Utusan Malaysia
12/5/2012
Bismillahirahmanirrahim.
Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh dan Salam 1Malaysia.
Pertama-tama, sebesar-besar pujian dan rasa syukur diucapkan ke
hadrat Allah S.W.T yang telah melimpah taufik dan kurnia-Nya kepada kita
semua agar hidup dalam aman dan kerukunan.
Ampun Tuanku,
Menghadap Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, Almu'tasimu
Billahi Muhibbuddin Tuanku Alhaj Abdul Halim Mu'adzam Shah ibni Almarhum
Sultan Badlishah.
Menghadap Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong, Tuanku Hajah Haminah.
Ampun Tuanku beribu-ribu ampun, sembah patik mohon diampun.
Sebagai bunga mukadimah, patik bagi pihak Kerajaan, anggota
keselamatan, penjawat awam dan rakyat Malaysia sekaliannya
mempersembahkan setinggi-tinggi junjungan kasih kepada Tuanku berdua
sempena pertabalan sebagai Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong dan
Raja Permaisuri Agong keempat belas, pada pagi yang penuh beristiadat
ini.
Sesungguhnya, lembaran-lembaran kehidupan sejak zaman berzaman
menyaksikan setiap satu perkara akan tiba jua pada waktunya. Setiap satu
peristiwa pula akan berlaku pada tempoh dan saatnya. Maka, setelah
lebih 40 tahun berlalu pada pagi yang nyaman dan syahdu ini, Malaysia
sekali lagi mengukir dan memahat pada titik-titik garisan sejarah negara
yang bitara lagi tersendiri, apabila bertakhta buat kali keduanya,
Tuanku Alhaj Abdul Halim Mu'adzam Shah sebagai Seri Paduka Baginda Yang
di-Pertuan Agong.
Sayugia majlis pertabalan ini menjadi perlambangan betapa utuhnya
institusi kebangsaan yang telah terzahir sejak lebih lima dekad lalu.
Inilah cerminan kebijaksanaan pentadbiran bapa-bapa pengasas pertiwi
tercinta yang bertali arus lagi sambung menyambung semenjak Almarhum
Tunku Abdul Rahman sampailah kini dalam mengadun dan menenun fabrik
warisan lampau serta keperluan masa depan demi mencipta kestabilan
nasional.
Hasilnya, lahirlah sistem Raja Berperlembagaan dan Demokrasi
Berparlimen yang berteraskan falsafah Persekutuan serta prinsip
ketertinggian perlembagaan itu sendiri. Lalu wujudlah sebuah ekosistem
sebagai pemangkin kepada transformasi Malaysia daripada sebuah negara
pertanian berpendapatan rendah kepada sebuah negara perindustrian moden
berpendapatan sederhana tinggi.
Ampun Tuanku,
Membuka lipatan-lipatan waktu, negara kita telah diuji dan dihadapkan
dengan pelbagai episod genting seperti darurat, pemberontakan Parti
Komunis Malaya, era konfrantasi dan insurgensi.Kemudiannya, ketidakstabilan ini ditambah buruk oleh pergeseran kaum
akibat dieksploitasi oleh pihak yang tidak bertanggungjawab.Era luar biasa tersebut memerlukan langkah yang juga luar biasa untuk
menanganinya. Kini, masa telah berkisar, musim juga beralih. Maka,
sebagai Kerajaan yang menjunjung kepentingan rakyat, langkah luar biasa
wajar diambil berpaksikan keberanian moral demi perubahan dan
pembaharuan.
Ampun Tuanku,
Sempena sambutan Hari Malaysia ke-48, patik bagi pihak Kerajaan telah mengumumkan sebuah road map dalam memeta perubahan dan pembaharuan landskap siasah negara melalui Program Transformasi Politik atau PTP.
PTP adalah sebahagian daripada Dasar Transformasi Nasional yang
melibatkan komponen Program Transformasi Kerajaan, Program Transformasi
Ekonomi, Model Baru Ekonomi dan Program Transformasi Luar Bandar.
Bagi menjelaskan lagi, sebenarnya, usaha-usaha untuk merencana segala
bentuk transformasi tersebut, bermula tiga tahun lalu, adalah sebagai
tapak, kerangka serta landasan yang mencakupi semua aspek dan bidang.
Apa yang penting, matlamat akhirnya adalah untuk memacu Malaysia menjadi
sebuah negara maju dengan rakyat berpendapatan tinggi menjelang tahun
2020.
Sebetulnya lagi, PTP digembleng atas sebab Kerajaan Tuanku menginsafi
bahawa keinginan muncul sebagai negara maju menuntut kepada kemajuan
kedua-dua elemen, iaitu hardware atau perkakasan, serta software yakni perisian.Hakikatnya, kehebatan infrastruktur fizikal semata-mata tanpa
terbangunnya kesetaraan dari segi roh, semangat serta kesegaran intelek,
sesebuah kemajuan itu mana mungkin bersifat mapan.Menjengah sudut pandang yang lain, Kerajaan Tuanku percaya bahawa
setelah lebih separuh kurun merdeka dan mengamalkan demokrasi,
masyarakat berbilang kaum di Malaysia telah mencapai tahap kematangan
yang tinggi.
Berpegang kepada hal itu, kita kini bersedia memasuki era baru di
mana fungsi kerajaan tidak lagi dilihat sebagai mengehadkan kebebasan
individu, sebaliknya, untuk memastikan bahawa hak-hak asasi yang
dilindungi perlembagaan bagi setiap individu itu terjamin.
Selanjutnya, satu perimbangan adil, dapat pula ditemui antara kebebasan seseorang dan keselamatan kebangsaan.
Ampun Tuanku,
Bersesuaian dengan iltizam, Kerajaan Tuanku melalui Parlimen telah
pun membatalkan tiga proklamasi darurat yang masih berkuatkuasa dan akan
membiarkan kesemua ordinan di bawah perisytiharan tersebut mansuh pada
bulan Jun ini kecuali tiga ordinan yang akan dibentangkan sebagai rang
undang-undang baru di Parlimen.Rang undang-undang berkenaan adalah yang berkaitan dengan RELA, Rukun Tetangga dan Undang-Undang Laut Wilayah.
Kerajaan Tuanku juga telah mengambil langkah-langkah memansuhkan Akta
Kediaman Terhad, Akta Buang Negeri dan menggubal Akta Perhimpunan Aman
serta meminda Akta Universiti dan Kolej Universiti atau AUKU.
Pada hari Isnin depan, bersamaan 16 April ini, di Parlimen, patik
akan membentangkan rang undang-undang bagi memansuhkan Akta Keselamatan
Dalam Negeri atau ISA. Pada hemah kerajaan, meskipun ISA telah banyak
berjasa kepada negara, ia telahpun melampaui jangka hayat kegunaannya.Ringkasnya, kita memerlukan kerangka baru perundangan keselamatan nasional dalam era kontemporari yang semakin kompleks.
Di bawah undang-undang baru, Kerajaan Tuanku mengambil keputusan
untuk menghapuskan kuasa tahanan tanpa perbicaraan dimiliki Menteri
Dalam Negeri manakala tahanan oleh pihak berkuasa bagi tujuan siasatan
kini dipendekkan. Kuasa semakan kehakiman pula akan dikembalikan
sepenuhnya kepada Mahkamah.
Rang Undang-Undang ini juga menjamin bahawa tidak ada seorang pun
rakyat Malaysia boleh ditahan kerana kepercayaan atau aktiviti
politiknya.
Ampun Tuanku,
Pendek kata, Rang Undang-Undang Kesalahan Keselamatan yakni
Langkah-Langkah Khas bukan sahaja akan memastikan pihak berkuasa
mempunyai senjata perundangan yang cukup bagi memerangi keganasan global
dan mempertahankan demokrasi berparlimen di Malaysia, tetapi juga untuk
memelihara hak kebebasan warganegara.
Kesimpulannya, semua prakarsa, inisiatif dan program ini adalah tidak
lain dan tidak bukan untuk memastikan tempoh pemerintahan Tuanku,
Insya-Allah, akan menempa sebuah kala demokrasi keemasan di Malaysia.
Ampun Tuanku,
Sememangnya peranan Raja-Raja Melayu sejak dari zaman Kesultanan
Melaka, tempoh sebelum merdeka, membawa kepada mencapai kemerdekaan
telah tersulam kemas sehinggalah kini dalam perjalanan Malaysia pada era
moden.Kendatipun pertautan raja dan rakyat sedang menyelusuri jejak-jejak
waktu, namun ia kekal relevan mendakap realiti semasa. Benarlah bagai
dikata hubungan raja dan rakyat terpisah tiada. Bagai aur dengan tebing,
saling melengkapi. Ikatan kedua-duanya begitu simbiotik, berputik
melalui wa'ad dan bai'ah yang telah terpateri kukuh di Bukit Siguntang
Mahameru antara Sang Sapurba dan Demang Lebar Daun serta kisah-kisah
dalam Hikayat Merong Mahawangsa.
Selanjutnya lagi, tawarikh telah turut membuktikan apabila
perhubungan antara keduanya disuburi keharmonian serta dibajai emosi dan
kerohanian yang mendalam, maka sebarang apa pun kemelut yang dihadapi
negara dapat ditangani dengan jayanya.
Ampun Tuanku,
Sehubungan itu, patik sekali lagi mewakili kerajaan dan rakyat
seluruhnya merakamkan rasa bangga kerana tonggak institusi Yang
di-Pertuan Agong sebagai kepala utama negara kembali dipegang oleh
Tuanku yang sangat berpengalaman dan terkenal mengasihi rakyat jelata.
Laginya, serasa pula tidak lengkap, seandainya patik dan pihak
keluarga tidak mengambil kesempatan ini secara khusus bagi melahirkan
rasa bertuah kerana setelah Allahyarham ayahanda patik berpeluang
berkhidmat dengan Tuanku, kini ditakdirkan pula giliran patik untuk
menumpah khidmat. Segalanya dalam perhitungan Allah, dan mudah-mudahan
Tuhan yang Maha Esa memberi pertolongan dan inayah-Nya kepada kita
semua.
Ampun Tuanku,
Akhir kalam, patik bagi pihak kerajaan, hamba rakyat, putera puteri
watan ini serta segenap jajah takluknya dengan penuh rasa kasih mesra
yang marak lagi menyala, memohon semoga Allah S.W.T melanjutkan usia
Tuanku dan Tuanku Permaisuri serta sentiasa terpelihara dalam keadaan
sihat walafiat. Moga-moga Tuanku berdua kekal bersemayam di atas takhta
Persekutuan dan dipermudahkan segala urusan bagi menjalankan tugas-tugas
rasmi negara, demi Malaysia yang tercinta.
Wabillahi Taufik Walhidayah Wassalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh. Ampun Tuanku.
9 ulasan:
Tahniah Tuanku...semoga dipanjangkan usia dan dimurahkan rezeki. Dapat melaksanakan pemerintahan selaku Raja Berpelembagaan dengan adil dan saksama.
Demokrasi Terpimpin
Daulat Tuanku Daulat Tuanku Daulat Tuanku
Assalamualaikum
Sebagai anak jati Kedah dan sebagai rakyat saya berbangga kerana Tuanku terpilih dan memimpin Malaysia sebanyak 2 kali. Itu satu anugerah terhebat dan tertinggi dari Maha Kuasa. Ia merupakan Satu KhairulUmmah terpilih untuk meneruskan kesimbungan sebagai peneraju utama kepimpinan islam di Malaysia.
Takkala Jiran kita duji Allah dengan gempa bumi yang sangat kuat dan dasyat, Allah memiliharakan negara kita dengan terhindarnya bencana yang menakutkan itu. Tahun 2004 merupakan ulang tayang peristiwa kejadian berlaku pada Daulah Nabi Noh a.s dimana isteri dan anaknya turut terkorban angkara keingkaran menuruti kehendak islam yang dipimpin oleh banginda Nabi Noh a.s.
Kita harus bermuhasabah diri dan harus jadikan ianya satu iktibar dan pengajaran supaya peristiwa lampu dijadikan benteng sempadan agar kemurkaan dan amaran Allah dapat dihindari dan sebagai umat terbaik.
From Flower
KADANG-KADANG NAIK LOYA BACA ULASAN KAT BLOG NI GARA-GARA TULISAN MENGARUT SIPENULIS YANG MACAM KEPONDANAN, KEBAPOKAN DAN KEKEDIAN.
AKU DAH CAKAP KALAY LELAKI JADILAH ANAK JANTAN KALAU PEREMPUAN JADILAH SERIKANDI. TULISLAH YANG MANTAP BUKAN YANG LONDEH...!
baulat tuanku!!!!!
daulat tuanku!!!!
Daulat Tuanku!
semoga allah tumbangkan BN yang banyak menindas kami kakitangan awam
Catat Ulasan