SELAMAT DATANG KE BLOGSPOT CUEPACS

*** KUNJUNGILAH BLOGSPOT INI UNTUK MENDAPAT MAKLUMAT TERKINI*** CUEPACS DI HATI KU***Tema Hari Pekerja CUEPACS 2023 : PEKERJA BERINTIGRITI TUNJANG NEGARA MADANI*** SAMBUTAN HARI PEKERJA 1 MEI 2023

31 Julai 2008

KESATUAN, NGO BANTAH KENAIKAN TAMBANG BAS

Petikan dari Utusan Malaysia
Oleh NORILA DAUD dan NORIZAN ABDUL MUHID

KUALA LUMPUR 30 Julai - Beberapa persatuan termasuk kesatuan sekerja meminta kerajaan tidak membenarkan sebarang kenaikan tambang bas ekspres dan berhenti-henti pada pertengahan September ini kerana ia akan menyebabkan rakyat terutama golongan pekerja berpendapatan rendah terus menderita.
Mereka turut mempertikaikan rasional Persatuan Pengusaha Bas Seluruh Malaysia (PMBOA) meminta kenaikan tambang sehingga 100 peratus kira-kira dua bulan sebelum Hari Raya Aidilfitri disambut pada Oktober ini.
Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) menyifatkan tindakan untuk menaikkan tambang bas ekspres dan berhenti-henti akan menyebabkan golongan pekerja terus jatuh miskin.
Presidennya, Syed Shahir Syed Mohamud berkata, tambang bas tidak sepatutnya dinaikkan atas alasan apa sekali pun memandangkan kadar inflasi telah meningkat 7.7 peratus - tertinggi dalam tempoh 26 tahun.
''Kami merayu kerajaan supaya tidak menaikkan tambang bas ekspres dan berhenti-henti bagi mengelakkan golongan pekerja yang kebanyakannya menaik bas, terus dibebankan dengan kenaikan kos sara hidup.
''Saya juga yakin suasana Hari Raya Aidilfitri tahun akan terjejas kerana ribuan pekerja yang pulang ke kampung halaman terpaksa pula menghadapi beban tambahan berikutan kenaikan tambang pengangkutan awam ini,'' katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Semalam kerajaan mengumumkan tidak akan melayan tuntutan menaikkan tambang bas ekspres dan berhenti-henti sehingga 100 peratus tetapi sedia menimbangkan kadar kenaikan yang tidak membebankan pengguna.
Menurut Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Noh Omar, pihaknya akan berunding dengan pengusaha bas bagi menentukan kadar kenaikan yang sewajarnya menjelang Hari Raya Aidilfitri, bermula pertengahan September ini.
PMBOA mengemukakan memorandum mengenai kenaikan harga tambang yang dibincangkan dalam mesyuarat Jawatankuasa Menangani Inflasi kelmarin.
Sementara itu, Setiausaha Agung Gabungan Persatuan-Persatuan Pengguna Malaysia (FOMCA), Muhamad Sha'ani Abdullah berkata, pihaknya tidak setuju sama sekali tambang bas dinaikkan tahun ini.
Beliau berkata, kenaikan minyak sebanyak 41 peratus sudah cukup membebankan rakyat dan sekiranya tambang bas dinaikkan, adalah sukar bagi mereka untuk membendung kos sara hidup.
Menurutnya, rakyat belum lagi dapat menyesuaikan diri dengan kenaikan harga bahan bakar itu dan sekiranya tambang bas mahu dinaikkan, ia sepatutnya bukan dilakukan tahun ini.
Katanya, syarikat-syarikat bas ekspres dan berhenti-henti tidak sepatutnya mengharapkan hanya melalui kenaikan tambang bas dapat membantu mereka menanggung kos operasi dan penyenggaraan.
Dalam hubungan ini katanya, kerajaan perlu mencari mekanisme untuk membantu syarikat bas tersebut daripada terus dibebankan dengan kenaikan harga minyak dan alat ganti kenderaan yang semakin mahal.
''Kerajaan kita tidak memberi bantuan dan subsidi sebanyak yang diberikan oleh kerajaan di negara-negara maju kepada syarikat pengendali bas dan pengangkutan awam,'' jelasnya.
Sha'ani menambah, kerajaan sepatutnya memberikan subsidi minyak kepada pengusaha syarikat bas tanpa had dan ini membolehkan syarikat menyediakan perkhidmatan bas tambahan pada hari perayaan.
Sementara itu di MELAKA, Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) juga tidak bersetuju dengan tuntutan PMBOA untuk menaikkan tambang bas ekspres dan berhenti-henti sehingga 100 peratus.
Presidennya, Omar Osman berkata, tuntutan sehingga 100 peratus dianggap terlalu tinggi dan membebankan golongan pekerja terutama yang berpendapatan rendah.
''Kita tidak mahu kerajaan melayan tuntutan itu kerana setiap kali musim perayaan, pasti ada pihak sengaja membuat tuntutan menaikkan harga, seperti sudah menjadi budaya pula," katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas menghadiri majlis perasmian Mesyuarat Agung Persatuan Pegawai Akademik Universiti Teknikal Malaysia Melaka Malaysia (UTeMASA) di di sini hari ini.
Di KUANTAN, Persatuan Perlindungan Pengguna Malaysia (PPPM) mahu kerajaan menangguhkan kajian terhadap tuntutan kenaikan tambang bas ekspres dan berhenti-henti sehingga selepas perayaan Tahun Baru Cina tahun depan.
Presidennya, Mohd. Firdaus Ibrahim berkata, pada waktu ini hingga perayaan tersebut adalah tidak sesuai memandangkan rakyat yang baru dikejutkan dengan kenaikan harga minyak dan barangan, akan berdepan pelbagai sambutan termasuk Hari Raya Aidilfitri, Deepavali, Krismas selain persiapan persekolahan.
Ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini, beliau berkata, cadangan menaikkan tambang bas itu wajar dipertimbangkan seawal-awalnya bulan Mac atau April tahun depan.

1 ulasan:

Chinta Chundary berkata...

benar tu tok..dorang suka2 naik harga tambang