14 Ogos 2021

Penjawat awam perlu bersifat neutral: Cuepacs

 Sinar Harian
14 Ogos 2021


SHAH ALAM - Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) menegaskan ikrar penjawat awam perlu bersifat neutral dan tidak meletakkan kepentingan politik dalam setiap tindakan.

Presidennya, Adnan Mat berkata, kesetiaan penjawat awam hanya kepada raja, negara dan kerajaan semasa, tidak kira apa yang berlaku dalam konteks perubahan pucuk kepimpinan kerajaan.

Menurut beliau, tugas penjawat awam adalah untuk memberi khidmat dan sokongan bagi memastikan sistem penyampaian kerajaan berada pada tahap cemerlang.

“Penjawat awam adalah jentera kerajaan yang hanya melaksanakan tugasan melalui dasar-dasar semasa kerajaan secara profesional bagi memastikan ia dapat dicapai sebaik mungkin.

“Cuepacs berharap pemimpin kerajaan sentiasa memahami ikatan ini agar para penjawat awam tidak didakwa menyebelahi mana-mana pihak.

“Pemimpin dan penjawat awam perlu bersikap profesional untuk memastikan negara ini benar-benar menelusuri sistem demokrasi yang matang serta memberi manfaat kepada semua pihak,” katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.

Mengulas lanjut, Adan Mat yakin Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mampu meneruskan kecemerlangan pentadbiran kerajaan dalam memastikan negara berada di landasan yang lebih baik terutama dalam menguruskan pandemik Covid-19 dan ekonomi rakyat.

Cuepacs jelas beliau, akan memberikan komitmen penuh dalam memadu tenaga untuk menjayakan Pelan Pemulihan Negara.


Tiada ulasan:

Catat Ulasan