24 Ogos 2015

CUEPACS MINTA KERAJAAN KAJI ELAUN PENJAWAT AWAM DI LUAR NEGARA

Bernama
24/8/2015



Datuk Azih Muda

ALOR SETAR, 24 Ogos (Bernama) -- Kongres Kesatuan Pekerja-pekerja di Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) memohon kerajaan mengkaji semula elaun penjawat awam yang bertugas di luar negara.

Presidennya Datuk Azih Muda berkata pelarasan itu perlu dilakukan dengan segera kerana kejatuhan nilai ringgit negara telah membebankan penjawat awam terlibat untuk menampung kos sara hidup.

Beliau berkata rata-rata mereka turut membawa ahli keluarga dan terpaksa membayar yuran pengajian anak serta pelbagai perkhidmatan lain sepanjang mereka berada di negara luar.

"Kita minta kerajaan kaji semula elaun penjawat awam di luar negara dengan segera. Kerajaan tidak perlu tunggu pembentangan belanjawan negara Okt ini kerana kita tidak mahu penjawat awam tertekan dengan bebanan kewangan.

"Kalau kerajaan negeri Johor dan Terengganu beri suntikan tambahan kepada pelajar tajaan mereka di luar negara disebabkan kos sara hidup meningkat kenapa tidak kerajaan (pusat) berbuat demikian kepada penjawat awam," katanya ketika ditemui pada Majlis Cuepacs bersama Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (RISDA) di sini Isnin.

Azih berkata walaupun harga komoditi dan minyak jatuh, kerajaan masih mempunyai kewangan yang cukup hasil perolehan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) untuk membantu penjawat awam yang menjadi tulang belakang pentadbiran negara.

Sementara itu, beliau berkata pihaknya berharap kerajaan melaksanakan gaji minimum penjawat awam kepada RM1,200 sebulan dan menyelesaikan isu 250 skim perkhidmatan awam.

Katanya pelaksanaan tersebut perlu dilakukan dengan segera bagi menyelesaikan masalah kos sara hidup yang semakin meningkat.

"Kita harap kerajaan dapat umumkan pada pembentangan belanjawan 2016 pada Okt ini. Kita juga harap kerajaan beri bonus sebanyak tiga bulan kepada penjawat awam," katanya.

Dalam perkembangan lain, Azih berkata pihaknya meminta agar penjawat awam tidak menyertai perhimpunan Bersih 4.0 pada 29 dan 30 Ogos ini.

Katanya perhimpunan seperti itu tidak membantu penjawat awam memperbaiki kehidupan mereka kepada yang lebih baik berbanding sebelum ini.

-- BERNAMA

23 Ogos 2015

PENJAWAT AWAM DIINGAT TIDAK TERLIBAT MENCEMAR IMEJ - KSN

Bernama
23/8/2015


KLUANG, 23 Ogos (Bernama) -- Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Dr Ali Hamsa mengingatkan penjawat awam supaya tidak melibatkan diri dalam sebarang kegiatan atau perbuatan yang mencemar imej perkhidmatan awam, menjejaskan ketenteraman awam dan keselamatan negara.

Beliau berkata sebagai pihak yang memikul amanah rakyat selain berikrar dan menandatangani Aku Janji kepada kerajaan, penjawat awam perlu mengelakkan sebarang persepsi negatif terhadap kerajaan.

"Penjawat awam tertakluk kepada Perintah Am, jadi kena ikut peraturan sedia ada," katanya kepada pemberita selepas majlis ramah mesra bersama penjawat awam Johor di kampus Institut Tadbiran Awam Negara (Intan) Wilayah Selatan, di sini Ahad.

Ali berkata banyak kebocoran maklumat dan dokumen rahsia kerajaan berlaku kebelakangan ini terutamanya yang disebarkan melalui media sosial.

Menegaskan perkara terbabit tidak sepatutnya berlaku dan merupakan kesalahan amat serius, beliau berkata tindakan tegas akan diambil terhadap penjawat awam yang membocorkan rahsia-rahsia kerajaan mengikut undang-undang berkaitan seperti Akta Rahsia Rasmi Kerajaan 1972.

Beliau berkata penjawat awam perlu menilai dengan bijak dan merujuk kesahihan maklumat daripada pihak berkaitan terlebih dahulu bagi mengelakkan mereka terjebak dengan penyebaran berita palsu atau fitnah.

Ali berkata dalam masa yang sama mereka juga perlu membantu agensi atau jabatan masing-masing menghebahkan aktiviti dan maklum balas berkaitan agensi atau jabatan mereka menerusi laman sosial.

"Perkembangan teknologi maklumat dan komunikasi pada masa kini mewujudkan fenomena dunia tanpa sempadan termasuk kemasukan maklumat tanpa tapisan yang disebar luas dan dikongsi laman Facebook, Twitter, Instagram dan sebagainya.

"Namun, dalam kita aktif menggunakan media baharu ini, kita juga harus sedar bahawa terdapat banyak penipuan yang disebarkan. Oleh itu, sebagai penjawat awam, kita harus sedar dan bertanggungjawab terhadap apa yang kita sebarkan di alam maya," katanya.

Mengenai perhimpunan Bersih 4.0 yang akan diadakan pada 29 dan 30 Ogos ini, Ali menasihatkan penjawat awam supaya tidak terlibat dengan aktiviti seumpama itu dan tindakan sewajarnya akan dikenakan terhadap mereka yang berdegil.

Katanya, walaupun tidak diketahui dengan jelas apa yang akan dicadangkan menerusi perhimpunan itu, ia ternyata akan menjejaskan imej penjawat awam di mata rakyat.

Terdahulu, Ali yang merupakan anak jati Kluang turut melawat Sekolah Menengah Kebangsaan Tengku Aris Bendahara, di sini, yang merupakan sekolah lamanya sewaktu menerima pendidikan peringkat menengah dari 1968 hingga 1973.

Pada lawatan itu, beliau yang diiringi isterinya Puan Sri Rohani Abdullah mengimbas nostalgia zaman persekolahan dengan melawat kelas lamanya dan berjumpa beberapa rakan sekelas serta guru yang mendidiknya ketika itu.

-- BERNAMA

19 Ogos 2015

BEBANAN RM50 JUTA RUMAH TERBENGKALAI

My Metro
19/8/2015


Kuala Lumpur: Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) menerima 1,000 aduan daripada penjawat awam mengenai masalah pembelian rumah terbengkalai membabitkan kerugian lebih RM50 juta.Presidennya Datuk Azih Muda berkata, aduan berkenaan diterima sejak dua tahun lalu membabitkan projek perumahan yang bermasalah di seluruh negara.
Kata Azih, masalah itu paling ketara dihadapi di Kelantan dengan kira-kira 13,000 pembeli (penjawat awam terutama anggota tentera) membabitkan 14 projek perumahan yang sehingga kini masih gagal disiapkan meskipun Bahagian Pinjaman Perumahan (BPP) sudah melunaskan bayaran kepada pihak pemaju.
“Selain Kelantan, kita juga mengesan banyak lagi projek perumahan yang disyaki menipu pembeli penjawat awam di seluruh negara seperti di Bukit Beruntung (Selangor), Kuala Kangsar (Perak), Gong Badak (Terengganu), Kota Kinabalu (Sabah) dan Kuching, Sarawak.
“Perkara ini tidak boleh dipandang remeh dan CUEPACS meminta kerajaan dan pihak terbabit memberi perhatian serius terhadap masalah berkenaan dan melakukan pemantauan yang sepatutnya.

MINTA 4 KUMPULAN DIKECUALIKAN GST

My Metro
19/8/2015



Kuala Lumpur: Kerajaan diminta mengecualikan bayaran Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) terhadap barangan keperluan utama empat kumpulan sasar bagi membantu meringankan beban kewangan mereka. Presiden Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) Datuk Azih Muda berkata, empat kumpulan terbabit iaitu kanak-kanak, orang tua, orang kurang upaya (OKU) dan golongan miskin kini hidup tertekan sejak cukai berkenaan dilaksanakan 1 April lalu.
Kata beliau, peningkatan harga barangan terutama makanan akibat pelaksanaan GST jelas menambah beban golongan yang berpendapatan rendah kerana ia turut menyebabkan kenaikan kos sara hidup. Katanya, CUEPACS tidak mahu rakyat yang kurang berkemampuan menganggap kerajaan tidak prihatin dengan nasib mereka memandangkan keadaan ekonomi hari ini jelas membebankan kehidupan masyarakat.“Sebagai contoh, dulu harga susu untuk anak mereka mungkin sekitar RM10 saja, tetapi kini selepas GST, ia menjadi RM10.60.
“Perbezaan harga itu mungkin perkara kecil bagi golongan bergaji tinggi, tetapi ia nyata membebankan kumpulan berpendapatan rendah terutama empat golongan sasar ini.“Kita tidak menolak pelaksanaan skim cukai ini, tetapi meminta kerajaan supaya menyemak semula pelaksanaan GST dalam pembentangan bajet Oktober nanti supaya keperluan utama untuk empat kumpulan ini dapat diberi pengecualian,” katanya pada sidang media, semalam.

PENJAWAT AWAM DITIPU (LEBIH 1,000 JADI MANGSA PERUMAHAN TIDAK BERLESEN

Utusan Malaysia
Azih MUDA (tengah) dalam sidang akhbar di Kuala Lumpur, semalam,
AZIH MUDA (tengah) dalam sidang akhbar di Kuala Lumpur, semalam, berhubung penjawat awam yang menjadi mangsa penipuan ejen perumahan tidak berlesen.
KUALA LUMPUR 18 Ogos - Kongres Kesatuan Pekerja-pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) me­nerima lebih 1,000 aduan daripada penjawat awam melibatkan kes penipuan beberapa ejen syarikat pemaju perumahan tidak berlesen. Menurut Presidennya, Datuk Azih Muda, masalah berkenaan sudah boleh dikategorikan sebagai kronik apabila kos kerugian yang dialami melebihi RM50 juta sepanjang 10 tahun lalu. “Deposit dikenakan agak tinggi, potongan gaji telah dibuat tetapi rumah tidak dibina. Bagaimana Bahagian Pinjaman Perumahan boleh meluluskan pinjaman sedangkan mereka sendiri tidak memastikan kewujudan rumah berkenaan terlebih dahulu?. “Di Kelantan sahaja kira-kira 13,000 penjawat awam terlibat. 

Ada juga yang membuat aduan kepada Jabatan Perumahan Negara dan mereka terkejut apabila diberitahu pemaju itu tidak berlesen,” katanya dalam sidang akhbar mengenai isu perumahan penjawat awam dan Bajet 2016 di sini hari ini. Setakat ini, CUEPACS telah mengambil inisiatif turun padang ke Kelantan untuk memantau permasalahan tersebut dan mendapati lebih 14 taman perumahan masih lagi terbengkalai sejak enam tahun lalu tetapi dalam masa sama pembeli terus membuat potongan gaji. 

Antara lokasi perumahan lain yang turut terlibat ialah sekitar Bukit Beruntung, Selangor; Kuala Kangsar, Perak; Kota Bharu, Kelantan; Gong Badak; Kuala Terengganu; Kota Kinabalu, Sabah dan Kuching, Sarawak, yang melibatkan lebih 20 taman perumahan. Tambahnya, Bahagian Pinjaman Perumahan sepatutnya tegas dalam menangani masalah itu secara lebih terperinci dengan memastikan projek perumahan terlibat benar-benar wujud serta pemaju yang berlesen sebelum meluluskan setiap pinjaman yang dipohon. Dalam perkembangan lain, Azih juga menzahirkan keluhan kebanyakan penjawat awam yang masih berharap kerajaan mempercepatkan pelaksanaan penambahbaikan 252 skim perkhidmatan seperti yang dijanjikan dalam pembentangan Bajet 2015 termasuk penetapan gaji minimum. 

 Pelaksanaan itu dilihat dapat meringankan beban golongan berpendapatan rendah untuk menghadapi cabaran kos sara hidup yang kian meningkat di samping memberi peluang kepada kakitangan lama merasai nikmat skim perkhidmatan baharu sebelum bersara.

PENJAWAT AWAM TANGGUNG KERUGIAN RM50 JUTA AKIBAT RUMAH DIBELI TERBENGKALAI - CUEPACS

Bernama
18/8/2015



KUALA LUMPUR, 18 Ogos (Bernama) -- Kerugian yang dialami golongan penjawat awam akibat membeli rumah daripada syarikat pemaju perumahan yang tidak bertanggungjawab dianggarkan melebihi RM50 juta dalam tempoh 10 tahun, kata Presiden Cuepacs Datuk Azih Muda.
Presiden Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja di Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) itu berkata, sehingga hari ini, pihaknya telah menerima lebih daripada 1,000 aduan daripada penjawat awam yang berkhidmat di seluruh negara, dan majoritinya ialah daripada golongan tentera.

"Ada antara mereka yang telah membuat pembayaran deposit setinggi RM36,000, ada yang telah dipotong gaji tetapi sehingga hari ini rumah tak ada ... dan tiada siapa yang tampil membantu mereka.

Sesetengah kes pula, apabila diadu kepada Jabatan Perumahan Negara (JPN), mangsa dimaklumkan bahawa syarikat pemaju ini tidak mempunyai lesen, dan ini lebih merumitkan keadaan," katanya pada sidang media di Wisma Cuepacs, di sini hari ini.

Azih berkata, Cuepacs mahu pihak kerajaan, khususnya Kementerian Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan dapat melihat perkara ini secara serius kerana ia membebankan mangsa-mangsa yang terdesak untuk memiliki kediaman sendiri.

Selain itu, Azih berkata, beliau mahu Cuepacs diberi peranan yang lebih luas dalam menyuarakan pendapat berkenaan isu perumahan itu, serta diberi peluang untuk berbincang dengan Kementerian Kewangan dalam usaha menyelesaikan kemelut.

Mengenai pembentangan Bajet 2016 oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak Oktober ini, Azih berkata, pihaknya berharap agar kerajaan dapat menggunakan hasil dari kutipan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) untuk membantu empat golongan sasar, iaitu kanak-kanak, orang kurang upaya (OKU), warga emas, dan golongan berpendapatan rendah.

Beliau berkata, empat golongan ini antara yang terjejas teruk akibat peningkatan kos sara hidup sejak kebelakangan ini.

"Kita minta kerajaan kaji semula dalam bajet Oktober nanti, atau di luar pembentangan bajet, supaya keperluan untuk anak-anak, OKU, orang tua, dan orang miskin ini hendaklah dibantu," katanya lagi.

Selain itu, Azih berkata, Cuepacs mengulangi gesaannya agar kerajaan dapat percepatkan pelaksanaan penambahbaikan 252 skim perkhidmatan dengan cadangan gaji minimum baharu RM1,200.

Beliau berkata, pelaksanaan itu dapat membantu mereka yang berada dalam Kumpulan Pelaksana I dan II serta kumpulan menengah dalam menangani kenaikan kos sara hidup.

-- BERNAMA

18 Ogos 2015

PENJAWAT AWAM RUGI LEBIH RM 50 JUTA DITIPU PEMAJU HARAM- CUEPACS

Berita Harian
18/8/2015

KUALA LUMPUR: Kira-kira 1,000 penjawat awam menanggung kerugian lebih RM50 juta akibat terpedaya dengan tawaran pemaju perumahan tidak berlesen, menurut Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS). Berdasarkan aduan yang disalurkan secara bersemuka dan e-mel, CUEPACS bimbang nilai kerugian akan meningkat jika tiada campur tangan kerajaan. Presidennya, Datuk Azih Muda, berkata majoriti mangsa yang tertipu ialah kalangan askar yang ditawarkan rumah pada harga mampu milik dan kelulusan segera pinjaman perumahan.
Bagaimanapun, katanya, selepas hampir 10 tahun urus niaga pembelian rumah selesai dan potongan gaji dilaksanakan, kediaman yang dijanjikan pemaju masih terbengkalai. "Deposit berjumlah RM36,000 sudah dibayar ke syarikat pemaju tetapi sampai 10 tahun, hanya tiang rumah yang didirikan.

 Di Kelantan saja, sebanyak 12 projek terbengkalai angkara syarikat pemaju tidak berlesen. "Justeru, kerajaan wajar campur tangan dengan mengambil tindakan terhadap syarikat pemaju tidak berlesen ini, selain merangka mekanisme untuk membantu menyelesaikan masalah penjawat awam yang
ditipu," katanya pada sidang media hari ini Azih berkata, kerajaan antara lain perlu memantau syarat kelulusan permohonan di peringkat Bahagian Pinjaman Perumahan (BPP) dan Jabatan Perumahan Negara (JPN). CUEPACS, katanya, bersedia menyalurkan bantuan berkaitan jika kerajaan berhasrat mengadakan rundingan dengan BPP dan JPN untuk menangani masalah penjawat yang ditipu syarikat pemaju tidak berlesen. "Sindiket penipuan jual rumah ini semakin membimbangkan kerana mereka mencari mangsa hampir di merata tempat, termasuk pasar malam dan pusat beli-belah. "Kelantan setakat ini merekodkan jumlah mangsa paling ramai kerana hampir 13,000 askar ditipu syarikat pemaju tidak berlesen dalam tempoh 10 tahun.

 "Selain itu, kegiatan sama turut berlaku di Bukit Beruntung, Selangor, Kuala Kangsar (Perak), Kota Bharu (Kelantan), Kuala Terengganu (Terengganu), Kota Kinabalu (Sabah) dan Kuching (Sarawak)," katanya. Dalam perkembangan lain, Azih mahu kerajaan mempercepatkan pelaksanaan penetapan gaji minimum daripada RM900 ke RM1,200. Katanya, anjakan gaji untuk 252 skim perkhidmatan di sektor awam itu berupaya membantu penjawat kerajaan untuk menyerap kesan kenaikan kos sara hidup, khususnya di bandar.

 "Kita yakin pertimbangan 'kecil' untuk kebajikan penjawat awam yang berpendapatan rendah ini tidak membebankan kerajaan, sebaliknya memberi galakan kepada mereka untuk meningkatkan kualiti perkhidmatan," katanya. PRESIDEN Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja di Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS), Datuk Azih Muda (kiri) ketika sidang media di Wisma Cuepacs Jln Pudu, sambil diperhatikan oleh Setiausaha Agung, Datuk Lok Yim Pheng.- Foto Yazit Razali


TIGHTEN HOUSING DEVELOPMENT RWEGULATIONS, CUEPACS URGES GOVT

The Sundaily

KUALA LUMPUR: Cuepacs president Datuk Azih Muda today urged the government to introduce tighter housing development regulations to prevent fraud.
He said he had received complaints from members that developers had failed to deliver the houses they have purchased, at times the housing projects themselves having barely started.
"All in all, I estimate that Cuepacs members have been cheated of about RM50 million in 20 different housing projects in Malaysia in the past 10 years," he told a press conference in Cuepacs headquarters today.
Azih said he had conducted site visits to several projects in Kelantan, where many of the affected are members of the armed forces who were posted in bases in the state.
He had also received reports of unfinished housing projects in Kuala Kangsar, Kuala Terengganu, Kuching, and Kota Kinabalu and avenues of redress for purchasers are lacking.
According to his knowledge, only two such developers have been brought to court and the fines that were imposed upon them pales in comparison to the profits they made by swindling their customers.
"The courts fined them in between RM40 million and RM 50 million, but they raked in profits of more than RM200 million. This is nothing to them," Azih said.
He added that he is ready to meet with the government, especially the Urban Wellbeing, Housing, and Local Government Ministry, to discuss the matter and propose stricter regulations.
Meanwhile, Azih also called on the government review the Goods and Services Tax (GST) so that essential items, especially food, that children, the old, the poor, and the disabled frequently buy will be exempted from the tax.
He said it is undeniable that the new tax had brought in much more revenue for the government, but this should not be done at the expense of the people especially among the more vulnerable groups.
"From what I've heard, the GST is currently bringing in five to six times more in taxes than the Sales and Services Tax (SST). That is a good thing but cost of living is skyrocketing and we need to protect the people," Azih said.

17 Ogos 2015

ANALISIS MINGGUAN: BISIK-BISIK AWANG SELAMAT

 Utusan Malaysia
16/8/2015



Terlalu banyak spekulasi, limpahan analisis dan politiking yang keterlaluan melanda negara sekarang. Situasi ini tidaklah baharu, pernah berlaku ketika krisis politik 1987 dan 1998. Walaupun latar belakang dan isunya tidak sama tetapi ia memercikkan ketegangan politik.
Awang mengambil pendekatan untuk bertenang, tidak melatah membuat kesimpulan dan tidak mengharap dipuji oleh sesiapa. Keberanian atas nama apa pun, harus bersandar rasa tanggungjawab dan melihat dengan perspektif menyeluruh.
Tidak hilang bijaksana jika kita berpegang kepada pendirian untuk memilih yang kurang mudarat kepada organisasi, agama dan bangsa. Awang tidak mahu tenggelam dalam emosi dan ayat-ayat berapi-api kerana ia bukan satu-satunya jalan keluar. Sarjana Dr. Muhammad Al-Areefi menekankan tentang perlunya menjaga lidah dan kata-kata sebagai adab dalam mencari penyelesaian mengikut ajaran Islam sebenar.
Tidak jatuh maruah jika bersabar dalam situasi yang genting, memahami realiti terutama di mana kita berada dan tekun menanti agar yang samar menjadi terang. Jangan pula kerana kegelojohan, bergentayangan kaduk naik junjung, berlaku gelombang menangguk di air keruh dan sisi kita yang lemah pula, terbuka luas untuk diceroboh. Sebab itu, Awang tidak terganggu dengan apa sahaja komen sama ada yang positif mahupun negatif terhadap Awang mahupun syarikat akhbar. Juga perbandingan itu dan ini, dulu dan sekarang. Bab 21 buku judul A, tidak sama dengan bab 21 buku judul B.
Seperti biasa, ada tokoh tertentu yang ghairah beranalisis sambil menjatuhkan hukuman ke atas orang lain, terlupa tentang eranya yang lesu dan kurang mencabar. Pernah Awang nyatakan, ambillah perspektif agama, apa jua yang berlaku telah ditetapkan oleh Allah SWT dan apa yang tidak ditetapkan, pasti dan pasti tidak akan berlaku. Setakat ini, Najib Tun Razak adalah Perdana Menteri dan Presiden UMNO. Atas kertas, beliau mendapat sokongan majoriti bahagian-bahagian UMNO, parti terbesar dalam kerajaan. Sama ada suka atau tidak, itulah realitinya. UMNO yang menentukan siapa peneraju parti. Selagi beliau menyandang jawatan tersebut, amanah terpikul pada beliau.
Jangan lupa menyokong pemimpin termasuk di saat-saat yang sukar ini, adalah hak demokrasi, begitu juga sebaliknya. Lagipun, Najib belum dibuktikan bersalah, tunggulah sehingga semua proses siasatan selesai untuk berlaku adil. Sementara itu, berilah peluang kepadanya untuk mentadbir dan memulihkan keadaan seperti dijanjikan. Itulah yang berlaku ketika krisis politik 1987 dan 1998 apabila majoriti UMNO terus menyokong peneraju parti ketika itu, yang juga diwarnai pelbagai isu dan dakwaan. Jika Najib tidak mampu menyelesaikan, biarlah rakyat menilai dan membuat perkiraan. Najib pasti faham. Pada tahap ini, biarlah semua berlaku secara natural, itu jalan penyelesaian terbaik. Lebih penting, jangan gundah dengan perencanaan Allah SWT. Masa akan menentukan. Yakinlah.

Malaysiakini
Siapakah antara pihak yang paling untung kerana dapat menangguk di air keruh berikutan pergolakan politik dan isu semasa yang panas sekarang? Siapa lagi kalau bukan Malaysiakini pro-DAP. Tanpa rasa malu dan bersalah, portal itu terus menyiarkan banyak laporan yang bukan sahaja mengelirukan, diputar belit, salah malah melaga-lagakan antara pemimpin dan jabatan kerajaan. Sejak misi Malaysiakini untuk menjatuhkan kerajaan gagal pada pilihan raya umum lalu dengan menyalakan api sentimen membenci kerajaan pimpinan Islam, Awang makin berwaspada.

Portal itu telah banyak membawa mudarat. Antaranya memanipulasi secara keterlaluan dakwaan kononnya terdapat lebih 40,000 pengundi hantu pada PRU-13, yang ternyata membantu pembangkang khususnya DAP menang banyak kerusi dengan cara tidak terhormat. Terbukti akhirnya laporan itu palsu. Malaysiakini juga gagal melihat berlakunya pertumpahan darah dan rusuhan besar sebagaimana Arab Springs. Siri-siri Perhimpunan Bersih di Kuala Lumpur yang digembar-gemburkan secara luar biasa agar kerajaan dijatuhkan di luar proses demokrasi, tidak menjadi kenyataan.

Jika dibuat kajian, Malaysiakini lebih berbahaya berbanding portal Sarawak Report dalam konteks ancaman kepada negara. Lebih licik dalam agendanya dengan berselindung atas nama kebebasan media tetapi itulah sebenarnya senjata bagi menjayakan agenda parti yang portal itu sokong habis-habisan.Lalu timbul persoalan mengapa Malaysiakini makin angkuh dan memperhebatkan serangan ke atas institusi-institusi penting negara, yang jawapannya tidak sukar Awang telah. Selain membawa agenda DAP, ia ada kaitan dengan isu lebih besar iaitu dana asing. 

Sudah sampai masanya pihak berkuasa termasuk Kementerian Dalam Negeri, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) dan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) menyiasat Malaysiakini meliputi sumber dana dan aspek ancaman kepada negara. Siapa lagi dalang atau tangan ghaib yang merencanakan percaturan buat negara ini, menggunakan portal itu.

Sebenarnya ada banyak misteri berkaitan portal berkenaan yang belum dapat dileraikan. Tidak mengejutkan juga jika melibatkan komplot besar yang dahsyat padahnya kepada Malaysia. Pelanduk melupakan jerat tetapi jerat tidak pernah melupakan pelanduk.

DAP dan dana
Selepas Perdana Menteri, Najib Tun Razak mengumumkan penubuhan Jawatankuasa Konsultatif Nasional Mengenai Pembiayaan Politik (JKNMPP) bagi merangka pelan pembiayaan politik berintegriti, Awang teruja menunggu reaksi DAP dan PKR.
Jika sebelum ini, cadangan Najib yang pertama kali dibangkitkan pada 2009 ditolak, kini ada peluang terbaharu untuk kedua-dua parti akur demi mendokong integriti.
Awang sangat berharap semua parti politik dapat bersetuju dengan pelan tersebut agar dapat dilaksanakan pada pilihan raya umum ke-14 nanti.
Sebelum ini, Najib merintis sistem pemilihan UMNO yang lebih demokratik dan inklusif berbanding parti lain, ini satu lagi pembaharuan politik yang diperkenalkan.
Maka DAP terutamanya tidak boleh terus ketinggalan. Lebih-lebih lagi parti itu mengakui inilah era yang rakyat perlu diyakinkan dengan kaedah pembiayaan politik yang lebih telus. Nasihat Awang janganlah DAP takut untuk mendedahkan sumber dana politik mereka melainkan terlalu banyak yang mahu dirahsiakan. Juga jangan jadi seperti ayam, kokok berderai-derai, ekor bergelumang najis.

Teruskan Ismail
Selepas membuktikan komitmen jihad melawan orang tengah semasa di Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani, Ismail Sabri yang kini Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, sekali lagi tidak mahu bersikap apologetik.
Kali ini beliau tampil dengan cadangan agar ditubuhkan pusat jualan dan borong alat komunikasi di bangunan Mara di Jalan Raja Laut, yang menyamai fungsi Plaza Low Yat.Bagaimanapun ia mendapat bantahan beberapa pihak termasuk pemimpin MCA yang melihatnya sebagai rasis.Awang yakin Ismail tidak akan goyah dan teruskan pelaksanaannya. Usah terganggu dengan bantahan yang hujah-hujahnya dangkal dan tidak berasas.Mengaitkan cadangan itu dengan bersikap rasis mencerminkan siapa sebenarnya yang rasis. Sepatutnya MCA perlu menggalakkan lebih banyak pusat jualan seumpama itu sebagai alternatif kepada masyarakat.

Awang tidak fikir masyarakat Cina yang sudah ratusan tahun sebati dengan budaya niaga akan merasa terancam atau tergugat dengan kemunculan satu lagi pusat ala Plaza Low Yat.Selama ini pun, kaum lain tidak membantah pelbagai penubuhan dan eksklusiviti peniaga Cina seperti di kawasan Petaling Street. Banyak lagi contoh boleh disenarai panjang, jika mahu.Biarpun pusat jualan tersebut akan dibuka di Mara tetapi cabarannya tetap besar kerana industri teknologi maklumat (IT) dimonopoli usahawan Cina. Jika dilihat secara positif, industri itu juga boleh mendapat faedah.

Walau apa pun cabarannya tentu ada mekanisme bagi Ismail segera merealisasikan cadangan itu yang diharap menjadi titik tolak baru kepada usahawan Melayu dalam jualan produk IT.
Malah ia tidak seharusnya dihadkan di bangunan Mara Kuala Lumpur, juga boleh diperluaskan ke negeri-negeri yang pengguna pelbagai kaum boleh berkunjung. Sebenarnya tidaklah sesukar mana, cuma menuntut keberanian politik yang tinggi. Ismail ada kualiti itu.

Kisah RM10
Awang terpanggil untuk berkongsi kisah empat beranak - suami, isteri dan dua anak kecil - menaiki motosikal meredah hujan untuk ke bank bagi mengeluarkan wang tunai menerusi mesin ATM, baru-baru ini. Alangkah kecewanya si suami apabila mesin ATM itu tidak mempunyai wang kertas RM10. Hanya ada wang kertas RM50 sedangkan baki wang simpanannya tidak lebih daripada itu.

Maka keluarlah lelaki itu dengan wajah hampa. Lebih-lebih lagi tujuan untuk mengeluarkan wang adalah bagi membawa anak kecilnya ke klinik. Awang sangat tersentuh sambil mengimbas ucapan Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah sempena ulang tahun Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) tahun lalu yang mengulas cadangan CUEPACS agar bank membekalkan lebih banyak wang kertas RM10 dalam mesin ATM.

Pada baginda, ia memberi petanda bahawa ramai pemilik kad ATM pada masa tertentu tidak mempunyai baki minimum RM50 dalam simpanan selain menyerlahkan hakikat keupayaan menabung dalam kalangan rakyat terutama bumiputera adalah rendah kerana kesempitan hidup.

Menghairankan di sebalik cadangan CUEPACS dan keprihatinan Sultan Perak, institusi perbankan di negara ini tidak memberi perhatian apatah lagi untuk mengambil tindakan sewajarnya. Berdasarkan maklum balas ramai, hampir rata-rata bank tidak menyediakan banyak wang kertas RM10, menyebabkan selalu berlaku kekurangan di mesin-mesin ATM. Akhirnya rakyat termasuk para pelajar universiti dan kolej selalu kecewa kerana bank tidak mampu memenuhi permintaan mereka yang sangat kecil iaitu RM10.

15 Ogos 2015

KSN SARAN TASKA DI KEMENTERIAN, JABATAN KERAJAAN GUNA MODUL PERMATA


Bernama
14/8/2015


Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Dr Ali Hamsa menyampaikan replika cek sumbanagn kepada wakil-wakil Puspanita ketika merasmikan Taska-Tabika Permata Puspanita Jabatan Perdana Menteri,

Jumaat.
PUTRAJAYA, 14 Ogos (Bernama) -- Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Dr Ali Hamsa menyarankan taman asuhan kanak-kanak (Taska) di kementerian atau jabatan kerajaan menggunakan modul Program Permata Negara (Permata), yang dibangunkan melalui kajian komprehensif, dalam pembelajaran.

Pengajaran dan pembelajaran terkini membentuk daya pemikiran kanak-kanak yang lebih kreatif dan inovatif, katanya semasa merasmikan Taska-Tabika Permata Puspanita, Jabatan Perdana Menteri (JPM) di Kompleks B JPM di sini, hari ini.

Taska-Tabika dua tingkat bernilai RM4.5 juta itu, yang dibina berasingan dari premis kerajaan, beroperasi sejak Januari lepas dan mempunyai 373 pelajar.

Ditubuhkan pada 2010, Permata yang dinaungi isteri Perdana Menteri Datin Seri Rosmah Mansor, menawarkan pendekatan alternatif dalam bidang asuhan dan didikan awal kanak-kanak.

Program itu menekankan pembinaan keupayaan untuk merangsang minda menggunakan kaedah meneroka, mencuba dan mengalami sendiri melalui pendekatan bersesuaian dan menyeronokkan sesuai dengan fitrah semulajadi mereka.

Kurikulum Permata dibentuk sekumpulan pakar Pendidikan Awal Kanak-Kanak dari kalangan pensyarah-pensyarah universiti setelah mengkaji pelbagai kurikulum sedia ada yang diguna pakai di seluruh dunia.

Dalam pada itu, Ali berkata semua bangunan kerajaan digalakkan menyedia kemudahan Taska dan Tabika (taman bimbingan kanak-kanak) bagi memberikan kemudahan dan ketenangan kepada ibu bapa semasa bekerja.

Pada majlis itu, Ali yang juga Penaung Puspanita, menyampaikan sumbangan badan itu berjumlah RM65,600 kepada 30 rumah kebajikan, 36 penjawat awam di JPM yang berstatus ibu tunggal serta 328 pelajar Taska dan Tadika (taman didikan kanak-kanak) dari seluruh negara.

Turut hadir Yang Dipertua Puspanita Kebangsaan Puan Sri Rohani Abdullah.

-- BERNAMA

08 Ogos 2015

PTPTN MULA PEMOTONGAN GAJI PENJAWAT AWAM SEPTEMBER

Bernama
8/8/2015



KUANTAN, 8 Ogos (Bernama) -- Potongan gaji bagi penjawat awam yang mempunyai pinjaman dengan Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) akan mula dilaksanakan penghujung September depan.

Ketua Eksekutif PTPTN Agos Cholan berkata, langkah itu akan dilakukan secara berperingkat melibatkan seramai 163,007 penjawat awam yang tidak pernah membuat pembayaran atau tidak konsisten menyelesaikan pinjaman PTPTN.

"Selaras dengan kenyataan yang telah dikeluarkan oleh Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam Tan Sri Mohamad Zabidi Zainal sebelum ini, PTPTN akan mula melakukan pemotongan gaji terhadap kakitangan awam terlibat pada hujung bulan depan," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Mesra PTPTN bersama pelanggan yang disempurnakan oleh Anggota Dewan Undangan Negeri Lepar Datuk Mohd Shohaimi Jusoh di sini, hari ini.

Katanya, pertemuan diadakan dengan penjawat awam yang terlibat merundingkan pinjaman secara ansuran bulanan.

Mohamad Zabidi dalam kenyataan sebelum ini berkata kesemua 163,007 penjawat awam yang tidak pernah membuat pembayaran atau tidak konsisten menjelaskan pinjaman PTPTN, diwajibkan membuat bayaran melalui potongan gaji.

Untuk itu, seramai 480 warga Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) termasuk 136 pegawai kumpulan pengurusan dan profesional akan menjadi kumpulan pertama membuat potongan gaji bagi bayaran balik PTPTN September ini.

Dalam perkembangan lain, PTPTN turut menyasarkan simpanan Skim Simpanan Pendidikan Nasional (SSPN-i) RM2 bilion menjelang 2020.

Agos berkata, setakat ini SSPN-i telah mempunyai 2.3 juta penyimpan dengan jumlah simpanan mencecah RM1 bilion.

-- BERNAMA

03 Ogos 2015

MALAYSIA AKAN TERUSKAN RUNDINGAN TPPA BERASAKAN MANDAT UNTUK PERTAHAN DAN PROMOSI KEPENTINGAN NEGARA

Bernama
1/8/2015


KUALA LUMPUR, 1 Ogos (Bernama) -- Malaysia akan meneruskan rundingan Perjanjian Perkongsian Trans-Pasifik (TPP) berasaskan mandat yang diberikan kabinet untuk mempertahan dan mempromosi kepentingan negara, kata Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Seri Mustapa Mohamed.
Pada Mesyuarat Peringkat Menteri TPP di Maui, Hawaii, Malaysia mengetengahkan kebimbangan dan sensitiviti spesifik bidang pemerolehan kerajaan, perusahaan milik negara dan isu Bumiputera memandangkan isu tertangguh ini menyentuh perlembagaan dan merupakan antara teras dasar negara.

Mengenai hak harta intelek, Mustapa berkata pendirian Malaysia dalam rundingan itu bertujuan memastikan orang awam mempunyai akses kepada ubat dan penjagaan kesihatan pada harga berpatutan, dan pada masa yang sama menyediakan insentif perlu untuk pembangun inovasi menghasilkan ubat-ubatan baharu.

Mengenai akses pasaran, Malaysia sudah memuktamadkan rundingan dengan kebanyakan pihak, yang membolehkan duti import kebanyakan produk dimansuhkan.

Australia, Brunei, Kanada, Chile, Jepun, Malaysia, Mexico, Peru, Singapura, Amerika Syarikat, New Zealand dan Vietnam terlibat dalam rundingan TPP.

"Hasil rundingan ini akan membuka peluang kepada akses pasaran, terutama dalam pasaran di mana Malaysia tidak menjalin Perjanjian Perdagangan Bebas seperti Amerika Syarikat, Kanada, Mexico dan Peru.

"Ia akan memberi kelebihan saingan kepada pengeksport Malaysia berbanding persaing serantaunya dalam pengeksportan produk seperti elektrik dan elektronik, produk kimia, minyak sawit, getah, kayu, tekstil serta komponen dan peralatan automotif," kata Mustapa dalam satu kenyataan Sabtu.

Mustapa berkata Malaysia terlibat dalam rundingan TPP disebabkan negara yakin dapat mempromosi agenda perdagangan dan pelaburan negara.

Sebagai ekonomi terbuka dan merupakan negara yang menerima manfaat daripada regim perdagangan dan pelaburan terbuka, kita perlu bergerak selari dengan perkembangan serantau, katanya.

Malaysia akan terus meningkatkan kefahaman rakyat mengenai TPP selain perundingan dengan Kaukus Parlimen, masyarakat sivil dan pemegang kepentingan yang lain bagi berkongsi pendirian kerajaan terhadap pelbagai isu.

"Kami mahu menegaskan bahawa jika rundingan TPP dimuktamadkan, teksnya akan dibentangkan di Parlimen untuk perbahasan. Sama ada Malaysia akan menjadi pihak dalam TPP merupakan keputusan secara kolektif," jelas Mustapa.

Beliau berkata pendirinya kukuh kerajaan bertujuan memastikan kedaulatan perlembagaan dan dasar teras seperti agenda Bumiputera dilindungi dan didukung.

Mesyuarat Peringkat Menteri TPP berlangsung di Maui dari 28 hingga 31 Julai.

Ia didahului dengan mesyuarat Ketua-Ketua Perunding TPP dari 24 hingga 27 Julai.

Pada akhir mesyuarat itu, masih ada beberapa isu yang memerlukan setiap wakil negara membincangkannya dengan kerajaan dan pemegang kepentingan masing-masing.

-- BERNAMA