SELAMAT DATANG KE BLOGSPOT CUEPACS

*** KUNJUNGILAH BLOGSPOT INI UNTUK MENDAPAT MAKLUMAT TERKINI*** CUEPACS DI HATI KU***Tema Hari Pekerja CUEPACS 2023 : PEKERJA BERINTIGRITI TUNJANG NEGARA MADANI*** SAMBUTAN HARI PEKERJA 1 MEI 2023

22 November 2008

NG0 SAMBUT BAIK PELAN TINDAKAN NEGARA 2008-2010

Utusan Malaysia
22/11/2008



KUALA LUMPUR 21 Nov. - Pelan Tindakan Negara 2008-2010 mengenai pengangguran yang dilancarkan kerajaan merupakan persediaan awal bagi menghadapi masalah tersebut pada masa depan.
Presiden Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS), Omar Osman berkata, pelan itu sudah pasti akan menjadi wadah penting dalam membantu golongan belia mendapatkan pekerjaan.
''Warga asing yang datang ke negara ini dengan tujuan mencari pekerjaan akan mendapatkannya melalui ejen masing-masing.
''Tetapi rakyat negara ini tidak mempunyai apa-apa ejen khas untuk menjamin dan mendapatkan pekerjaan mereka. Maka Pelan Tindakan Negara 2008-2010 adalah satu langkah yang wajar pada masa kini,'' katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas Pelan Tindakan Negara 2008-2010 yang diperkenalkan oleh Kementerian Sumber Manusia bagi membantu kerajaan memberi tumpuan mengatasi masalah pengangguran.
Sementara itu, Presiden Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC), Syed Shahir Syed Mohamud berkata, kerajaan sepatutnya memperkenalkan pelan itu lebih awal untuk mengatasi masalah pengangguran negara ini.
''Jangan lakukan sesuatu selepas sesuatu hal sudah berlaku kerana negara mungkin akan menghadapi masalah akibat ketidaktentuan ekonomi global. Maka kita tidak boleh pandang ringan keadaan ini dan masalah pengangguran.
''Saya berharap kerajaan tidak akan tinggalkan pelan itu dalam kertas semata-mata malah harus melaksanakannya untuk memberi manfaat kepada rakyat dan negara,'' ujar beliau.
Dalam pada itu, Prof. Emeritus Datuk Dr. Khoo Kay Kim berkata, pada dasarnya negara terpaksa mencari pelbagai kaedah untuk mengatasi masalah pengangguran ekoran ekonomi global yang kini berada dalam keadaan kompleks.
''Negara kita sudah pasti akan menerima impak dalam hal ini, maka pendekatan kerajaan dalam mengurangkan pendatang asing adalah satu langkah yang wajar dilaksanakan,'' katanya.

Tiada ulasan: