18 November 2014

CADANGAN UMUR 60 TAHUN KELUAR

Bernama
17/11/2014
Oleh Siti Baaqiah Mamat


KUALA LUMPUR, 17 Nov (Bernama) -- Kerajaan diminta tidak tergesa-gesa menerima cadangan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) untuk melanjutkan umur bagi pengeluaran keseluruhan simpanan persaraan kepada 60 tahun, kerana ia dilihat tidak memberi peluang kepada mereka yang memilih untuk bersara awal.

Presiden Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) Datuk Azih Muda berkata, had usia pengeluaran wang simpanan itu seharusnya berpadanan dengan usia persaraan seseorang memandangkan tidak semua pekerja bersara pada usia 60 tahun.

"Pada masa kini, terdapat pesara yang memilih untuk bersara pada usia 58 tahun. Bagaimana dengan mereka? Adakah mereka juga perlu menunggu sehingga dua tahun untuk mengeluarkan wang simpanan?

"Had pengeluaran simpanan itu haruslah berpadanan dengan usia persaraan untuk memberi peluang mereka menggunakan wang tersebut bagi tujuan seperti membeli rumah atau mengerjakan haji," katanya kepada Bernama di sini, hari ini.

Semalam, media melaporkan KWSP bercadang untuk melanjutkan sehingga umur 60 tahun bagi membolehkan pencarumnya mengeluarkan keseluruhan simpanan persaraan, bukan lagi pada usia 55 tahun seperti sekarang ini.

Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (Perancangan dan Pengurusan Strategi) KWSP Tunku Alizakri Alias berkata cadangan itu sejajar dengan pelaksanaan umur persaraan 60 tahun.

Sementara itu, Pensyarah Fakulti Ekonomi Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) Prof Dr Mohamed Aslam Haneef juga bersetuju bahawa cadangan itu perlu diperhalusi, kerana perbezaan lima tahun jangka masa pengeluaran tidak dilihat membawa perbezaan yang ketara kepada jumlah tabungan pencarum.

Beliau berkata langkah itu mungkin bertujuan mahu memastikan wang simpanan 'bertahan lama', namun ia tidak semestinya berjaya jika dibelanjakan tanpa berhemah oleh pencarum.

"Difahamkan ramai pencarum KWSP mempunyai simpanan persaraan di bawah RM50,000 dan berkemungkinan menghabiskan caruman mereka antara tahun pertama hingga tahun kelima persaraan," katanya.

Sehubungan itu, Mohamed Aslam berkata antara langkah yang boleh diambil untuk 'membantu' pencarum, khususnya mereka yang berpendapatan rendah adalah dengan 'intervensi pihak berkenaan' meningkatkan pendapatan yang diterima golongan ini.

"Mereka yang berpendapatan rendah hanya boleh menyumbang dalam jumlah sedikit dalam KWSP sehingga usia persaraan. Jika pendapatan mereka bertambah, baharulah simpanan KWSP juga meningkat," katanya.

Mohamed Aslam juga menasihatkan masyarakat untuk tidak hanya bergantung kepada simpanan KWSP, sebaliknya menyediakan simpanan peribadi atau menggunakan saluran pelaburan dalam pasaran untuk meningkatkan simpanan persaraan.

"Pada usia 55 tahun, jika seseorang menerima wang KWSP melebihi RM100,000 sekali pun secara kasar, mereka tidak boleh hidup selesa berbekalkan wang sebanyak itu kerana jumlah simpanan tersebut tidak mencukupi untuk membiayai keperluan kewangan ahli sepanjang tempoh persaraan mereka.

"Cara terbaik ialah seseorang perlu ada simpanan lain dan mesti menyimpan wang dan melabur sekurang-kurangnya 10 peratus daripada gaji bersih bulanannya," katanya.

Sehingga September lepas, sebanyak 68 peratus ahli KWSP berusia 54 tahun mempunyai kurang RM50,000 simpanan dan hanya 33 peratus memenuhi simpanan asas iaitu minimun RM196,800 untuk memberikan pendapatan bulanan RM820 bagi tempoh 20 tahun.

-- BERNAMA

Tiada ulasan:

Catat Ulasan