KUALA LUMPUR: CUEPACS sedia untuk mengenal pasti sektor perkhidmatan yang perlu digerakkan atau ditambah baik bagi mencapai hala tuju seperti yang dihasratkan kerajaan.
Presidennya, Adnan Mat, berkata teguran oleh Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam (KPPA), Tan Sri Mohd Khairul Adib Abd Rahman termasuklah isu kakitangan awam hanya mengejar kenaikan pangkat dan pemalas perlu diberi perhatian sepenuhnya dan dibincang secara bersemuka.
CUEPACS tidak akan sesekali mempertahan mereka yang mengabaikan tanggungjawab sama ada pemalas, tidak berintegriti atau menerima rasuah malah menggalakkan mereka ini diambil tindakan sekiranya kelakuan itu benar berlaku.
"Dalam isu kenaikan pangkat, laluan kerjaya penjawat awam ada sistem Kenaikan Pangkat Secara Time-Based Berasaskan Kecemerlangan 13 tahun (TBK 13 tahun). Apabila genap 13 tahun perkhidmatan mereka, satu proses kenaikan pangkat akan dilakukan ketua jabatan.
"Tetapi apa yang berlaku h
ari ini, masih ramai yang tidak diproses kenaikan pangkat itu sehingga ada yang sudah melangkaui tempoh 15 tahun berkhidmat. Jika tidak layak menerima kenaikan pangkat kenapa ia tidak dijawab selepas pelaksanaan ini diproses dan kenapa perlu ditangguh.
"Sebenarnya ramai kakitangan awam tidak terburu-buru mahu naik pangkat pun, kerana gaji yang naik hanyalah RM10 sahaja, jika sebelum ini RM80 ia menjadi RM90, jika RM95, ia naik RM105 sahaja.
"Isunya adalah mengapa ketua jabatan tidak mahu mengikut pelaksanaan TBK 13 tahun dan ini tidak adil kepada setiap penjawat awam. Jika tidak layak atau mempunyai masalah kerja, kenapa tidak sesi kaunseling mahupun tindakan tatatertib diambil," katanya kepada BH, hari ini.
Mohd Khairul Adib hari ini ketika berucap dalam Perhimpunan Bulanan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) yang disiarkan secara langsung di Facebook JPA, menegur sikap sambil lewa penjawat awam ketika menjalankan tugas yang diberikan dengan mengatakan kebanyakan penjawat awam dilihat tidak membantu kerajaan untuk menjana serta merancakkan ekonomi negara, sebaliknya hanya mengharapkan kenaikan pangkat yang lebih tinggi.
Menyentuh mengenai kumpulan sukarelawan COVID-19 yang dihargai rakyat kerana lebih banyak membantu perjalanan proses vaksinasi, Adnan mengakui mereka sememangnya patut dipuji kerana menyenangkan petugas kesihatan awam yang tidak boleh meninggalkan stesen kerja masing-masing.
"Sebelum suntikan diberikan kepada calon, ada beberapa peringkat yang perlu dilalui mereka dan di setiap peringkat ini petugas kesihatan seperti doktor dan jururawat tidak boleh meninggalkan stesen mereka kerana mereka setiap kerja perlu dilaksanakan dengan teratur dan cekap khususnya dalam proses saringan kesihatan.
"Kumpulan sukarelawan ada di setiap pusat pemberian vaksin (PPV) tidak boleh melaksanakan kerja-kerja teknikal seperti yang dilakukan doktor. Merekalah yang akan berfungsi membantu rakyat atau golongan kurang upaya (OKU)," katanya.
Berkaitan isu penambahan pekerja pula Adnan berkata, tidak timbul isu berkenaan kerana setiap bahagian kini sedang mengoptimumkan fungsi masing-masing.
"Bagaimanapun ketika ini dalam jabatan kerajaan pengisian jawatan tidak diisi sepenuhnya kerana ada yang sudah bersara atau meninggal dunia ketika dalam perkhidmatan. Mereka ini tidak diganti dan disebabkan itu kita menyeru tempat mereka ini diisi. Ianya bukanlah permintaan untuk penambahan kakitangan," katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan