My Metro
20/1/2019
20/1/2019
KESATUAN Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) meminta kerajaan mengkaji penyebab tekanan kerja yang membelenggu penjawat awam.
Presiden CUEPACS, Datuk Azih Muda berkata, lebih 30 peratus dalam kalangan penjawat awam mengalami tekanan kerja dan perkara itu perlu dipandang serius.
“Kebimbangan kita apabila risiko tekanan ini berlaku kepada penjawat awam, ia boleh menyebabkan kemurungan dan akhirnya mereka tidak dapat memberikan produktiviti yang baik.
“Ia akan memberi kesan kepada tuntutan dan permintaan rakyat. CUEPACS mencadangkan kepada Bahagian Psikologi Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) dan entiti berkaitan untuk mengkaji tahap tekanan semua peringkat penjawat awam sehingga ada yang bersara awal kerana tidak mampu lagi mendepani tekanan,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas menghadiri Majlis Bual Bicara bersama Kesatuan Guru Bumiputera Sarawak di Sibu, semalam.
Katanya, punca tekanan perlu dikenal pasti agar kajian komprehensif dapat dijalankan bagi membantu pekerja itu untuk keluar dari beban tekanan mereka.
“Tekanan dihadapi ini antaranya disebabkan beban kerja kerana kakitangan yang bersara, berhenti, dipindah, tidak diganti dan tiada pengambilan baru dibuat.
“Beban kerja mereka masih perlu dilaksanakan contohnya sesuatu perkara harus siap dalam tempoh sejam, mereka masih perlu menyiapkannya dalam tempoh itu. Dulu kerja dilakukan lima petugas, sekarang hanya dibuat dua kakitangan,” katanya.
Sementara itu, beliau turut berterima kasih kepada kerajaan Sarawak yang memberi maklum balas positif dengan beberapa cadangan pihaknya.
Antaranya ialah cadangan memberi cuti tanpa rekod tujuh hari kepada penjawat awam negeri untuk melaksanakan aktiviti keagamaan mengikut kepercayaan masing-masing.
2 ulasan:
1.Mohon pihak Cuepacs adakan pertemuan serta perbincangan dengan pihak JPA bagi penstrukturan serta penempatan perjawatan terutamanya perjawatan terhad supaya dapat mengimbangi jumlah penjawat awam di persekutuan,negeri mahupun daerah.Sebagai contoh,masih wajarkah meletakkan seorang pegawai khidmat pelanggan untuk bertugas di kaunter agensi/jabatan terutamanya di negeri atau daerah dalam keadaan masa kini?
Penggiliran tugas juga tidak dapat dibuat menyebabkan ada yang tidak dapat bercuti atau berkursus.Ini belum menyentuh soal kebajikan mahupun tahap kesihatannya. Mungkin keperluan atau kepentingan tidak nampak di situ.
2.Ramai penjawat awam juga yang berkali-kali turun naik ke JPA untuk memohon pertukaran penempatan segera tetapi pihak JPA tidak dapat memenuhinya kerana perjawatan tidak diwujudkan di agensi/jabatan di negeri atau daerah yang berkenaan. Tidak selama-lamanya penjawat awam ingin berkhidmat di persekutuan, masing - masing ada perancangan sendiri apatah lagi melibatkan perhubungan jarak jauh atau ada masalah peribadi yang akhirnya menyumbang kepada kemerosotan komitmen serta prestasi penjawat awam dalam menggalas tanggungjawab.
3.Tidak semua penjawat awam bersedia untuk meninggalkan perkhidmatan lebih awal kerana terikat dengan komitmen peribadi masing - masing.Berkhidmat di kampung halaman mungkin adalah salah satu opsyen untuk mengurangkan beban dan secara tidak langsung memberikan impak kerancakan pembangunan ekonomi di setiap negeri atau daerah.
4.Pengambilan perjawatan adalah menjadi bidang tugas SPA secara utamanya,tetapi masih ada kementerian/jabatan/agensi yang buat pengambilan perjawatan secara dalaman. Ini juga menyukarkan pertukaran penempatan penjawat awam terutamanya melibatkan perjawatan terhad.
5.Pihak Cuepacs juga perlu mengadakan pertemuan dengan SPA bagi melihat statistik pengambilan perjawatan untuk bidang - bidang kritikal dan kurang kritikal supaya lebih seimbang,berfungsi dengan optimum dan pertindihan tugas dapat dikurangkan.
6.Imej penjawat awam seringkali dipertikaikan,diperlekehkan oleh orang awam tetapi kementerian/jabatan/agensi yang perlu memainkan peranan sebijaknya dan tidak mengharapkan JPA semata-mata untuk menyelesaikan semua masalah,kemelut dalaman dengan lebih berhemah supaya ia tidak berlarutan,menjadi lebih serius atau melibatkan media.
7.Tidak salah untuk mempraktikkan multi - tasking di kalangan penjawat awam tetapi biarlah setara dengan perjawatan yang disandang serta bidang tugasnya.Namun, adalah lebih baik penjawat awam yang menyandang tugasnya itu dilaksanakan oleh penjawat awam yang berada di grednya supaya integriti, kredibiliti dapat dinilai dengan sewajarnya. Sebagai contoh, kalau bidang tugas itu memerlukan Gred B - Ahli Fotografi sebagai penyandang utama mengapa diserahkan tugas itu kepada penjawat awam Gred N - Pembantu tadbir untuk melaksanakannya?
9.Usia persaraan wajib pada 60 tahun perlu dikembalikan ke usia 55 atau 58 tahun.Kadar pengangguran dapat dikurangkan dan peluang pekerjaan kepada generasi muda dapat ditawarkan.
Melihat kepada keadaan semasa di mana ramai penjawat awam yang tidak mampu mengendalikan tekanan di tempat kerja, isu peribadi dan lain - lain lagi yang akhirnya menyebabkan mereka terpaksa meninggalkan perkhidmatan lebih awal dari tempoh yang sepatutnya.
Terima kasih.
Rujuk kepada http://www.utusan.com.my/berita/nasional/bersara-atas-sebab-kesihatan-dapat-pencen-lebih-baik-1.612618
“Kerajaan dapati kita perlu sediakan peraturan untuk penjawat awam yang tidak dapat menjalankan tugas atas sebab kesihatan. Jadi, kita berikan kelonggaran dibersarakan dengan menerima faedah pencen bulanan yang lebih baik berbanding jika ditamatkan dengan serta-merta.
“Kalau mereka dibiarkan bertugas dengan keadaan tidak sihat, kesihatan mereka akan bertambah teruk kerana mereka tidak selesa dan ini akan menjejaskan produktiviti perkhidmatan awam,” katanya dalam pertemuan dengan petugas media di pejabatnya di sini hari ini.
Catat Ulasan