15 April 2021

Cuepacs seru 1.6 juta penjawat awam berwakaf melalui potongan gaji

Sinar Harian
13/4/2021 


SHAH ALAM - Kongres Kesatuan Pekerja-pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam Awam (Cuepacs) menyeru kesemua kira-kira 1.6 juta penjawat awam melibatkan diri dalam sumbangan wakaf tunai melalui potongan gaji secara berkala dan sukarela sempena Bulan Wakaf Kebangsaan.

Presidennya, Adnan Mat berkata, pembabitan penjawat awam itu dapat mengukuhkan peranan wakaf sebagai salah satu elemen penting yang mampu membantu meningkatkan taraf sosioekonomi rakyat tanpa mengira agama dan bangsa.

"Langkah kerajaan meluluskan Pekeliling Am Bilangan 1 Tahun 2020 untuk melakukan potongan gaji wakaf tunai secara sukarela bagi pegawai awam yang berkhidmat di persekutuan dan negeri merupakan satu kemudahan perlu dimanfaatkan oleh semua penjawat awam.

"Bayangkan sekiranya 1.6 juta penjawat awam menyumbang purata RM10 seorang pada setiap bulan untuk sumbangan wakaf, sudah tentu sekitar RM192 juta setahun mampu dikumpulkan ke dalam dana wakaf tersebut melalui penjawat awam sahaja," katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.

Adnan bagaimanapun menegaskan, usaha yang lebih berkesan perlu dilakukan oleh kerajaan terutama Yayasan Wakaf Malaysia bagi menyakinkan dan menggalakkan penglibatan penjawat awam terutama mereka yang bukan beragama Islam.

"Cuepacs juga berharap Yayasan Wakaf Malaysia dengan penglibatan majlis agama-agama Islam negeri melaksanakan pelbagai lagi inisiatif bagi mengukuhkan penglibatan rakyat terutama masyarakat bukan Islam supaya bersama-sama terlibat dalam pembangunan dana wakaf.

"Persepsi mengenai dana wakaf hanya khusus untuk umat Islam sahaja perlu ditangkis dalam pemikiran rakyat melalui pendekatan yang lebih mesra kepada masyarakat bukan Islam," jelas beliau.

Dalam konteks perkhidmatan awam pula, Adnan berkata, Cuepacs berharap semua ketua jabatan perlu memainkan peranan aktif dalam menggalakkan pegawai dan kakitangan terlibat dalam sumbangan wakaf tunai melalui potongan gaji.

"Salurkan info secara jelas mengenai peranan dan kepentingan berwakaf agar penjawat awam lebih jelas mengenai potongan gaji yang mereka lakukan," ujarnya.

Katanya, salah faham mengenai wakaf hanya untuk orang Islam dan hanya memberi manfaat kepada golongan itu sahaja harus diperbetulkan kerana konsep wakaf adalah untuk kesejahteraan umat manusia secara keseluruhan.


Tiada ulasan:

Catat Ulasan