Bernama
11/1/2021
KUALA LUMPUR: Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) memberi jaminan sistem penyampaian perkhidmatan awam akan terus berjalan seperti biasa mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan susulan perkembangan terbaharu pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
Presidennya Adnan Mat berkata pihaknya yakin konsep bekerja dari rumah (BDR) yang telah diaplikasikan sejak Mac tahun lalu mampu memastikan negara tidak lumpuh walaupun pelaksanaan PKP di sesetengah negeri.
"Semua penjawat awam kebanyakannya sudah memahami dan bersedia melaksanakan tugasan berdasarkan konsep BDR ini. Bagi negeri-negeri yang terlibat dengan PKP Bersyarat (PKPB) dan PKP Pemulihan (PKPP), arahan bekerja di pejabat dan BDR adalah tertakluk kepada peraturan yang telah ditetapkan oleh kerajaan.
"CUEPACS berharap setiap ketua jabatan sentiasa mematuhi arahan yang dikeluarkan oleh kerajaan dalam mengatur tugas kakitangan masing-masing. Setiap arahan haruslah berpandukan garis panduan yang telah ditetapkan agar tidak merisikokan penjawat awam yang bertugas di pejabat ataupun di lapangan," katanya dalam kenyataan hari ini.
Terdahulu, Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin dalam perutusan khasnya mengumumkan pelaksanaan PKP di lima negeri - Pulau Pinang, Selangor, Melaka, Johor dan Sabah - serta Wilayah Persekutuan (Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan), bermula 14 hari bermula Rabu (13 Jan) hingga 26 Jan ini.
Enam lagi negeri - Pahang, Perak, Negeri Sembilan, Kedah, Terengganu dan Kelantan- diletakkan di bawah PKPB manakala Perlis dan Sarawak di bawah PKPP, juga untuk tempoh sama.
Adnan berkata pihaknya berharap semua pihak sentiasa mematuhi peraturan yang ditetapkan dan memberikan kerjasama yang baik kepada petugas barisan hadapan yang sentiasa bertungkus-lumus menjalankan tugas masing-masing.
-- BERNAMA
Tiada ulasan:
Catat Ulasan