Utusan Malaysia
18/8/2013
18/8/2013
KOTA BHARU 18 Ogos - Hanya 900 daripada lebih 18,000 orang kakitangan
Kemas yang berkhidmat di seluruh negara berjawatan tetap dan selebihnya
merupakan kakitangan kontrak.
Ketua Pengarah Kemas, Datuk Hassan Mohd. Amin berkata, meskipun
jabatan itu telah terbukti banyak berjasa membangunkan modal insan
negara sejak 1961, kakitangannya yang bertaraf tetap di peringkat negeri
dan daerah mempunyai gred gaji yang rendah berbanding pegawai kerajaan
jabatan lain.
Sehubungan itu, katanya, Menteri Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan
Wilayah, Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal telah mengarahkan usaha segera
dilakukan bagi memastikan kepentingan dan kebajikan kakitangan Kemas
ditingkatkan ke arah yang lebih baik.
Beliau berkata, rundingan telah dimulakan dengan Suruhanjaya
Perkhidmatan Awam (SPA) dan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) dan kini
memasuki fasa akhir untuk menstruktur semula pentadbiran dan skim
perjawatan Kemas yang kali terakhir dilakukan lebih 10 tahun lalu.
"Kakitangan kontrak kita ada yang telah berkhidmat lebih 20 hingga 30
tahun dengan beban tugas pelbagai tetapi mereka tidak ada kemudahan
pencen, pinjaman, perubatan dan sebagainya yang seharusnya dinikmati
sedangkan mereka juga penjawat awam.
"Dalam masa sama, kita juga mahu JPA melihat semula skim gaji untuk
pegawai kita di peringkat daerah yang walaupun bertaraf tetap tetapi
berada dalam gred rendah, kalau boleh gaji pegawai yang mengetuai
jabatan di daerah yang besar dan berkompleksiti tinggi dinaik taraf
sampai peringkat kumpulan A," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyampaikan
Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC) Kemas Kelantan 2012 kepada 115
kakitangan Kemas negeri di Dewan Besar, Bahagian Teknologi Pendidikan di
sini hari ini.
Yang turut hadir, Pemangku Pengarah Kemas Kelantan, Motada Ismail.
Kesemua penerima anugerah menerima sijil penghargaan dan Sijil
Simpanan Premium Bank Simpanan Nasional (BSN) bernilai RM1,000 setiap
seorang.
Pada majlis itu juga, Hassan telah menyerahkan sumbangan sebanyak
RM7,700 daripada Kelab Kebajikan Kemas Putrajaya kepada Nor Asikin Abdul
Rahman, seorang guru Tabika Kemas Kampung Rahmat, Rantau Panjang yang
kehilangan tiga anak sekali gus akibat mati lemas di Sungai Golok
baru-baru ini.
Dalam pada itu, Hassan memberitahu, pihaknya menyasarkan kesemua guru
di lebih 11,000 tabika dan hampir 400 taska kelolaan Kemas mempunyai
kelulusan sekurang-kurangnya diploma menjelang 2015.
Beliau berkata, setakat ini hampir 4,000 guru sedia ada dalam
perkhidmatan Kemas telah berjaya mendapat diploma pendidikan awal
kanak-kanak setelah dihantar mengikuti kursus dalam cuti (KDC) selama
tempoh tiga tahun sembilan bulan di Institut Pendidikan Guru (IPG)
bermula 2006.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan