"Semasa zaman kolonial serta tahun-tahun selepas Merdeka, kemudahan serta infrastruktur kesihatan awam memang tidak mencukupi serta ketinggalan. Tetapi kini, semua kelengkapan di hospital kerajaan di negara ini bertaraf dunia," kata Anthony yang merupakan graduan perubatan dari universiti di Ireland pada tahun 1950-an.

Kata Anthony hospital kerajaan adalah permata dalam sistem penjagaan kesihatan di negara ini. Hospital ini memang mudah menerima reputasi yang tidak baik tetapi sebenarnya merupakan model atau contoh bagi kecemerlangan di bidang klinikal.

"Hospital ini masih merupakan institusi yang dituju pesakit bila mereka memerlukan rawatan," kata beliau.

Katanya masalah utama ialah kekurangan petugas di hospital awam.

"Sepatutnya bilangan jururawat, doktor, ahli fisioterapi dan petugas perubatan lain mencukupi, tetapi bilangan pesakit yang mahukan rawatan terlampau ramai. Ini menunjukkan masih ramai yang mahukan perkhidmatan di hospital kerajaan", kata beliau.

Bila jumlah pesakit yang mahukan rawatan di hospital awam menjadi begitu ramai bila dibandingkan dengan petugas yang berkhidmat, sudah tentu beban tugas menjadi lebih berat, tambah beliau.

RAWATAN PERCUMA

Pendidik V. Vasugi mempunyai pandangan sebegini:

"Hospital awam tetap ada bagi kita semua. Ini sebabnya kita perlu menghargai mereka. Mereka memberikan khidmat cemerlang dan ini kita patut bangga", kata beliau.

Kerajaan juga menyediakan rawatan percuma di hospital bagi penjawat awam serta keluarga mereka dan ini antara sebabnya masih ramai yang mahukan perkhidmatan di hospital awam.

"Kerajaan memberikan perkhidmatan rawatan percuma bagi kakitangan awam serta keluarga mereka. Ini jarang berlaku di negara lain," kata Ahmad Kassim, yang bersara daripada perkhidmatan diplomatik Malaysia.

KHIDMAT CEMERLANG

Baru-baru ini juga, penulis menerima rawatan di wad ortopedik di sebuah pusat perubatan awam di sini.

Jururawat, doktor serta atendan di wad itu menjalankan tugas mereka secara profesional dan penuh dedikasi.

Contohnya bila 'loceng bantuan' dibunyikan pesakit, tak sampai beberapa saat jururawat muncul untuk memberikan bantuan yang diperlukan pesakit.

Para pegawai perubatan serta juga pakar menjalankan tugas mereka di wad itu secara bergilir-gilir hampir 24 jam sehari.

Bagi penulis, kecemerlangan serta profesionalisme tetap wujud di hospital awam yang merupakan permata dalam sistem kesihatan di Malaysia.

-- BERNAMA

3 ulasan:

  1. Apa yang terpenting adalah kualiti perkhidmatan yang disediakan..

    Hospital kerajaan sebenarnya lebih baik terutamanya dari segi kos rawatan...

    Kadang2 pihak swasta sendiri merujuk kepada hospital kerajaan untuk mendapatkan rawatan lanjutan dan komprehensif..

    BalasPadam
  2. betul...tapi banyak juga rungutan kenapa kakitangan awam sendiri beralih ke hospital swasta.contohnya pengendalian wanita bersalin dan mengandung...kadang kala..dr atau staff hospital kerajaan tidak memahami atau sengaja tidak mahu memahami kepayahan wanita yang sarat mengandung atau mengalami alahan.
    Layanan dr hospital swasta lebih baik buat ibu2 yang alahan teruk ketika mengandung.

    BalasPadam
  3. Balik pada kemampuan. Jika mampu tak salah dapatkan yang terbaik.

    BalasPadam