Bernama
7/10/2011
  KUALA LUMPUR, 7  Okt (Bernama) -- Kerajaan diminta mengambil langkah  mengawal peningkatan harga barang yang mungkin berlaku susulan  pengumuman kenaikan gaji dan pemberian bonus kepada penjawat awam oleh  Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak Jumaat.
Setiausaha Agung Kongres Kesatuan Pekerja-pekerja dalam Perkhidmatan  Awam (Cuepacs) Lok Yim Pheng berkata jika perkara itu tidak dikawal,  matlamat kerajaan untuk mengurangkan beban yang ditanggung penjawat awam  tidak tercapai.
"Dengan kenaikan gaji ini, saya amat berharap kerajaan memberi penekanan  kepada pengawalan harga barang keperluan harian," katanya ketika  dihubungi Bernama di sini.
Pada pembentangan Belanjawan 2012 di Dewan Rakyat di sini, Najib yang  juga Menteri Kewangan mengumumkan kenaikan gaji tahunan penjawat awam  antara RM80 hingga RM320 mengikut gred bermula tahun depan.
Lok turut menyambut baik bantuan yuran pengajian kepada penjawat awam  untuk menyambung pengajian ke peringkat lebih tinggi secara separuh  masa.
"Ini memberi peluang kepada penjawat awam untuk meningkatkan pengetahuan di samping mengekalkan prestasi kerja mereka," katanya.
Mulai 2012, kerajaan dengan kerjasama institusi pengajian tinggi awam  (IPTA) akan menawarkan 5,000 peluang pengajian peringkat ijazah sarjana  dan 500 doktor falsafah (PhD) kepada penjawat awam yang layak termasuk  guru dengan peruntukan RM120 juta.
Kerajaan juga akan memperkenalkan Sistem Saraan Baru Perkhidmatan Awam  (SBPA) menggantikan Sistem Saraan Malaysia (SSM) dengan matlamat  mentransformasikan Perkhidmatan Awam Malaysia supaya menjadi organisasi  yang lebih dinamik, responsif dan berorientasikan prestasi.
Najib berkata SBPA memperkenalkan prinsip perubahan radikal dalam  pengambilan dan pengisian jawatan serta pembangunan kerjaya dengan teras  pengekalan atau penamatan perkhidmatan penjawat awam berasaskan  prestasi kerja.
Sementara itu, Lok yang juga Setiausaha Agung Kesatuan Perkhidmatan  Perguruan Kebangsaan meminta kerajaan menimbang pemansuhan kutipan yuran  persatuan ibu bapa dan guru (PIBG) kepada mereka yang berpendapatan  rendah.
"Saya cadangkan agar kerajaan memansuhkan kutipan yuran PIBG kepada  keluarga yang berpendapatan kurang daripada RM3,000. Ini dapat  mengurangkan beban keluarga yang masih dalam kategori pendapatan  rendah," katanya.
Pada masa yang sama beliau gembira kerana Perdana Menteri memberi  perhatian kepada profesion perguruan apabila memendekkan tempoh kenaikan  gred.
Berdasarkan skim baru mengikut 'time-based', seseorang guru akan  dinaikkan gred DG44 pada tahun ke lapan dan gred 48 pada tahun ke-16  selain guru bukan siswazah gred 29 kepada gred 32 dalam masa lapan tahun  sahaja.
Di bawah SBPA juga, kenaikan gred 32 ke 34 turut mengguna pakai kaedah  'time-based' lapan tahun, berbanding bergantung kepada kekosongan yang  diamalkan sekarang.  -- BERNAMA  
Tiada ulasan:
Catat Ulasan