Berita Harian
23/2/2015
Sudah hampir sebulan harga petrol turun, namun belum nampak dengan
ketara harga barangan di pasaran mengalami penurunan harga seiring
kejatuhan harga petrol. Keadaan ini begitu berbeza dengan pengumuman
kenaikan harga minyak apabila pelbagai syarikat mahupun persatuan
'berlumba-lumba' mengumumkan bakal menghadapi kenaikan kos operasi.
Kita harapkan program penurunan harga barangan secara besar-besaran
di seluruh negara pada 1 Mac ini benar-benar memberi impak kepada
pengguna. Sama ada suka atau tidak, kedatangan 1 April ini akan
menjelaskan segala-galanya apabila Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST)
mula dilaksanakan. Ketika ini masih ada persepsi akan berlaku kenaikan
harga apabila GST diperkenalkan.
Pastikan tidak berlaku pencatutan
Untuk itu, harapan begitu tinggi diletakkan kepada kerajaan dan
kementerian berkaitan bagi memastikan tidak berlaku kegiatan pencatutan
atau dalam bahasa Inggerisnya profiteering iaitu pengambilan keuntungan
tinggi yang tidak munasabah. Jika pada 1 Mac ini masih tiada impak ke
atas penurunan harga barang, seharusnya pihak berwajib mengambil
tindakan serius terhadap 'tangan-tangan ghaib' atau kartel yang terdiri
daripada pengeluar dan pemborong yang menjadi faktor penentu harga
barangan di pasaran. Jika satu ketika dulu pesalah 'komplot sorok'
dikenakan tindakan tegas kerana mahu memanipulasi harga barangan, inilah
masa terbaik untuk penguat kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri,
Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) menggempur 'mafia' yang mengawal
pasaran mengikut Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011, selain
Peraturan-Peraturan Kawalan Harga dan Antipencatutan (Mekanisme Untuk
Menentukan Keuntungan Tinggi Yang Tidak Munasabah yang berkuatkuasa pada
1 Januari 2015. Jika perlu, tarik atau gantung lesen perniagaan
pengeluar atau pemborong bagi menunjukkan kerajaan masih berkuasa
mengawal mereka. Tiada gunanya kerajaan mengambil tindakan tegas ke atas
penjual di pasar, sedangkan pengeluar dan pemborong yang sebenarnya
mengawal harga barang dibiarkan bermaharajalela umpama lintah darat.
Pelan selesai masalah
Semua mata kini tertumpu kepada tindakan penguatkuasaan oleh penguat
kuasa KPDNKK, apatah lagi dengan program penurunan harga besar-besaran
yang diharapkan bukan sekadar publisiti bagi menenangkan masyarakat
untuk sementara waktu, sebaliknya satu pelan proaktif yang boleh
membantu menyelesaikan masalah kenaikan harga barang secara keseluruhan.
Cukuplah dengan gimik harga runtuh ketika musim perayaan atau musim
sesi persekolahan dibuka yang dilaksanakan oleh pasar raya yang dilihat
indah khabar dari rupa. Seperti kata Menteri Perdagangan Dalam Negeri,
Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Seri Hasan Malek pada pelancaran
Operasi Antipencatutan Bagi Menghadapi Pelaksanaan GST pada 14 Januari
lalu, akta dan peraturan yang telah dipinda dan digubal dengan
sistematik perlu disusuli dengan penguatkuasaan yang strategik. Pengguna
sewajarnya memperlihatkan kuasa 'beli' mereka dengan memberi sokongan
kepada kempen oleh beberapa organisasi seperti Persatuan Pengguna Islam
Malaysia (PPIM), Persatuan Doktor Islam Malaysia, CUEPACS, Persatuan
Pemborong dan Peruncit Muslim Malaysia serta memilih pasar raya besar
seperti Mydin, Tesco dan Hero yang menyatakan komitmen untuk
mengurangkan harga barang.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan