01 September 2014

BUKU PERJUANGAN BEKAS PRESIDEN CUEPACS DILANCARKAN SELASA INI

Bernama
31/8/2014

PETALING JAYA, 31 Ogos (Bernama) -- Buku autobiografi ikon kesatuan sekerja Malaysia, A. Ragunathan, 80, yang juga bekas presiden Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS), akan dilancarkan pada 2 Sept ini.

Buku setebal 173 muka surat berjudul "MY WAY" yang sekian lama ditunggu-tunggu itu, memuatkan rentetan peristiwa berkaitan perhubungan perindustrian yang berlaku dalam perkhidmatan awam negara ini dari 1960-an hingga 1990-an.

Ia memuatkan perkara berkaitan pelbagai rombakan gaji dan penambahbaikan terhadap skim perkhidmatan penjawat awam.

Penganjur majlis pelancaran buku itu Jayanthi Balaguru, yang juga setiausaha agung Wanita Gerakan, memberitahu BERNAMA, Ahad, majlis yang akan berlangsung di Lake Club Kuala Lumpur itu, akan dihadiri orang kenamaan, termasuk menteri, pegawai tinggi kerajaan, kapten industri, pemimpin politik dan pemimpin kesatuan sekerja.

Beliau berkata buku berkenaan antara lain menceritakan tentang diri Ragunathan, yang "banyak berkorban kerana mempertahankan prinsipnya, tetapi sering menerima masalah kerana berkata benar".

Ragunathan, yang disifatkan sebagai "ahli kesatuan sekerja yang tiada tolok bandingnya" oleh bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad, tidak pernah mengalah atau melencong daripada kepercayaannya dan sentiasa bekerja keras demi memperbaiki nasib penjawat awam "yang amat beliau cintai".

Ragunathan mendapat pujian kerana meneroka pendekatan baharu dalam rundingan dengan kerajaan bagi mendapatkan habuan terbaik untuk penjawat awam sepanjang 30 tahun penglibatannya.

Skala gaji, faedah persaraan, pinjaman perumahan dan ganjaran lain yang dinikmati penjawat awam sekarang sebahagiannya adalah hasil daripada pendirian tegas Ragunathan dan rakan seperjuangannya yang lain seperti mendiang T. Narendran, Datuk Jamaluddin Mohd Isa, Yahya Mohd Ali, A.Rajaguru dan beberapa pemimpin CUEPACS lain.

Ragunathan terkenal kerana mempunyai 'hot line' dengan Dr Mahathir, yang banyak membantu menyelesaikan isu dan menjamin wujudnya perhubungan perindustrian yang harmoni di negara ini.

--BERNAMA




Tiada ulasan:

Catat Ulasan