Berita DBKL 31/3/2011 | |
| |
Seramai 183 penghuni Kuarters Jalan Cochrane yang terdiri dari kakitangan kerajaan diberi tempoh seminggu lagi untuk berpindah ke Projek Perumahan Rakyat (PPR) Sri Alam bermula 8 April ini. Yang Berbahagia Datuk Amin Nordin Abd Aziz, Timbalan Ketua Pengarah Perkhidmatan DBKL berkata, semua penghuni boleh mula berpindah selepas kerja membaik pulih kuarters itu selesai pada 7 April ini. “Buat sementara waktu, kita sedang membaik pulih unit yang mengalami beberapa kerosakan kecil sebelum memberi kebenaran kepada penghuni menetap di kuarters Sri Alam,” katanya dalam sidang media di Menara DBKL 3, 30 Mac 2011. Sementara itu, 56 keluarga yang turut dipindahkan ke PPR Muhibbah itu merupakan pesara kerajaan dan dipindahkan di atas budi bicara kerajaan. “Keluarga pesara yang sudah hilang kelayakan menghuni kuarters kerajaan turut diberi peluang menduduki PPR ini demi menjaga kebajikan pesara-pesara kerajaan”, katanya lagi. Tambahnya lagi, wang perbelanjaan sebanyak RM 2,000 turut diberikan kepada penduduk yang berpindah selain menyediakan bantuan perkhidmatan lori secara percuma bagi meringankan beban mereka. Turut hadir adalah Pengarah Pengurusan Perumahan DBKL, Encik Sukiman Surahman, Setiausaha Bahagian Pengurusan Hartanah Jabatan Perdana Menteri, Encik Hasnol Zam Zam Ahmad dan Pengerusi Kongres Kesatuan Pekerja dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs), Encik Ja’apar Mansor. |
Utusan Malaysia
31/3/2011
Penghuni kuarters Jalan Cochrane diberi tempoh seminggu lagi
KUALA LUMPUR 30 Mac - Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) melanjutkan tempoh pemindahan penghuni kuarters kerajaan Jalan Cochrane di sini sehingga 7 April ini.
Timbalan Ketua Pengarah Perkhidmatan DBKL, Datuk Mhd. Amin Nordin Abdul Aziz berkata, lanjutan seminggu itu adalah bagi membolehkan mereka menerima surat tawaran rumah yang disediakan.
Seramai 183 penghuni akan berpindah ke Projek Perumahan Rakyat (PPR) Seri Alam manakala 56 lagi ke PPR Kampung Muhibbah.
Penghuni selebihnya daripada 382 jumlah keseluruhan penghuni di Blok A dan B itu akan berpindah ke kuarters kerajaan di Putrajaya dan Jalan Duta.
"Tempoh yang ada sebelum surat tawaran diserahkan akan digunakan oleh DBKL untuk membaik pulih rumah yang ditawarkan supaya penghuni dapat masuk ke rumah yang lebih baik dan selesa.
"Penduduk akan tinggal di perumahan itu sehingga pembangunan di kawasan kuarters kerajaan Jalan Cochrane ini siap dan mereka akan dibenarkan untuk pulang semula ke sini," katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang akhbar mengenai perkara itu di Menara DBKL, Jalan Raja Abdullah di sini hari ini.
Turut hadir, Pengarah Bahagian Perumahan DBKL, Sukiman Surahman dan Setiausaha Bahagian Pengurusan Hartanah (BPH) Jabatan Perdana Menteri (JPM), Hasnol Zam Zam Ahmad.
Sementara itu, Hasnol berkata, pihak BPH telah membuka bilik gerakan di kuarters itu bagi melancarkan urusan perpindahan penduduk serta memudahkan mereka mendapatkan bantuan perkhidmatan lori secara percuma.
Tambahnya, wang perbelanjaan perpindahan sebanyak RM2,000 juga turut diberikan kepada penduduk yang berpindah bagi meringankan beban mereka.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan