SELAMAT DATANG KE BLOGSPOT CUEPACS

*** KUNJUNGILAH BLOGSPOT INI UNTUK MENDAPAT MAKLUMAT TERKINI*** CUEPACS DI HATI KU***Tema Hari Pekerja CUEPACS 2023 : PEKERJA BERINTIGRITI TUNJANG NEGARA MADANI*** SAMBUTAN HARI PEKERJA 1 MEI 2023

02 Disember 2009

SENTRAL: BANTAHAN SISTEM LETAK KERETA PUTRAJAYA

Berita Harian
Oleh Mohd Hamizar Hamid
mizar@bharian.com.my




Gempur dakwa kemudahan dijanjikan belum dilaksana PUTRAJAYA: Pelaksanaan Sistem Parkir Berbayar (SPB) di Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan yang bermula, hari ini mendapat bantahan Gerakan Bertindak Warga Muda Prihatin Putrajaya (Gempur) yang berpendapat sistem itu tidak akan berjaya selagi masalah kekurangan tempat letak kereta tidak diselesaikan. Pengerusinya, Mohd Hisamudin Yahaya, berkata penyediaan kawasan parkir bertingkat dan mencukupi perlu dilaksanakan terlebih dulu menggunakan peruntukan Bajet 2010 dan peruntukan Rancangan Malaysia Ke-10 (RMK-10) sebelum SPB dilaksanakan di situ.
"Kami kesal dan mahu SPB ini ditangguhkan kerana sistem monorel yang dirancang untuk Putrajaya belum dilaksanakan. Perkhidmatan awam terutama bas di sini juga tidak mencukupi yang menghalang kelancaran perjalanan. "Kami juga kecewa sebab tidak ada kempen menyeluruh dijalankan untuk menerangkan mengenai SPB ini. Bagi yang berpangkat besar mungkin tidak ada masalah sebab mereka mempunyai pemandu sendiri tetapi bagaimana dengan kumpulan sokongan?" katanya. Beliau ditemui selepas menyerahkan memorandum menuntut penangguhan SPB Dalam Kejiranan Putrajaya kepada Menteri Wilayah dan Kesejahteraan Bandar, Datuk Seri Raja Nong Chik Raja Zainal Abidin di sini, kelmarin. Memorandum berkenaan diterima Setiausaha Politik kepada Menteri Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar, M Sazali Kamilan.
Sebelum ini, Pengarah Jabatan Perancangan Bandar Perbadanan Putrajaya (PPj), Datuk Abdul Ghani Ahmad dilaporkan berkata, bermula hari ini tiada lagi tempat letak kereta percuma di kompleks A, B, C, D dan E di sini dalam usaha PPj mengatasi isu kekurangan tempat letak kereta yang semakin meruncing di kompleks kerajaan itu. Bagi tujuan itu, Abdul Ghani berkata, pihaknya juga akan menambah lebih 500 kawasan meletakkan kenderaan bagi kegunaan orang ramai khususnya pelawat dan pengunjung Putrajaya yang ingin berurusan dengan kementerian serta jabatan kerajaan di beberapa kawasan berhampiran kompleks bangunan kerajaan. Bagi menyelesaikan kemelut itu, Mohd Hisamudin menggesa perbincangan antara persatuan penduduk di Putrajaya, Persatuan Kebajikan Kakitangan Awam dan badan bukan kerajaan (NGO) diadakan dengan segera. "Kementerian terbabit perlu melaksanakan segera kajian penambahbaikan sistem parkir dengan mengambil kira populasi semasa, unjuran populasi dalam tempoh lima tahun dan unjuran pelawat yang berurusan dengan pejabat kerajaan," katanya.

Tiada ulasan: