12 Mac 2015

UMUR PERSARAAN 62 TAHUN PENJAWAT AWAM NAFI KENAIKAN PANGKAT GOLONGAN MUDA

 Bernama
11/3/2015



 KUALA LUMPUR, 11 Mac (Bernama) -- Dua Anggota Parlimen hari ini berpendapat cadangan menaikkan umur persaraan penjawat awam daripada 60 ke 62 tahun adalah tidak relevan kerana melambatkan proses kenaikan pangkat bagi kakitangan lain.

Datuk Shamsul Anuar Nasarah (BN-Lenggong) berpendapat cadangan Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) itu menutup peluang kepada golongan lebih muda yang mempunyai kebolehan.

"Saya tidak terima cadangan itu tetapi jika Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) hendak buat kajian, tidak ada masalah.

"Kalau dilaksanakan, tertutuplah peluang orang lain khususnya orang muda," katanya ketika membahaskan usul menjunjung kasih titah ucapan Yang di-Pertuan Agong Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah di Dewan Rakyat hari ini.

Baru-baru ini, CUEPACS mencadangkan supaya kerajaan mempertimbang umur persaraan penjawat awam daripada 60 kepada 62 tahun memandangkan Malaysia sedang menuju ke arah negara maju.

Anuar Abd Manap (BN-Sekijang) juga menolak cadangan CUEPACS itu kerana ia menafikan peluang kakitangan muda untuk dinaikkan pangkat.

Beliau berkata CUEPACS sepatutnya memperjuangkan isu-isu lain seperti peluang memiliki rumah sendiri, masalah hutang dan bankrupsi dalam kalangan penjawat awam.

"Ini lebih penting untuk CUEPACS perjuangkan...golongan muda ada idea baharu dan mereka perlu bersama-sama kepimpinan negara untuk mencorak masa depan negara. Saya tidak setuju cadangan (menaikkan umur persaraan itu)," katanya.

Persidangan Dewan Rakyat bersambung esok.


1 ulasan:

  1. Umur persaraan 62 tahun pun bagus juga, dan idea berkenaan dgn remaja kan sektor awam pun okay juga... Cuma saya nak tanya, remaja itu boleh buat kerja atau tidak? Maklumlah golongan muda sekarang majority 'spoon-fed' masa di IPTA/S. Jangan anda tidak fikir hal ini pula !

    BalasPadam