26 April 2010

TINDAKAN MPM TIDAK WAJAR - CUEPACS

Sinar Perak
25/4/2010




SITIAWAN - Kongres Kesatuan Pekerja-pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) menggesa Majlis Perbandaran Manjung (MPM) memberi penjelasan sewajarnya kepada 200 pekerjanya yang bekerja lebih masa setiap Sabtu selama 13 bulan tanpa bayaran. Timbalan Setiausaha Agung II, Adnan Mat berkata, MPM mengarahkan pekerjanya untuk bekerja lebih masa tidak seperti yang ditetapkan oleh kerajaan supaya semua pekerja bekerja hanya lima hari seminggu. Menurutnya, masalah yang dihadapi oleh pekerja MPM itu perlu mendapat perhatian sewajarnya dengan membayar elaun lebih masa. “Tindakan MPM ini adalah tidak wajar dan
pihak kami akan sedaya upaya membantu pekerja yang tertindas itu,” katanya ketika berucap bagi merasmikan Mesyuarat Agung Dwi Kesatuan Pekerja Rendah Awam Kerajaan Negeri Perak Cawangan Manjung ke-39, semalam. Hadir sama, Pengerusi Kesatuan Pekerja Rendah Awam Kerajaan Negeri Perak Cawangan Manjung, Vadivelu Subramaniam; Yang Dipertua Kesatuan Pekerja Rendah Awam Kerajaan Negeri Perak, Zakaria Taha dan Setiausaha Sulit Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Ting Tai Fook. Dalam masa sama, Adnan berkata, pihaknya juga menolak penswastaan pengurusan sisa pepejal yang dilihat akan menimbulkan pelbagai masalah kepada pekerja mahupun pihak kerajaan itu sendiri. Katanya, penswastaan itu juga akan menyebabkan ramai pekerja rendah awam kehilangan kerja. “Hal itu berlaku kerana kebanyakan syarikat konsesi akan mengambil pekerja asing. “Mengikut kajian yang dijalankan mendapati, pekerja rendah ini tidak suka bekerja dengan syarikat konsesi kerana mempunyai pelbagai masalah,” katanya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan