31 Mac 2021

Amalan BDR wajar diteruskan -Cuepacs

 Kosmo
Oleh AHMAD SHAHERMAN SHAMSURI
31 Mac 2021, 5:53 pm


PETALING JAYA – Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) menasihatkan semua majikan di sektor swasta tidak terburu-buru memulakan operasi pada kapasiti 100 peratus walaupun kebenaran telah diberikan oleh kerajaan.

Presidennya, Adnan Mat berkata, segala pertimbangan perlu diberikan perhatian terutama daripada sudut kemampuan untuk mematuhi prosedur operasi standard (SOP).

Katanya, sebelum ini segala SOP yang ditetapkan dilihat gagal dipatuhi sehingga mengakibatkan tercetusnya kluster ditempat kerja.

“Begitu juga di sektor awam, setiap ketua jabatan perlu menguruskan operasi dan sumber manusia dengan sebaiknya.

“Penggunaan tenaga yang optimum di pejabat tanpa kehadiran penuh sudah pasti tidak akan menjejaskan operasi perkhidmatan awam selain mampu mengelakkan risiko jangkitan,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Menurut Adnan, amalan bekerja dari rumah (BDR) tidak akan menggangu sistem penyampaian perkhidmatan awam dan swasta sekiranya ia disusun dengan sebaik mungkin.

Jelas beliau, amalan BDR ini wajar diteruskan sehingga negara benar-benar bebas daripada penularan Covid-19.

“Implikasi pembatalan BDR ini cukup besar dan tidak dapat dijangka memandangkan kes jangkitan Covid-19 masih lagi tinggi.

“Kita tidak boleh mengambil risiko walaupun dengan kehadiran vaksin kerana jumlah mereka yang menerima suntikan tersebut masih lagi rendah,” ujarnya.-K! ONLINE

Tiada ulasan:

Catat Ulasan