11 Februari 2015

PENJAWAT AWAM TERBABIT BANJIR BOLEH MOHON TANGGUH BAYAR PINJAMAN BANK RAKYAT

Bernama
10/2/2015




PETALING JAYA, 10 Feb (Bernama) -- Penjawat awam yang terbabit banjir dan mempunyai pinjaman peribadi dengan Bank Rakyat boleh memohon menangguh bayaran balik pinjaman itu sehingga ke tempoh tertentu.
Ketua Setiausaha Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan Datuk Seri Alias Ahmad berkata mereka juga boleh memohon untuk penstrukturan semula kadar bayaran pinjaman itu.

"Mereka boleh membuat penangguhan pembayaran balik pinjaman dan membuat penstrukturan semula bayaran buat masa ini bagi meringankan beban mereka akibat banjir," katanya pada sidang media selepas majlis Sumbangan Kemanusiaan Mangsa Banjir oleh Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia (Angkasa) dan Kongress Kesatuan Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) di sini, Selasa.

Majlis itu dirasmikan Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Ali Hamsa. Turut hadir Pengerusi Eksekutif Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) Datuk Nik Ali Mat Yunus, Pengerusi Angkasa Datuk Abdul Fattah Abdullah dan Presiden Cuepacs Datuk Azih Muda.

Alias berkata penjawat awam yang membayar pinjaman melalui pemotongan gaji menerusi biro Angkasa, juga boleh membuat permohonan bagi penangguhan bayaran balik itu.

"Mereka (penjawat awam mangsa banjir) boleh berunding dengan pihak Angkasa untuk membuat penstrukturan bayaran balik dan Angkasa akan mempertimbang memansuhkan caj perkhidmatan yang dikenakan ke atas potongan gaji itu," katanya.

Sementara itu, Azih berkata pihaknya juga mencadangkan kerajaan untuk membenarkan penjawat awam terbabit banjir membuat pengeluaran awal Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) bagi menanggung kos kerosakan harta benda mereka.

"Ada penjawat awam yang rumah mereka rosak hampir 100 peratus, dengan pengeluaran awal itu ia sekurang-kurangnya dapat menyelamatkan situasi mereka yang mana boleh dikatakan sangat kritikal pada masa ini,"katanya.

Sementara itu, Abdul Fattah berkata misi bantuan kemanusiaan bencana banjir itu bagi membantu 1,200 keluarga penjawat awam yang terbabit banjir di negeri-negeri pantai timur.

"Ini merupakan kali pertama kami mengadakan kerjasama dengan Cuepacs dan misi ini merupakan yang ke-10 dianjurkan kami bagi membantu meringankan beban mangsa banjir.

"Pihak kami memperuntukkan RM2.3 juta bagi membantu mereka dari segi keperluan asas dan barangan dapur seperti dapur gas, selimut, makanan, telekung, kain batik dan lain-lain barangan keperluan harian," katanya.

Abdul Fattah berkata selain itu, Pasukan Sukarelawan Koperasi (Paskop) yang terdiri daripada kakitangan di cawangan Angkasa seluruh negara turut terlibat dalam kerja-kerja pembersihan.

"Mereka juga akan diminta ke negeri-negeri lain adilanda banjir untuk menghantar bantuan dan bekalan pasca banjir," katanya.

-- BERNAMA

Tiada ulasan:

Catat Ulasan