Rahimah
Najib dan Rosmah meluangkan masa beramah mesra dengan Rahimah, 
balu Allahyarham Shaharudin yang mati ditembak ketika menziarahi 
keluarga Allahyarham di Dengkil, hari ini. 
 
DENGKIL - Timbalan Ketua Pengarah Kastam (Perkastaman/Cukai Dalam Negeri), Allahyarham Datuk Shaharuddin Ibrahim yang mati ditembak Jumaat lepas, dinaikkan gred daripada Jusa B kepada Jusa A.
Perkara itu diumumkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak semasa menziarahi keluarga Allahyarham di Dengkil hari ini.

Turut hadir isteri Perdana Menteri Datin Seri Rosmah Mansor, Ketua Setiausaha Negara Datuk Seri Dr Ali Hamsa, Peguam Negara Tan Sri Abdul Gani Patail, Ketua Setiausaha Perbendaharaan Datuk Dr Mohd Irwan Serigar Abdullah serta calon Parlimen Putrajaya Tengku Adnan Tengku Mansor.

Najib berkata, dengan kenaikan gred tersebut, bererti faedah gratuiti dan pencen tahunan yang akan diterima balu Allahyarham juga bertambah.

"Dalam menjalankan tugas demi kepentingan negara maka kerajaan mengambil keputusan menaikkan gred Allahyarham daripada Jusa B kepada Jusa A.

"Ia sebagai pengiktirafan kerajaan untuk pengorbanan mutlak dilakukan Allahyarham sebagai seorang pegawai tinggi kerajaan yang gigih serta berdedikasi dalam menjalankan tugas demi negara," katanya yang turut menyampaikan sumbangan kepada balu Allahyarham.

Allahyarham Shaharuddin, 58, mati ditembak dua lelaki bermotosikal ketika dalam perjalanan ke pejabatnya di Putrajaya, Jumaat lepas.

Pada masa sama, Najib berharap semua petugas Kastam akan lebih berhati-hati dalam menjalankan tugas.

Katanya mungkin ada beberapa kaedah boleh digunakan untuk mengelak menjadi sasaran mereka yang berniat jahat.

"Saya juga sudah minta pihak polis lakukan siasatan rapi dan segera serta mahu kes itu dapat diselesaikan agar mereka yang bertanggungjawab dibawa ke muka pengadilan," katanya.

Sementara itu, balu Allahyarham, Datin Rahimah Ibrahim mengucapkan terima kasih atas keprihatinan Perdana Menteri terhadap beliau dan anggota keluarganya.

Rahimah yang kelihatan sebak berkata, beliau sekeluarga amat terharu dengan kehadiran Perdana Menteri dan isteri Datin Seri Rosmah Mansor.

"Terima kasih kerana Perdana Menteri begitu mengambil berat terhadap arwah sebagai penjawat awam, terima kasih juga di atas kenaikan gred yang diumumkan perdana menteri," katanya selepas menerima kunjungan Perdana Menteri di sini.

Rahimah yang turut ditemani dua anaknya Akhtar dan Suhana, berkata: "Alhamdulillah kenaikan gred itu sedikit sebanyak dapat meringankan beban kami selain dapat menjaga kebajikan keluarga."

Beliau juga berkata, arwah suami sering berkongsi pengalaman mengenai risiko tugasnya namun bagi Allahyarham itu adalah perkara biasa.

"Jadi saya sering mengingkatkan arwah supaya berhati-hati. Tetapi semasa hari kejadian arwah kelihatan tergesa-gesa untuk ke tempat kerja sehingga tak sempat nak bersalam," katanya yang reda dengan pemergian suaminya.

Allahyarham juga, katanya, sering berpesan kepada anak-anak supaya mengamalkan sikap integriti semasa menjalankan tugas.- Bernama