Dari Bernama
8/9/2008
PUTRAJAYA, 8 Sept (Bernama) -- Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi hari ini mengingatkan kakitangan kerajaan agar semua cadangan di dalam Bajet 2009 yang dibentangkan di Dewan Rakyat pada 29 Ogos lepas, dilaksanakan dengan sebaik-baiknya.Perdana Menteri berkata kritikan berhubung cadangan itu pasti ada tetapi masalahnya bukan kerana kekurangan idea atau rencana yang baik, mahupun untuk membuat perubahan tetapi kekurangan daripada segi kemampuan untuk melaksanakannya."Kami tidak kekurangan idea, atau perancangan yang baik tetapi kami kekurangan daripada segi kemampuan untuk melaksanakannya. Ini menjadi satu pandangan yang biasa dikemukakan."Tentu sekali ini dapat kita atasi, dengan prestasi yang dibuktikan baru-baru ini tetapi juga menjadi ingatan kepada semua agar apa yang telah dicadangkan untuk dilaksanakan itu mesti dilaksanakan sebaik-baiknya," katanya pada perhimpunan bulanan Jabatan Perdana Menteri (JPM) di Dataran Perdana di sini.Katanya jika semua kakitangan kerajaan mempunyai azam dan tekad, beliau percaya masalah tidak akan timbul dan kejayaan akan diperoleh untuk kebaikan kepada negara dan rakyat.Abdullah turut berasa gembira berikutan Laporan Audit menunjukkan beberapa jabatan di JPM telah menunjukkan prestasi baik."Kepada mereka diucapkan tahniah dan adalah menjadi harapan saya agar prestasi itu perlu ditingkatkan lagi ke tahap yang lebih tinggi," katanya.Beliau juga bersyukur berikutan usaha yang bersungguh-sungguh dan pelbagai langkah dijalankan oleh jabatan masing-masing serta peranan yang dijayakan oleh Pasukan Petugas Khas Pemudahcara Perniagaan (Pemudah), kedudukan tahap daya saing negara berjaya ditingkatkan ke tangga 19 tahun ini berbanding 23 pada tahun lalu."Ini adalah satu lagi kejayaan yang telah kita capai. Ini membuktikan kepada kita bahawasanya kejayaan yang boleh kita perolehi itu bergantung kepada kita," katanya.Bagaimanapun, kata Perdana Menteri perhatian khusus perlu diberikan kepada sistem dan prosedur serta keperluan birokrasi dikurangkan kepada seminimum mungkin."Sistem yang terbaik sekalipun jika sekiranya orang yang mengendalikan sistem itu kurang semangat, minat dan berilmu pengetahuan, maka sistem yang baik tidak akan menghasilkan prestasi yang tinggi seperti yang diharapkan."Ertinya kombinasi di antara modal insan dan prosedur itu mesti berada pada tahap yang sama tinggi, setinggi yang boleh," katanya.Abdullah berkata dengan itu, barulah sistem yang diperbaiki, peraturan yang diperkenalkan akan dapat membawa kejayaan yang lebih baik dan pegawainya yang benar-benar komited mampu menjayakan apa jua tanggungjawab yang diberikan.-- BERNAMA
Tiada ulasan:
Catat Ulasan