16 Mei 2011

TRANFORMASI GURU KUASAI ICT SEJAJAR ASPIRASI NEGARA

Utusan Malaysia
16/5//2011




DEMI mendidik anak bangsa beberapa guru meredah Laut Sulawesi selama 20 minit dari jeti Kampung Tanjung Kapor ke Pulau Pababaq, Semporna, Sabah.g>Presiden NUTP, Adnan Hashim HARI ini amat istimewa buat warga pendidik. Sambutan Hari Guru peringkat kebangsaan di Sarawak diharap membawa berita gembira. Akan adakah insentif baru bagi meningkatkan profesionalisme perguruan. Bagaimana pula hala tuju dan masa depan kerjaya ini. Presiden Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP), Adnan Hashim meluahkan pandangan dan harapan guru kepada wartawan Berita Harian, ROHANIZA IDRIS serta RASHIQAH ILMI ABD RAHIM.

APAKAH relevannya tema Hari Guru tahun ini iaitu ‘Guru Penjana Transformasi Pendidikan Negara’ dengan peranan pendidik dalam meningkatkan kecemerlangan pelajar Tema ini mengingatkan kita pentingnya peranan guru sebagai penjana transformasi pendidikan negara yang memikul semua perancangan pendidikan dirancang kerajaan. Mereka bukan hanya berperanan mendidik, malah melakukan transformasi seiring aspirasi negara seterusnya melaksanakan matlamat Hari Guru. Bagi mencapai usaha ini, guru perlu menerapkan kaedah baru dalam pembelajaran kerana masa depan negara bergantung kepada keupayaan guru melahirkan generasi berkemahiran dan memenuhi cita rasa bangsa dan negara. Justeru, sempena Hari Guru tahun ini, kami memberi perhatian khusus kepada usaha meningkatkan kemahiran guru terutama dalam bidang teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) agar mereka lebih kreatif dan inovatif dalam teknik pembelajaran di samping memiliki ilmu dan pengetahuan lebih luas.

Transformasi ini perlu seiring dengan semangat 1Malaysia yang mementingkan perpaduan. Ia menjadi tanggungjawab semua pihak terutama guru dalam membentuk keseimbangan pelajar yang datang daripada pelbagai kaum dan keturunan dalam proses membentuk perpaduan sekali gus semangat kerjasama mereka. Saya berharap perpaduan yang dipupuk di sekolah terus kukuh dan berkekalan sehingga menjadi amalan dalam kehidupan masyarakat majmuk.

Namun, bagi menggalakkan guru meningkatkan kecemerlangan pelajar, kerajaan harus menunaikan janji terhadap pendidik. Tahun lalu, kerajaan mencadangkan pemberian ganjaran kepada guru berkelulusan PhD tetapi belum dilaksanakan. Saya harap ia dapat dilaksanakan pada tahun ini.

Apabila transformasi berlaku, kerja guru bertambah kompleks. Apakah cabaran utama guru kini dalam melahirkan insan cemerlang?
Tidak dinafikan perkembangan semasa memberi kesan kepada proses pembentukan sahsiah terutama di kalangan anak muda. Saya melihat cabaran utama guru untuk melahirkan generasi seimbang rohani dan jasmani adalah perkembangan teknologi maklumat yang tidak terkawal. Kebanyakan pelajar mampu memiliki komputer sendiri bahkan pemahaman mereka terhadap aplikasi internet kadangkala melebihi pemahaman orang dewasa. Malangnya, kebanyakan bahan negatif disebarkan dalam internet. Dalam menangani masalah ini, guru harus mendidik pelajar cara menapis bahan negatif.

Isu negatif senario politik negara di media turut memberi kesan buruk kepada minda pelajar, apatah lagi akhbar sering dijadikan rujukan. Pelajar membuat rumusan terhadap isu dipaparkan sehingga menjadi bahan bualan dan jenaka. Keadaan ini menyukarkan tugas pendidik kerana tidak mudah menyingkirkan elemen negatif yang diterapkan kepada mereka tambahan pula jika isu politik.

Bagaimana NUTP melihat soal disiplin pelajar sekarang, apakah ia sudah sampai ke tahap membimbangkan?

Pelajar kini sering melakukan kejutan kepada masyarakat. Masalah sosial pelajar semakin membimbangkan kerana mereka bukan saja membuli atau ponteng, bahkan merogol, membunuh, mencederakan orang dan terbabit dadah. Isu disiplin pelajar harus diberi perhatian serius. Namun, ia bukan tugas pendidik semata-mata. Ibu bapa perlu bertindak pantas mengenal pasti rakan terdekat anak agar pergerakan mereka dikawal. Usaha ini menuntut tanggungjawab semua pihak supaya salah laku anak dapat diperbetulkan daripada awal.

Saya juga percaya pelaksanaan hukuman rotan membantu mendisiplinkan pelajar. Hal ini tidak patut menjadi isu besar selagi pelaksanaannya berlandaskan panduan seperti pemberian surat amaran terhadap salah laku anak kepada ibu bapa. Ini penting kerana saya tidak mahu ada guru dihadapkan ke mahkamah gara-gara bertindak luar batas sedangkan pada awalnya mereka ikhlas untuk mengajar.

Dalam mengatasi masalah sosial pelajar, saya berharap semua pihak dapat memikirkan penyelesaian terbaik dan bukan menggalakkan masalah ini. Misalnya, sekolah untuk pelajar wanita terlanjur bukanlah langkah terbaik kerana ia seperti menggalakkan perbuatan itu. Bagaimana pula dengan pelajar lelaki yang melakukan kesalahan sama? Penyelesaian yang baik seharusnya adil kepada dua-dua pihak.

Dakwaan guru terpaksa melaksanakan tugas pentadbiran dan pengurusan menjejas tumpuan terhadap tugas hakiki sebagai pendidik. Apakah langkah menanganinya.

Guru kini bukan saja bertindak sebagai pendidik dan mengajar, malah terpaksa menyediakan laporan tugas mereka. Kajian menunjukkan tugas dan tanggungjawab guru meningkat setiap tahun. Peningkatan ini kesan transformasi sistem pendidikan yang membabitkan penggubalan dasar dan sistem serta bertambahnya mata pelajaran. Antara pendekatan yang perlu dilaksanakan kementerian ialah mengambil lebih ramai guru dan kakitangan sokongan dalam memperkemaskan urusan sekolah.

Bagaimana isu perpindahan dan penempatan guru.

NUTP pernah menyatakan pendirian kepada kementerian bahawa masalah ini boleh memberi tekanan mental dan menjejaskan kualiti kerja guru. Amalan yang ada tidak menguntungkan guru dan kerajaan kerana lazimnya guru yang dihantar ke sesebuah sekolah adalah lulusan universiti atau institut perguruan. Kesannya, mereka kurang berpengalaman sekali gus menjejaskan sistem dan keberkesanan pembelajaran. Apabila sudah mendapat pengalaman dalam tempoh masa agak lama, mereka dipindahkan. Keadaan ini memberi kesan buruk kepada pelajar kerana sekolah luar bandar seolah-olah menjadi tempat bereksperimen.

Justeru, guru muda atau yang sudah lama berkhidmat harus ditempatkan di negeri kelahiran demi mengekalkan kualiti kerja. Kos penghantaran dan penempatan guru juga dapat dikurangkan kerana elaun berpindah guru dari Semenanjung ke Sarawak atau Sabah boleh mencecah ribuan ringgit. Masalah gangguan emosi dan prestasi guru yang tinggal berjauhan dari keluarga juga dapat diatasi. Begitu juga masalah membabitkan komunikasi, budaya dan cara hidup.

3 ulasan:

  1. YGBHG & YANG BERUSAHA,DATO, PRESIDEN DAN SETIAUSAHA AGONG NUTP.
    MOHON DIKAJI SEMULA DAN POHON KEPADA KPM/JPA AGAR TEMPOH DARI GRED DG41 KE DG44 YANG SEBELUM INI 10 TAHUN DIKURANGKAN KEPADA 6 TAHUN TIDAK TERMASUK SELAIN DARI 3 TAHUN DIKURANGKAN SEMASA PPPLD KE PPPS. SEPERTI PTD. TOLONGLAH SEBAB KAMI YANG BARU DAPAT GRED DG41 TAPI DAH NAK PENCEN MAU JUGA RASA DG44. TOLONGLAH NUTP!TOLONGLAH NUTP! TOLONGLAH NUTP!

    BalasPadam
  2. Kami dari kumpulan sokongan harap JPA agar tempuh dari gred N27 ke gred N32 dikurangkan daripada 5 tahun kepada 3 tahun. TOLONGLAH SEBAB KAMI YANG BARU DAPAT GRED N27DARI N17 TIDAK MERASA KUP DAN GAJI KAMI TELAH KETINGGALAN DARI RAKAN RAKAN KAMI YG AMBIL KUP. KAMI HANYA MENDAPAT SATU KENAIKKAN SAHAJA BERBANDING MEREKA YG AMBIL KUP MENDAPAT 5/6 KENAIKKAN GAJI. WALHAL KAMI MENGIKUT CARA KENAIKAN PANGKAT BIASA DENGAN MENGAMBIL PEPERIKSAAN KPSL, LULUS DAN TEMUDUGA DGN SPA 4/5 KALI BARU DAPAT N27. KAMI JUGA TELAH BERKHIDMAT 37 TAHUN DAH NAK PENCEN MAU JUGA RASA N32. JIKA RAYUAN KAMI TIDAK DAPAT DIPERTIMBANGKAN MINTA SUPAYA KPSL KAMI DIKEMBALIKAN KE JAWATAN ASAL N17 SUPAYA KAMI DAPAT KENAIKKAN GAJI SAMA DGN RAKAN2 KAMI YG AMBIL KUP.TOLONGLAH JPA KHASNYA PM KITA YAB DATO' SRI NAJIB !TOLONGLAH CUEPACS! TOLONGLAH JPM!TOLONGLAH DATO ' SRI NAJIB!

    BalasPadam
  3. aku tak minat nak komen kat sini..asyik-asyik muka cikgu jea.. boleh jalan la..!!!

    BalasPadam