20 Ogos 2008

CUEPACS PASTIKAN PROSES TIDAK BEBAN CALON

Petikan dari Berita Harian
20/8/2008

Cuepacs mahu prosedur menemu duga calon kakitangan awam termasuk proses awal iaitu peperiksaan dan penilaian dipermudahkan dengan dibuat pada hari sama. Saranan itu dibuat ekoran kos yang terpaksa ditanggung calon jika terpaksa menghadiri proses temu duga pada hari berasingan.
Presidennya, Omar Osman, berkata walaupun pihaknya menyambut baik saranan Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (SPA) untuk memperkenalkan proses saringan iaitu peperiksaan dan penilaian, mekanisme terbaik perlu diteliti bagi mengelak calon terutama yang miskin menanggung beban sehingga terpaksa tidur di masjid atau surau. "Jika calon berjaya, mungkin proses yang panjang dianggap berbaloi, namun jika calon berjaya pada proses saringan, gagal ketika ditemuduga pada hari lain, akan membebankan mereka," katanya, semalam. Akhbar semalam melaporkan jumlah calon yang dipanggil untuk temu duga bagi jawatan dalam SPA pada masa akan datang dijangka jauh lebih kecil berbanding sekarang, kerana sebelum dipanggil menghadiri temu duga, mereka perlu melalui dua proses saringan iaitu peperiksaan dan penilaian.
Pengerusi SPA, Tan Sri Jamaluddin Ahmad Damanhuri, dilaporkan berkata dengan cara itu proses temu duga lebih singkat. Omar berkata, SPA juga disaran tidak memanggil terlalu ramai calon untuk ditemu duga jika tidak banyak kekosongan jawatan. Beliau juga menggesa kakitangan kontrak yang berpengalaman tidak disamakan dengan calon baru ketika proses temu duga. Sementara itu, Omar menjelaskan kakitangan sokongan I dan II sektor awam dibenar menyertai kempen pilihan raya kecil Permatang Pauh jika mendapat kebenaran ketua jabatan mereka.
Bagaimanapun, kakitangan peringkat pengurusan dan profesional tidak dibenarkan untuk menyertai majlis atau kempen mana-mana parti.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan