15 November 2011

GAKUM SOKONG KERAJAAN KAJI SEMULA AUKU

Bernama
1511/2011



ALOR GAJAH, 15 Nov (Bernama) -- Gabungan Kesatuan Universiti Malaysia (GAKUM) pada Selasa menyokong usaha kerajaan untuk mengkaji dan menimbang semula Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU), kata presidennya Datuk Omar Osman.

Omar, yang juga Presiden Kongres Kesatuan Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs), berkata kajian semula AUKU ini turut meliputi pertimbangan semula peranan pekerja di setiap universiti.

"Saya juga berharap agar Majlis Bersama Jabatan (MBJ) diteruskan kerana pada masa kini Jawatankuasa Kebajikan Pekerja Universiti (JKP) dilihat tidak meliputi skop yang dikehendaki," katanya pada sidang media di sini, pada Selasa.

Omar berharap proses kajian semula AUKU ini perlu dipercepatkan supaya peranan serta hak pekerja dan majikan dapat diselesaikan dalam satu tempoh yang cepat.

"Kalau kita hanya berharap pada JKP yang hanya bermesyuarat setahun dua kali, setiap isu-isu pekerja tidak akan dapat diselesaikan dengan segera, berbanding jika kita menggunakan MBJ yang mewajibkan empat kali setahun untuk bermesyuarat," katanya.

Jelas beliau, GAKUM yang di bawah Cuepacs turut memfokuskan kepada hak-hak pekerja antaranya skim pendapatan, kenaikan pangkat dan tatatertib pekerja.

-- BERNAMA

Tiada ulasan:

Catat Ulasan