AHAD lalu, Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yakaob membayangkan ada berita baik untuk penjawat awam pada akhir bulan ini. Ogos adalah bulan sambutan kemerdekaan ke-65 tahun dan bersesuaian meraikan 100 hari Ismail Sabri memegang tampuk pentadbiran negara.
Baru-baru ini juga, Presiden Kongres Kesatuan Pekerja-pekerja di Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS), Datuk Adnan Mat bertemu Ketua Setiausaha Negara (KSN), Tan Sri Mohd Zuki Ali dan mengulangi beberapa tuntutan untuk kepentingan pekerja sektor awam.
Antara tuntutan CUEPACS ialah pelaksanaan gaji minimum dinaikkan kepada RM1,800, pemberian dua Kenaikan Gaji Tahunan (KGT) secara khas, sistem saraan Malaysia lebih berkesan, menyeluruh, adil dan saksama, elaun tertentu serta beberapa tuntutan lain
CUEPACS berharap tuntutan mereka dipenuhi kerajaan selaku majikan sebelum Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15), yang mungkin diadakan pada tahun ini juga.
Presiden CUEPACS itu turut memberi peringatan kesatuan sekerja akan melakukan piket sekiranya gaji penjawat awam tidak dinaikkan sebelum Parlimen dibubarkan.
Ini satu ugutan berat sebuah kesatuan sekerja dianggotai lebih 100 kesatuan sekerja sektor awam Malaysia. Benarkah CUEPACS akan melakukan protes jalanan besar-besaran itu?
Perjanjian kolektif
Berdasarkan rekod dan sejarah CUEPACS, protes seperti piket ini lazimnya tidak berlaku. Walaupun tidak terdapat 'perjanjian kolektif', yang membawa makna tidak wujudnya 'perundingan kolektif' setiap tiga tahun sekali, hubungan majikan-pekerja sektor awam tidak pernah seburuk mana pun.
Perundingan di antara CUEPACS dengan kerajaan adalah lebih langsung, membolehkan kewujudan 'hubungan' lebih baik antara majikan-pekerja wujud di sektor awam sejak dahulu lagi, walaupun ketika ekonomi meleset.
Kepemimpinan CUEPACS sering dilihat lebih 'bersimpati' dan bersikap lebih memahami ketika kerajaan dilanda cabaran besar terutama dalam menghadapi kemelesetan ekonomi.
Hubungan kerajaan selaku majikan terbesar Malaysia ini dengan CUEPACS terlihat sering lebih baik, lebih konsisten positif, malah sebenarnya lebih berkesan.
Ini kerana CUEPACS memayungi semua pekerja sektor awam. Ini bermakna, apa sahaja hasil daripada 'perundingan bersama' antara Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) atau bersama KSN, mahupun secara terus dengan Perdana Menteri akan dinikmati semua pekerja sektor awam.
Ini berbeza dengan hubungan Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) dengan majikan di sektor swasta. Walaupun MTUC 'payung' bagi hampir semua kesatuan sekerja sektor swasta, ia sendiri bukan kesatuan sekerja.
Lebih memeritkan lagi, hanya sejumlah peratusan kecil sahaja pekerja sektor swasta memiliki kesatuan sekerja. Lebih mencabar lagi kebanyakan kesatuan sekerja di sektor swasta adalah kesatuan sekerja dalaman, bukan kesatuan sekerja kebangsaan.
Ini bermakna, pekerja sektor swasta adalah golongan lebih terdedah kepada 'budi bicara', sikap kemanusiaan dan keprihatinan majikan, terutama apabila dilanda krisis ekonomi dan kesihatan seperti COVID-19, kemelesetan ekonomi dan lain keadaan memudaratkan mereka.
Pada masa sama kesatuan majikan seperti Persekutuan Majikan-majikan Malaysia (MEF) mempunyai taring tersendiri selaku pendesak dan mampu mempengaruhi dasar pekerjaan di Malaysia.
Nasib penjawat awam terbela
Senario semasa membuktikan apabila hari ini, walaupun gaji golongan pekerja di sektor awam masih belum begitu memuaskan, secara perbandingan dengan golongan pekerja di sektor swasta, nasib pekerja sektor awam adalah jauh lebih baik dan terbela.
Mungkin akan ada suara mempertikaikan tuntutan CUEPACS, namun ia bersandarkan kenaikan kos sara hidup terkini dan keadaan ekonomi turut dirasai penjawat awam. CUEPACS selaku kesatuan sekerja induk sudah tentu bertanggungjawab memperjuangkan kepentingan ahlinya.
Pandemik COVID-19 selama lebih dua tahun meninggalkan kesan amat besar kepada semua golongan pekerja di Malaysia. Secara perbandingan, kesan negatif dihadapi pekerja sektor awam adalah kurang berbanding pekerja sektor swasta dan mereka yang bekerja sendiri.
Penutupan sektor ekonomi secara besar-besaran untuk mengurangkan risiko merebaknya kes COVID-19 memburukkan suasana dan kini negara berada dalam fasa peralihan ke endemik sekali gus membolehkan sektor ekonomi dapat dibuka semula sepenuhnya.
CUEPACS yang ahlinya adalah kesatuan sekerja sektor awam, badan berkanun serta bergabung di bawahnya, tidak mempunyai perundingan kolektif dan perjanjian kolektif, seperti mana dinikmati kesatuan sekerja sektor swasta, namun hubungan antara majikan-pekerja sektor awam lebih rapat.
Natijahnya, kerajaan amat memerlukan sokongan padu pekerja sektor awam dalam memastikan semua dasar pembangunan negara terlaksana baik.
Penjawat awam adalah tulang belakang kerajaan, yang mana kecekapan mereka, kepantasan dalam melaksanakan arahan selain perkongsian maklumat terkini antara rakyat dan kerajaan amat kritikal, terutama di saat genting seperti sekarang.
Antara saat genting lagi kritikal ialah apabila berlaku perubahan kerajaan, kemelesetan ekonomi menyebabkan orang awam atau rakyat resah, dan apatah lagi apabila PRU dilaporkan semakin hampir.
Semua keadaan ini meletakkan kedudukan CUEPACS berada pada keadaan lebih baik dan istimewa lagi untuk 'berunding' dengan kerajaan bagi memenuhi pelbagai tuntutan tertunggak.
Risiko dihadapi sebuah kerajaan yang hilang sokongan penjawat awam adalah terlalu tinggi dan boleh mengakibatkan kerajaan runtuh. Ini terbukti berlaku pada PRU lalu.
Dalam konteks Malaysia hari ini, semua keadaan dinyatakan di atas sedang berlaku dan mungkin berulang. Kestabilan politik perlu untuk kesejahteraan negara dan pembangunan ekonomi rancak, justeru di sinilah letaknya kepentingan pekerja sektor awam dalam negara.
Profesor Hubungan Industri dan Dasar Awam, Universiti Teknologi Malaysia (UTM)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan