KUANTAN: Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) menyarankan penjawat awam yang membeli rumah sama ada melalui Lembaga Pembiayaan Perumahan Sektor Awam (LPPSA) atau bank komersial mengambil perlindungan insurans tambahan termasuk harta benda.
Adnan Mat Presiden (tengah) dan Abdul Rahman Mohd Nordin Setiausaha Agung meninjau dua buah rumah yang terlibat dalam kejadian tanah runtuh di Taman Gambang Damai, Kuantan, 5 Januari lalu. |
Menurutnya, sebelum ini jika berlaku sebarang musibah seperti bencana atau malapetaka insurans takaful rumah tidak memberi perlindungan kepada barangan yang ada di dalam rumah.
“Dengan itu, jika ada penjawat awam selepas ini yang membuat pembelian atau pinjaman perumahan baharu perlulah meneliti keseluruhan polisi.
“Ini supaya apa yang berlaku dengan rumah mereka itu, perlindungan juga bukan sahaja meliputi dinding, struktur bangunan bumbung seperti tiang, syiling dan sebagainya tetapi termasuk barangannya.
“Jika tidak ada perlindungan semestinya harta benda hangus begitu sahaja, sekiranya dengan mengambil insurans perlindungan tambahan mereka juga dapat memperoleh kos-kos yang telah digunakan atau pelaburan sebelum ini,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Penyampaian Bantuan Sumbangan Banjir CUEPACS, di sini hari ini.
Seramai 530 orang mangsa banjir yang terpaksa berpindah ke pusat pemindahan sementara terdiri daripada penjawat awam seluruh Pahang dan merupakan ahli kesatuan CUEPACS telah menerima sumbangan banjir yang melanda Januari lalu.
Sementara itu, Adnan berkata, pihaknya turut mencadangkan Bank Negara serta Kementerian Kewangan mewajibkan syarikat insurans di Malaysia memasukkan terus perlindungan akibat kerosakan banjir dalam polisi semasa pembelian rumah.
“CUEPACS terus melihat kepada keperluan ini kerana setiap tahun musibah seperti banjir ini pasti berlaku dan menjadi masalah buat pemilik rumah yang tidak memiliki perlindungan tambahan untuk kediaman.
“Bagaimanapun ia tidak boleh menjadi alasan untuk pihak insurans menaikkan premium insurans ini. Tidak semua mampu untuk membeli perlindungan tambahan untuk kediaman masing-masing dan jika ia dimasukkan dalam perlindungan, sudah tentu dapat meringankan beban rakyat,” katanya. – UTUSAN ONLINE
Tiada ulasan:
Catat Ulasan