29 Jun 2009

HENTI HANTAR AMAH JEJAS SEKTOR AWAM

Berita Harian
Oleh Han Kar Kay
bhnews@bharian.com.my



Cuepacs bimbang produktiviti kakitangan terjejasIPOH: Cuepacs bimbang tindakan kerajaan Indonesia menghentikan sementara penghantaran pembantu rumah akan menjejaskan produktiviti penjawat awam dan melambatkan sistem penyampaian agensi kerajaan. Presidennya, Omar Osman, berkata dalam situasi kedua-dua suami dan isteri yang bekerja sebagai penjawat awam, salah seorang terpaksa mengambil cuti tanpa gaji atau cuti sakit jika pembantu rumah mereka tamat tempoh atau menghilangkan diri dan tidak boleh diganti.
Beliau berkata, cuti secara mengejutkan itu akan menyebabkan operasi jabatan kerajaan terutama yang melaksanakan pakej rangsangan ekonomi tidak dapat bergerak sepenuhnya sehingga menjejaskan usaha menangani krisis ekonomi. "Kakitangan rendah yang mempunyai ramai anak dan terpaksa mendapatkan orang gaji akan terjejas jika pembantu rumah melarikan diri dan tiada pengganti. "Namun, pegawai berpangkat tinggi tidak akan terjejas kerana mereka mampu mendapatkan bantuan pembantu rumah dari Filipina.
"Cuepacs mencadangkan supaya kerajaan mengadakan skim latihan khas dan program induksi untuk melatih pembantu rumah supaya mereka dapat menunjukkan disiplin yang lebih baik," katanya di sini, semalam. Omar berkata, kerajaan mesti mewajibkan majikan dan pembantu rumah menghadiri program induksi secara bersama untuk memastikan pembantu rumah memahami kehendak majikan. "Amah yang datang dari tempat berlainan di Indonesia mempunyai budaya yang berbeza dengan rakyat tempatan dan untuk memastikan mereka memahami kehendak majikan, kedua-dua majikan dan amah wajib menghadiri program induksi bersama," katanya. Omar berkata, Kementerian Sumber Manusia juga patut menetapkan gaji minimum untuk pembantu rumah tempatan agar rakyat Malaysia juga boleh bekerja sebagai pembantu rumah.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan