07 November 2021

Cuepacs cadang terus berunding Sistem Saraan Malaysia

 Utusan Malaysia

  • 6 November 2021, 6:08 pm
  • Oleh MOHAMAD FAIZAL HASHIM




ADNAN Mat (berdiri, empat dari kanan) beramah mesra dengan sebahagian penjawat awam pada Majlis Penutup Kursus Kepemimpinan Dalam Kesatuan Sekerja dan Penyampaian Sijil di Hotel Seri Malaysia, Johor Bahru. - FOTO/RAJA JAAFAR ALI 


JOHOR BAHRU: Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) mencadangkan kerajaan supaya terus membuka pintu rundingan untuk melaksanakan Sistem Saraan Malaysia yang baharu agar ia dapat dilaksanakan secepat mungkin. 

Presidennya, Datuk Adnan Mat berkata, ini kerana sistem sedia ada yang hampir berusia 20 tahun itu sudah tidak lagi relevan dengan tangga gaji minimum yang rendah iaitu RM1,200 sebulan. 

Katanya, pihaknya mencadangkan gaji minimum ditetapkan pada RM1,800 sebulan memandangkan kos kehidupan ketika ini semakin meningkat. 

“Justeru, sistem saraan yang baharu perlu diwujudkan untuk tampung keperluan penjawat awam supaya dapat tangga gaji yang selesa setimpal dengan perbelanjaan harian. Gaji minimum perlu berubah setelah harga barangan meningkat berkali-kali.

“Cadangan gaji minimum RM1,800 ini bertepatan dengan pengumuman Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang menyasarkan negara berpendapatan tinggi dan pendapatan isi rumah RM10,000 sebulan menjelang 2025 dalam Rancangan Malaysia ke-12 (RMK-12).

“Sekiranya kerajaan tidak ubah sistem ini, maka sasaran ini tak mungkin akan dapat dikecapi dengan gaji penjawat awam ketika ini,” katanya selepas Majlis Penutup Kursus Kepemimpinan Dalam Kesatuan Sekerja dan Penyampaian Sijil, di sini hari ini.

Adnan berkata, gaji permulaan sektor kerajaan RM1,200 sebulan pada masa ini tanpa mengambil kira lain-lain elaun jauh di bawah Pendapatan Garis Kemiskinan (PGK) negara iaitu RM2,208.

Sementara itu, ketika ditanya mengenai aduan berkaitan penjawat awam yang tidak terima vaksin, beliau berkata, sehingga kini, pihaknya belum menerima aduan berhubung kakitangan awam yang enggan mengambil suntikan vaksin Covid-19.

Katanya, penjawat awam harus divaksin dalam memberi keselesaan terhadap persekitaran tempat kerja yang selamat dan selesa.

“Kami bersetuju dengan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) supaya mengambil tindakan terhadap kakitangan yang tidak mahu mengambil suntikan.

“Ketua JPA masing-masing disarankan memanggil mereka yang berkaitan. Jika didapati tidak boleh divaksin, dapatkan surat pengesahan dari pengamal perubatan, namun jika enggan tanpa alasan munasabah, adakan perjumpaan seperti sesi kaunseling lanjutan,” katanya. – UTUSAN

6 ulasan:

  1. Harga Rumah juga naik mendadak. Cer check mudah.my. Harga kereta second hand pun naik juga.

    BalasPadam
  2. Bila nak laksanakan pengeluaran GCR 50% ni.. dah masuk 2 tahun..ke janji kosong ajer.. hampeh betul..

    BalasPadam
  3. Ulasan ini telah dialihkan keluar oleh pengarang.

    BalasPadam
  4. Assalammulaikum dan Salam sejahtera,

    Berkaitan Isu Gaji Minimum, saya memohon pihak Cuepac berterusan dalam memperjuangkan perkara ini sehingga berjaya. Oleh sebab Kos kehidupan sehingga sekarang memang tiada tanda-tanda untuk penurunan, saranan ini adalah untuk menstabilkan kemampuan kewangan Penjawat Awam dalam mendepani kehidupan seharian, baik yang bekeluarga mahupun bujang dan ini juga melibatkan masa hadapan yang lebih baik di peringkat kependudukan kewangan dalam isu semasa negara kini.

    Isu ini juga berkait rapat dengan kenaikan harga keperluan barangan asas dan keperluan hidup meningkat sehingga diunjurkan ke-4 kali dalam setahun sehingga kan ianya sekaligus membebankan isi rumah (Penjawat Awam) yang berada di bawah kepompong B40 dan M40 dengan kenaikan tahunan yang 1 kali dalam setahun.

    Tidak dilupakan juga dipohon pihak cuepac untuk memperjuangkan sekali Kenaikan Gaji Tahunan (KGT) yang berpatutan bagi memberi pembolehubah kepada pendapatan tahunan serta Elaun-elaun semasa dalam Penjawat Awam seperti :-
    1. Elaun Sara Hidup
    2. Elaun Rumah
    3. Imbuhan Tetap Khidmat Awam
    Serta elaun-elaun yang difikirkan perlu.

    Justeru dengan perjuangan terbabit, ini membolehkan Penjawat Awam di kelompok B40 dan M40 mengecapi kehidupan yang stabil serta boleh menarik nafas lega dalam ketidakseimbangan ekonomi semasa serta didalam faktor pendemik Covid19 yang melanda negara buat masa ini.

    Sekian, Terima kasih

    BalasPadam
  5. Ulasan ini telah dialihkan keluar oleh pengarang.

    BalasPadam