08 Ogos 2014

CUEPACS MAHU KERAJAAN BINA LEBIH BANYAK RUMAH MAMPU MILIK

Bernama
7/8/2014


KUALA LUMPUR, 7 Ogos (Bernama) -- Cuepacs meminta kerajaan membina lebih banyak rumah mampu milik untuk penjawat awam serta golongan berpendapatan sederhana bagi tempoh lima tahun akan datang.

Presidennya, Azih Muda berkata permintaan itu dikemukakan untuk pertimbangan kerajaan dalam penyediaan Belanjawan 2015 yang dijangka dibentang di Parlimen beberapa bulan lagi.


Azih berkata ia merupakan antara perkara yang dibangkitkan dalam pertemuan singkat beliau dengan Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin yang mengunjungi majlis sambutan Hari Raya Aidilfitri anjuran Cuepacs di sini Khamis.

Katanya, Cuepacs juga berharap kerajaan mengadakan lebih banyak sesi penerangan dan penjelasan mengenai Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) di peringkat akar umbi kerana ramai yang masih tidak jelas mengenainya.

"Umum bimbang kenaikan kos akan berlaku dengan pelaksanaan GST ini, jadi kerajaan perlu bagi jaminan bahawa barangan asas tidak naik harga kerana diberi pengecualian cukai," kata Azih kepada pemberita selepas majlis itu.

GST pada kadar enam peratus akan dilaksanakan mulai April 2015 bagi menggantikan Cukai Jualan dan Perkhidmatan sebanyak 16 peratus.



Mengulas lanjut, Azih berkata Cuepacs turut meminta kerajaan mempertingkat kadar penembusan jalur lebar terutama di kawasan luar bandar yang kini menurutnya hanya pada kadar 60 peratus.

"Kita bimbang (jika masalah ini tidak ditangani) generasi muda di luar bandar susah nak dapat pekerjaan kerana banyak iklan jawatan kerja kini perlu diisi secara dalam talian," jelasnya.

Menurutnya, Cuepacs juga meminta kerajaan memberi perhatian kepada keperluan golongan pensyarah yang disifatkan sebagai bakat penting buat negara.

Muhyiddin meluangkan masa kira-kira 45 minit di majlis Hari Raya itu yang turut dihadiri Menteri Wilayah Persekutuan Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor dan Timbalan Ketua Polis Negara Tan Sri Mohd Bakri Mohd Zinin.



-- BERNAMA

2 ulasan:

  1. mintalah apa apa pun..takkan dapat punya,,,inilah natijahnya bila kempimpinan tidak kuat..dalam erti kata lain sangat lemah..

    BalasPadam
  2. setiap tahun itu sajalah skrip yang digunapakai oleh cuepacs tanpa sebarang penekanan yang serius. jadi di pihak kerajaan, mereka hanya senyum dan angguk saja la, realitinya tiada pelaksanaan. kesian...

    BalasPadam