10 Disember 2020

Skim penjawat awam Senoi Praaq perlu dinaik taraf

 Berita Harian


KUALA LUMPUR: Pasukan Gerakan Am (PGA) Senoi Praaq yang dianggotai Orang Asli perlu dinaik taraf dengan pemberian skim penjawat awam yang lebih baik khususnya berkaitan kenaikan pangkat dan gaji, memandangkan tugas serta risiko kumpulan itu sama seperti anggota polis lain.

Ketika ini, seramai 862 anggota Orang Asli dalam Polis Diraja Malaysia (PDRM) berada dalam skim penjawatan rendah dan permulaan gaji penjawat konstabel sekitar RM1,400 sahaja.

Bagaimanapun, penugasan diberikan kepada anggota penjawat awam ini tidak berbeza dengan anggota polis lain, malah risiko bertugas di sempadan dan hutan negara juga lebih mencabar.

Presiden Kongres Kesatuan Pekerja-pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS), Adnan Mat, berkata Orang Asli yang bertugas dengan PDRM mempunyai kemahiran luar biasa dan kepakaran mereka diperlukan menjaga keselamatan negara.

"Mereka hanya menekap telinga di bumi untuk mendengar kehadiran musuh. Kemahiran mereka ini bukan hanya berguna ketika zaman sebelum merdeka atau menentang penjajah komunis tetapi pada masa ini juga.

"Kepakaran mereka ini diwarisi secara tradisi dan tidak ada pada anggota polis lain, malah begitu berguna untuk menjaga sempadan negara pada hari ini," katanya dalam sidang akhbar, hari ini

Adnan berkata, meskipun kemahiran yang ada pada anggota Senoi Praaq, penjawat awam ini masih berada dalam skim penjawatan yang rendah dan berbeza daripada penjawat awam lain.

"Mereka ini bertugas dalam situasi berisiko dan sentiasa terdedah dengan ancaman nyawa termasuk tembakan peluru.

"CUEPACS berharap kumpulan ini lebih dihargai dan kita tidak mahu penghargaan sedemikian hanya diterima selepas mereka meninggal dunia sahaja sebaliknya hargailah ketika mereka sedang bertugas," katanya.

Kata Adnan, CUEPACS juga berterima kasih kepada kerajaan khususnya Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador yang menaikkan pangkat dua anggota (PGA), mendiang Koperal Baharuddin Ramli dan Koperal Norihan Tari ke pangkat Sarjan berkuat kuasa dalam kejadian berbalas tembakan di sempadan Malaysia-Thailand.

Presiden Persatuan Pegawai Rendah Polis Malaysia (PPRPD), Sub Inspektor Ayub Shafie, berkata anggota Orang Asli ketika ini menikmati skim penjawatan yang rendah kerana tahap pendidikan mereka biasanya Ujian Pentaksiran Tingkatan Tiga (PT3).

"Tetapi mereka ini mempunyai kemahiran yang tidak dimiliki anggota polis lain dan risiko serta penugasan anggota sama seperti anggota polis lain.

"Oleh itu, PPRPD amat berharap kerajaan menimbangkan semula skim ini kerana dari segi gaji, mereka ini sangat ketinggalan berbanding anggota polis yang lain," katanya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan