Utusan Malaysia
21 Februari 2015 1:41 AM
KUALA LUMPUR 20 Feb. – Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) hari ini menafikan satu amaran yang menjadi viral di laman sosial kononnya terdapat operasi mencegah kakitangan kerajaan daripada keluar minum pada waktu kerja.
Presidennya, Datuk Azih Muda berkata, setakat ini, pihaknya belum menerima apa-apa notis berhubung operasi tersebut namun tidak menolak kemungkinan terdapat ketua jabatan yang bertindak sedemikian secara diam untuk memantau kakitangan mereka.
Katanya, langkah seperti itu dilihat mampu menjadikan perkhidmatan awam lebih telus sekaligus menepis segala pandangan sinis masyarakat terhadap kakitangan awam.
“CUEPACS tidak pernah dimaklumkan mengenai operasi ini namun sekiranya ada, ini adalah inisiatif ketua jabatan dalam memantau kakitangan mereka.
“Tidak dinafikan memang ada segelintir penjawat awam yang gemar mencuri tulang pada waktu kerja dan perkara itu amat dikesali namun masyarakat diminta untuk tidak melabelkan semua kakitangan kerajaan bersikap sedemikian,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.
Amaran palsu yang tersebar di aplikasi mesej, Whatsapp itu mendakwa pegawai-pegawai operasi tersebut dari semua kementerian sudah mula menjalankan tugas bagi menangkap kakitangan awam yang didapati keluar minum pada waktu kerja.
Dalam pada itu, Azih berkata, tidak dinafikan terdapat segelintir penjawat awam mengambil kesempatan dengan membeli-belah dalam waktu kerja namun menegaskan, adalah tidak adil sekiranya semua kakitangan awam terkena tempias sikap tidak bertanggungjawab tersebut.
Katanya, ketua-ketua jabatan seharusnya menjalankan amanah mereka dengan memastikan tiada lagi kakitangan di bawah jagaan mereka mencuri tulang sewaktu bekerja dan tindakan tegas perlu diambil sekiranya mereka didapati bersalah.
3 ulasan:
jika benarpun ada baiknya.. ramai kakitangan awam mengambil peluang minum pagi terlalu lama di luar pejabat.
Ya benar,adakah adil seorang yang timbulkan masalah semuanya turut terlibat.
Pandang dari sudut penyelesaian tugas,bukan kerana dengki pihak luar kerajaan yang semata mata ingin menghentam kerajaan turut membuat perkara yang tak baik pada penjawat awam.
Harap dinaikkan elaun rumah serta gaji penjawat awam terutama pelaksana.
Ini bukan soal dengki..lalang takkan bergoyang kalau angin tidak bertiup..dah ada org awam nampak, tentu orang mengadu. biar seorang pun tidak mengapa supaya yang lain berjaga.
jgn mudah menggangap ini hak aku untuk minum2 BERSANTAI2 diluar pejabat DILUAR WAKTU REHAT YG DIBENARKAN DAN TANPA KEBENARAN KETUA (kalau bertugas luar pejabat lain, itu cerita lain).
kakitangan pelaksana (lelaki majoriti) yg byk kelihatan. JANGAN NANTI GAMBAR ANDA DIAMBIL.
Catat Ulasan