PETALING JAYA – Tindakan Lembaga Pembiayaan Perumahan Sektor Awam (LPPSA) memperkenalkan Program LPPSA i-Prihatin seperti mahu mengambil keuntungan secara berselindung daripada penjawat awam.
Presiden Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs), Adnan Mat berkata, program itu bukan membantu penjawat awam sebaliknya ia membantu syarikat insurans untuk melakukan jualan.
Beliau berkata, pihaknya tidak faham mengapa agensi kerajaan seperti LPPSA masih mahu mencari keuntungan ketika kebanyakan rakyat terkesan dengan pandemik Covid-19.
"Walaupun program ini menawarkan perlindungan tambahan, Cuepacs merasakan program yang kononnya ‘prihatin’ tetapi tetap mengenakan bayaran langsung tidak mencerminkan keprihatinan LPPSA untuk bersolidariti membantu rakyat yang terkesan.
Adnan berkata, mengapa LPPSA perlu menjual perlindungan tambahan sekiranya ia boleh dimasukkan dalam perlindungan insurans sedia ada.
Jelasnya, LPPSA perlu menjadi badan yang mengurus pinjaman perumahan penjawat awam dengan lebih baik, murah dan tidak mengenakan caj insurans membebankan.
“Daripada memperkenalkan Program LPPSA i-Prihatin yang hanya menguntungkan pihak-pihak tertentu, lebih baik LPPSA mempertimbangkan pemberian moratorium kepada penjawat awam,” ujarnya.
Terdahulu, media melaporkan LPPSA hari ini telah memperkenalkan Program LPPSA i-Prihatin kepada pelanggan yang masih mempunyai akaun berstatus aktif.
Menurut LPPSA, program kerjasama antara agensi itu dengan panel insuransnya memberi pilihan kepada pelanggan untuk memiliki perlindungan tambahan selain perlindungan insurans yang diluluskan bersama-sama pembiayaan perumahan sektor awam sebelum ini.-K! ONLINE
Tiada ulasan:
Catat Ulasan