24 April 2010

SUBRAMANIAM MINTA MTUC TAK POLITIKKAN BURUH

Berita Harian
2010/04/24





KUALA LUMPUR: Menteri Sumber Manusia, Datuk Dr S Subramaniam meminta Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) tidak mempolitikkan langkah kementeriannya mengkaji semula undang-undang buruh. Beliau berkata, kumpulan pekerja dan majikan boleh memberi pandangan mereka mengenai pindaan undang-undang itu, dan kementerian mengalu-alukan pandangan serta cadangan mereka, termasuk MTUC, berhubung pelbagai perkara.
"Kami sentiasa terbuka untuk perbincangan, dan mereka (MTUC) perlu mengambil peluang itu untuk memberi cadangan atau cadangan balas. "Mereka tidak sepatutnya menjadikannya sebagai satu isu politik kerana perkara itu membabitkan pekerja," katanya dalam kenyataan di sini, semalam. MTUC dilapor bercadang mengadakan bantahan terhadap pindaan undang-undang buruh itu di Hulu Selangor sebelum pilihan raya kecil bagi kerusi Parlimen Hulu Selangor, Ahad ini. Subramaniam berkata, adalah sesuatu yang luar biasa bagi MTUC mengambil tindakan kerana kementerian belum memutuskan mengenai pindaan undang-undang terbabit. "Ia tidak sepatutnya dijadikan isu pilihan raya. Kami akan mengambil kira semua perkara sebelum memutuskan perkara itu. "Pandangan mereka adalah penting untuk kami merangka dasar. Adalah lebih baik bagi MTUC menggunakan saluran ini (perbincangan) dalam memperjuangkan hak pekerja," katanya. Sementara itu, Setiausaha Eksekutif Persatuan Kebangsaan Pekerja Ladang (NUPW) A Navamukundan, berkata tiada pihak yang perlu mengambil tindakan tergesa-gesa kerana rundingan mengenai pindaan undang-undang buruh itu masih berjalan. "Masih ada ruang untuk berbincang dan bertukar pandangan kerana kita masih pada peringkat awal. Semua pihak terbabit sudah dijemput oleh kementerian (Sumber Manusia) untuk mengambil bahagian dan mereka bebas memberikan pandangan sama ada bersetuju atau tidak terhadap mana-mana perkara," katanya. Presiden Kongres Kesatuan Pekerja-pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) Omar Osman berkata pihaknya tidak bimbang dengan pindaan itu kerana ia masih pada peringkat awal. "Kami diberi peluang oleh Kementerian Sumber Manusia untuk mengambil bahagian dalam proses perbincangan, dan kami akan memberikan pandangan serta cadangan kami," katanya

Tiada ulasan:

Catat Ulasan