10 Mei 2016

PELAKSANAAN GAJI MINIMUM BUKA PELUANG KERJA BELIA TEMPATAN

Bernama
10/5/2016


KEMAMAN, 10 Mei (Bernama) -- Pelaksanaan Perintah Gaji Minimum (PGM) 2016 sebanyak RM1,000 sebulan yang akan bermula Julai depan dilihat dapat memberi peluang pekerjaan kepada anak muda tempatan yang selama ini diisi kira-kira 1.9 juta pekerja asing yang berdaftar secara sah di seluruh negara.

Timbalan Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri Ismail Abd Muttalib berkata selama ini pekerja asing banyak terlibat dalam industri yang dikategorikan sebagai 3D iaitu - dangerous, dirty and difficult (bahaya, kotor dan susah).

"Namun, dengan pelaksanaan gaji minimum ini nanti, perlahan-lahan kita akan menggalakkan anak muda tempatan memasuki industri ini seterusnya beri peluang untuk mereka meningkatkan kemahiran dan menjadi pekerja berkemahiran tinggi dalam bidang tersebut.

Ini selaras matlamat kementerian yang menetapkan sasaran 35 peratus pekerja tempatan adalah terdiri dari pekerja mahir pelbagai bidang menjelang 2020 dan ketika ini jumlahnya telah mencapai 28 peratus yang diharap mampu mencapai sasaran itu dalam tempoh enam tahun lagi," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Sambutan Hari Keselamatan dan Kesihatan di Tempat Kerja 2016 Sedunia di sini hari ini yang turut dihadiri Presiden Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs), Datuk Azih Muda.

Kadar gaji minimum bulanan dan jam tersebut ditetapkan mengikut wilayah iaitu RM1,000 sebulan atau RM4.81 sejam bagi Semenanjung Malaysia manakala RM920 atau RM4.42 sejam untuk Sabah, Sarawak dan Labuan.

Mengulas lanjut, Ismail berkata mengikut Pertubuhan Buruh Antarabangsa terdapat 71 jenis pekerjaan yang dikategorikan sebagai 3D termasuk industri minyak dan gas.

"Jadi pelaksanaan gaji minimum ini nanti dapat membantu negara mengurangkan kebergantungan terhadap pekerja asing dalam semua industri itu, sebaliknya bakal diisi oleh anak muda tempatan," katanya.

-- BERNAMA

3 ulasan:

  1. Admin tolong perihatin tolong buang emel mengarut yang mengandungi perjudian,mcmmana boleh terlepas masuk dalam blog cuepacs ni,harap admin toling faham.

    BalasPadam
  2. Admin tolong perihatin tolong buang emel mengarut yang mengandungi perjudian,mcmmana boleh terlepas masuk dalam blog cuepacs ni,harap admin toling faham.

    BalasPadam
  3. Admin,seriuslah.byk sgt komen pasal judi ni.

    BalasPadam