14 Oktober 2014

KESATUAN SEKERJA PERLU SEIRING DENGAN MAJIKAN- ISMAIL MUTTALIB

Bernama
14/10/2014


KUALA LUMPUR, 14 Okt (Bernama) -- Kementerian Sumber Manusia meminta semua kesatuan sekerja supaya berganding bahu dengan kerajaan dan majikan bagi meningkat produktiviti sekaligus menambah hasil pendapatan negara.
Timbalan Menteri berkenaan Datuk Seri Ismail Abd Muttalib berkata pertelingkahan antara kesatuan sekerja dan majikan tidak memberi manfaat sebaliknya hanya merugikan mereka.

"Kesatuan sekerja harus menjaga keharmonian, eratkan hubungan sesama sendiri dan majikan perlu memperjuangkan hak dan kebajikan pekerja serta tidak mempolitikan isu dalaman.

"Sekiranya ada bantahan dan perasaan tidak puas hati, perlulah dibuat mengikut saluran yang betul dan ada alasan konkrit," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Latihan Kepimpinan Kesatuan Sekerja dan Raconteur (TUTELAR) di sini, hari ini.

Seramai 350 anggota kesatuan sekerja awam dan swasta menyertai latihan tiga hari itu yang dianjurkan bersama oleh Jabatan Hal Ehwal Kesatuan Sekerja dan Pembangunan Sumber Manusia Berhad.

Ismail turut meminta warga pekerja supaya membantu kerajaan melahirkan golongan pekerja yang memiliki minda kelas pertama dalam menghadapi cabaran pembangunan ekonomi berlandaskan ilmu pengetahuan dan inovasi menjelang 2020.

Ditanya mengenai Bajet 2015, beliau berkata cadangan untuk mengkaji semula Akta Kerja 1955 dan Akta Perburuhan yang melibatkan terma dan syarat pekerjaan, pelantikan dan pemberhentian, waktu bekerja yang fleksibel serta faedah penamatan kerja adalah antara usaha kerajaan memastikan kebajikan pekerja terus dibela.

Semasa membentangkan bajet itu Jumaat lepas, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak juga mencadangkan Sistem Insurans Pekerjaan dan peluang latihan semula atau 'reskilling and upskilling" yang melibatkan peruntukan RM300 juta.

Beliau turut mencadangkan penambahbaikan kemudahan cuti menjaga anak bagi penjawat awam dan latihan syif berganda bagi program sepenuh masa di institusi latihan kemahiran Jabatan Tenaga Kerja (JTK) dalam Bajet 2015.

-- BERNAMA

Tiada ulasan:

Catat Ulasan