Utusan Malaysia
1/5/2014
Penjawat awam menjadi tulang belakang kerajaan dan kecekapan mereka bekerja juga memberi impak kepada imej kerajaan. - UTUSAN
SABAN tahun akan diadakan sambutan Majlis Hari Pekerja Penjawat Awam
dan kali ini Kedah terpilih sebagai tuan rumah acara berkenaan.
Majlis yang diadakan di Dewan Wawasan, Jitra itu adalah anjuran
bersama Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA), Setiausaha Kerajaan Negeri
Kedah dan Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam
(Cuepacs).
Walaupun acara rutin, majlis sedemikian cukup penting sebagai tanda
penghargaan kerajaan kepada anggota sektor awam yang telah memberi
khidmat bakti bagi menjayakan program pembangunan negara.
Ia juga sebagai tanda terima kasih kepada kakitangan kerajaan yang
bertungkus lumus menjayakan program transformasi perkhidmatan awam
seperti yang digariskan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak
semasa ucapan Bajet 2013.
Antara perubahan yang dicadangkan beliau adalah penjawat awam mesti
menerapkan budaya produktiviti, kreativiti dan inovasi bagi membolehkan
mereka memberi perkhidmatan terbaik kepada rakyat.
Amalan kerja pula mestilah cepat, tepat dan berintegriti bagi meningkatkan keyakinan rakyat terhadap prestasi perkhidmatan awam.
Bagi menjayakan transformasi perkhidmatan awam, dua agensi kerajaan
iaitu JPA dan Kementerian Kewangan telah dipilih sebagai penggerak
utama.
Selain itu, majlis berkenaan juga bertujuan mewujudkan hubungan murni
antara pekerja dan majikan, dengan harapan kerjasama erat yang sedia
terjalin akan terus kekal dan dipertingkatkan untuk kepentingan dan
faedah bersama.
Mengulas mengenai sambutan kali ini, Presiden Cuepacs, Azih Muda
berkata, tema yang dipilih adalah Penjawat Awam Tiang Seri Negara.
Beliau berkata, ia selaras dengan hakikat bahawa 1.5 juta kakitangan
kerajaan merupakan nadi dan inspirasi perkhidmatan awam negara serta
penentu kejayaan pelaksanaan dasar-dasar kerajaan.
Tema ini dipilih selaras dengan peranan serta fungsi penjawat awam dalam membantu kerajaan membangunkan negara," katanya.
Berikutan peranan penting penjawat awam itu, Azih berkata, pihaknya
juga mengemukakan beberapa permintaan kepada Perdana Menteri dalam satu
pertemuan Isnin lalu.
Menurut beliau, permintaan itu sebenarnya datangnya daripada
kakitangan kerajaan di peringkat akar umbi yang menerima kesan daripada
kenaikan harga barangan.
Kita meminta dikaji semula beberapa elaun dan insentif penjawat awam
termasuk elaun tetap perumahan, elaun perkhidmatan awam dan tuntutan
perjalanan yang sudah lama tidak naik walaupun kos sara hidup kian
meningkat.
Kadar hotel juga perlu dikaji. Adakah adil setiap kali buat urusan rasmi kerajaan, kami kena tanggung sendiri bayaran hotel?
Elaun perjalanan juga masih pada kadar yang lama sedangkan harga
petrol sudah naik. Jarak yang dilalui sama tapi kos yang dibayar lebih,"
katanya yang turut memaklumkan Najib dijangka akan menghadiri majlis
sambutan hari ini.
Menurut Azih, permintaan lain adalah supaya dikaji tempoh pengesahan
seseorang penjawat awam yang terlalu lama iaitu antara satu hingga tiga
tahun sekarang.
Selagi tidak dapat pengesahan, mereka tidak boleh beli rumah dan
tidak boleh pinjam bank. Akhirnya mereka pinjam ah long. Oleh itu masa
pengesahan jawatan patut dipendekkan kepada satu hingga enam bulan,"
ujarnya.
Katanya, Cuepacs turut mencadangkan supaya ditukar status kuarters
kerajaan sebelum merdeka menjadi rumah sewa kerajaan dan dikenakan sewa
pada kadar RM124 sebulan.
Jika kuarters ini jadi rumah sewa, maka baki elaun perumahan setelah
tolak sewa perlu dipulangkan kepada penjawat awam. Contohnya, kalau
elaun perumahan RM180, sudah tolak sewa RM124 akan ada lagi baki RM56,"
jelasnya.
Beliau berkata, Cuepacs juga tidak bersetuju dengan tindakan
memperkecilkan perkhidmatan awam yang dilaksanakan ketika ini kerana ia
memberi kekangan hebat kepada jabatan untuk melaksanakan dasar-dasar
yang telah ditetapkan.
Kita turut meminta kerajaan mengubah pengiraan ganjaran persaraan
daripada 7.5 peratus kepada 10.5 peratus, selain jumlah pencen dinaikkan
daripada 60 peratus kepada 70 peratus," ujarnya.
Walaupun kita masih menunggu apakah pengumuman menggembirakan
daripada kerajaan sempena Hari Pekerja 2014, satu hakikat yang harus
diakui bahawa banyak transformasi perkhidmatan awam yang telah berjaya
dilaksanakan berikutan sokongan tidak berbelah bahagi daripada semua
kakitangan kerajaan.
Oleh itu, sudah sampai masanya segala penat lelah penjawat awam terbabit dihargai.
Antara transformasi yang dapat dilihat adalah berlakunya peningkatan
terhadap kompetensi, prestasi, produktiviti dan daya inovasi penjawat
awam.
Ini berikutan langkah menempatkan semula seramai 171 pegawai JPA yang
telah berkhidmat melebihi 10 tahun sebagai duta kecil di agensi
pelaksana sekali gus menjadikan mereka sebagai contoh untuk diikuti.
Kerenah birokrasi juga telah berjaya dikurangkan dengan pengenalan
aplikasi telefon mudah alih mySMS dan myUSSD bagi memastikan segala
urusan dengan rakyat dapat dijalankan dengan pantas.
Bagi individu yang memohon jawatan dalam perkhidmatan awam, mereka
hanya perlu menunggu 30 hari untuk mendapat jawapan berbanding 120 hari
sebelum ini.
Sebagai usaha merakyatkan perkhidmatan, penjawat awam tidak lagi
hanya berada dalam pejabat malah turut turun padang memberikan bantuan
kepada mangsa banjir di Pahang dan Terengganu baru-baru ini.
Penubuhan Unit Integriti di lapan kementerian dan pembangunan empat
modul yang melibatkan patriotisme, etos, integriti dan nilai murni yang
diterapkan dalam kursus Institut Tadbiran Awam Negara (Intan) akan
melahirkan penjawat awam yang cintakan negara, berbudi pekerti dan
beretika tinggi.
Walaupun transformasi perkhidmatan awam bukanlah perkara mudah untuk
dilaksanakan tetapi ia bukanlah sesuatu yang mustahil jika dilihat
kepada pencapaian setakat ini.
Kepada semua penjawat awam, kita mengucapkan terima kasih dan selamat menyambut Hari Pekerja 2014.
sudah sampai masanya kerajaan MENGURANGKAN PENGAMBILAN BARU sebaliknya mengisi kekosongan dengan membuat pengambilan dalaman, samada bertukar skim berlainan dengan gred yang sama (sekiranya mempunyai kelulusan berkaitan) mahupun lantikan ke skim lebih tinggi sekiranya seseorang pegawai mempunyai kelulusan lebih tinggi, sebagai contoh: lulusan SPM lantikan gred 17 yang memperolehi diploma boleh dilantik ke gred 29 mahupun ke gred 41 sekiranya mempunyai sarjana.
BalasPadamdari situ boleh mengurangkan bebanan belanja mengurus kerajaan. jawatan asal yang telah dikosongkan oleh mereka bolehlah dibuat pengambilan baru, sebagai contoh seorang S17 yang ingin ke N17, jawatan S17 tersebut pastinya kosong, barulah boleh dibuat pengambilan, begitu juga seorang N17 yang mendapat jawatan M41, bolehlah dibuat pengambilan mengisi jawatan N17 tersebut.
inilah baru namanya TRANSFORMASI! barulah benar-benar layak dipanggil TIANG SERI, bukannya TIANG KAYU!