12/9/2011
MELAKA 11 Sept. - Pembantu Penguat Kuasa Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Asnawi Mohd. Hassan, yang cedera ketika melakukan penerjunan payung terjun di Akademi JPJ, Tiang Dua, di sini semalam, dilaporkan dalam keadaan stabil di Hospital Melaka di sini.
Asnawi, 40, yang ditemui pemberita di hospital itu hari ini berkata, dia bagaimanapun sukar berjalan kerana tulang pinggul kanannya retak selain luka kecil di kepala kerana terhantuk pada longkang.
Dia yang berpengalaman melakukan 320 kali penerjunan berkata, insiden itu sedikit pun tidak melunturkan semangatnya untuk terlibat dalam sukan ekstrem tersebut.
"Saya tidak serik, ini bukan pengalaman pertama (kemalangan). Saya anggap perkara biasa dalam sukan payung terjun," katanya yang enggan mendedahkan bentuk pengalamannya itu.
Presiden Kesatuan Pegawai Pengangkutan Jalan Semenanjung Malaysia (KPPJSM), Hamzah Masri dan Pengerusi Kongres Kesatuan Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) negeri, Saleh Majid meluangkan masa melawat Asnawi.
Dalam kejadian itu, Asnawi melalui detik cemas apabila bendera yang dibawanya bagi persembahan payung terjun tersangkut pada dahan sebatang pokok.
Insiden berlaku sewaktu dia melakukan penerjunan ketiga pada majlis Penutup dan Perbarisan Tamat Latihan Kursus Asas dan Induksi Pembantu Penguat Kuasa JPJ.
Dia cuba membuat pendaratan di padang berkenaan yang menjadi tempat majlis berlangsung dan turut dihadiri Timbalan Menteri Pengangkutan, Datuk Abdul Rahim Bakri.
Asnawi yang juga bekas anggota tentera di Kem Sungai Udang di sini, sebelum berhenti pada 2004 dan menyertai JPJ pada 2007 berkata, dia begitu bersemangat untuk melakukan penerjunan itu pada ketinggian 1,219 meter dari pesawat Cessna 172.
"Ketika itu, cuaca seperti biasa dan baru lepas hujan lebat. Saya tambah bersemangat melihat dua penerjun selamat dan hampir mendarat di padang kawad.
"Namun entah kenapa, ketika hampir mendarat, tiba-tiba bendera (diikat pada kaki) tersangkut pada sebatang pokok dan saya tergantung sebelum terjatuh pada ketinggian 4.6 meter," katanya.
Tambahnya, dia jatuh terduduk pada tebing simen sebelum tercampak sejauh kira-kira 2.3 meter serta terhumban ke dalam longkang yang penuh dengan air.
1 ulasan:
Herannnnnnnn,
ko kena pi jumpa loyer Sulaiman Akhlaken pasal kes engko.
Catat Ulasan