26 April 2012

WAJIB KHIDMAT DI SEKTOR AWAM

Najib Tun Razak melihat buku Talent Roadmap sambil diperhatikan Johan Mahmood Merican (dua dari kiri), Nor Mohamed Yakcop, Hishammuddin Tun Hussein dan Mohamed Khaled Nordin pada pelancaran Talent Roadmap 2020 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya di Putrajaya, semalam. 
 
 
PUTRAJAYA 24 April - Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, mulai tahun ini, penerima biasiswa Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) akan diwajibkan berkhidmat dalam sektor awam atau di syarikat swasta terpilih.
Perdana Menteri berkata, langkah terbaru itu akan membolehkan JPA dan Talent Corporation Malaysia Berhad (TalentCorp) mengoptimumkan bakat kepintaran terunggul di negara ini.
"Tujuan kita ialah untuk memastikan kesinambungan sarjana unggul menyumbangkan kepakaran mereka dalam Program Transformasi Kerajaan (GTP) dan Program Transformasi Ekonomi (ETP)," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis pelancaran Talent Roadmap 2020 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) di sini hari ini.
Turut hadir, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Tan Sri Nor Mohamed Yakcop; Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein; Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin; Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd. Sidek Hassan dan Ketua Pegawai Eksekutif TalentCorp, Johan Mahmood Merican.
Selain syarat baru penawaran biasiswa itu, Perdana Menteri turut mengumumkan beberapa langkah dan insentif baru yang bertujuan mengembangkan sumber bakat di negara ini.
"Semasa Bajet 2012, kerajaan bersetuju dengan insentif potongan dua kali cukai untuk program latihan amali yang diluluskan dan hari ini, saya umumkan penawaran insentif itu diperluaskan kepada syarikat-syarikat di bawah Akta Cukai Pendapatan Petroleum 1967," katanya.

Perdana Menteri berkata, pada masa yang sama, Kementerian Pengajian Tinggi akan bekerjasama dengan TalentCorp untuk menyediakan 12,000 latihan amali melalui program berstruktur.
"Untuk mengembangkan program peningkatan kemahiran pula, TalentCorp akan bekerjasama dengan Unit Perancang Ekonomi (EPU) bagi menyelaraskan program agar sumber dilaburkan pada sektor yang diutamakan.
"Program peningkatan kemahiran ini dijangka memberi manfaat kepada hampir 10,000 siswazah kejuruteraan setiap tahun, melibatkan peruntukan tahunan kira-kira RM200 juta dan pelbagai kementerian," katanya.

Sementara itu, Najib mengumumkan Pas Residen yang membenarkan ekspatriat profesional untuk tinggal dan menyumbangkan bakat di negara ini selama 10 tahun diperluaskan penawarannya kepada usahawan aktiviti intensif pengetahuan yang berjaya.
"Sejak diperkenalkan pada 2011, Jabatan Imigresen telah mengeluarkan pas itu kepada 500 ekspatriat profesional di syarikat-syarikat terkemuka," katanya.
Dalam pada itu, Perdana Menteri berkata, seramai 680 pemohon telah diluluskan untuk menyertai Program Membawa Balik Pakar (REP) pada 2011 iaitu peningkatan lebih dua kali ganda berbanding tahun sebelumnya.
"Trend peningkatan itu menunjukkan keyakinan rakyat Malaysia yang berada di luar negara terhadap usaha kerajaan dalam transformasi ekonomi.
"Saya menemui ramai rakyat Malaysia yang terkemuka semasa berkunjung ke luar negara, mereka mempunyai ikatan emosi kuat dengan negara asal, justeru kita mengalu-alukan sumbangan mereka kepada negara," katanya.

3 ulasan:

  1. Ramai yg penerima biasiswa tu yg d luar sana tu. cakap je cinta negara. habis belajar degree ke post degree terus hilang. kerajaan tak tegas dalam minta bayaran balik bagi yg tidak berkhidmat ni macam ada yg tak kena atau ada yg tak buat kerja.

    BalasPadam
  2. macam mana pula dengan pemegang biasiswa JPA, tgh berkhidmat dengan kerajaan dan memegang status kontrak bakal ditamatkan perkhidmatan??

    BalasPadam
  3. Macam mana pula yg JPA tapi kerajan yg tiada kekosongan?

    Lain kali cakap jngan main lepas, kerajaan yg tiada kekosaongan, bukn nya mahasiswa x sayang negara.

    Yugi

    BalasPadam