SELAMAT DATANG KE BLOGSPOT CUEPACS

*** KUNJUNGILAH BLOGSPOT INI UNTUK MENDAPAT MAKLUMAT TERKINI*** CUEPACS DI HATI KU***Tema Hari Pekerja CUEPACS 2023 : PEKERJA BERINTIGRITI TUNJANG NEGARA MADANI*** SAMBUTAN HARI PEKERJA 1 MEI 2023

31 Mac 2010

BUKA LEBIH BANYAK PELUANG ICT

Bernama
31/03/2010

KUALA LUMPUR 31 Mac - Model Ekonomi Baru (MEB) akan membawa lebih banyak peluang bagi industri teknologi komunikasi maklumat (ICT) dan memperbaiki kelemahan Dasar Ekonomi Baru (DEB).
Persatuan Industri Komputer dan Multimedia Malaysia (Pikom) berkata objektif pendapatan tinggi di bawah MEB mestilah dihasilkan daripada aktiviti-aktiviti nilai tinggi dan ini hanya akan dapat dicapai menerusi peningkatan produktiviti, tahap perkhidmatan dan inovasi.
Kesemua ini memerlukan penggerak utama seperti ICT. "Kami melihat tolakan peningkatan untuk penggunaan ICT dalam semua urusniaga, kerajaan dan rakyat yang akan membawa aktiviti-aktiviti nilai tinggi," menurut PIKOM dalam satu kenyataan mengenai MEB yang diumumkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak semalam.
Pikom berkata usaha-usaha mesti dilakukan untuk merapatkan jurang digital dan mendekatkan penggunaan ICT di kalangan golongan berpendapatan rendah dan kurang bernasib baik dalam masyarakat.
MEB akan mengubah ekonomi Malaysia menjadi ekonomi berpendapatan tinggi yang mapan dan inklusif serta menempatkan negara pada landasan betul untuk mencapai status negara maju menjelang 2020.
Pemegang Amanah Yayasan 1Malaysia Tan Sri Lee Lam Thye berkata kerajaan hendaklah menimbangkan untuk memperkenalkan dasar gaji minimum.
"Ini untuk memastikan gaji yang adil dan berpatutan dibayar kepada pelbagai sektor ekonomi dengan potensi pertumbuhan sejajar dengan aspirasi MEB bagi mewujudkan pekerjaan berpendapatan tinggi dengan rakyat menikmati kualiti kehidupan yang baik," katanya.
Presiden Kongres Kesatuan Pekerja-pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) Omar Osman mencadangkan supaya kerajaan mengkaji semula skim dalam perkhidmatan awam supaya matlamat untuk membangunkan tenaga kerja berkualiti akan terlaksana.
"Tenaga mahir keluar daripada sektor awam disebabkan gaji. Skim perkhidmatan dalam sektor awam yang mempunyai kemahiran... bergaji rendah. Itu sebab mereka pergi ke luar negara, swasta atau agensi yang menawarkan pendapatan lebih baik," katanya ketika dihubungi Bernama.
Beliau berkata gaji, insentif dan kadar elaun adalah antara perkara yang perlu dikaji semula untuk mengekalkan khidmat penjawat awam dalam perkhidmatan masing-masing di samping mengurangkan kebergantungan terhadap pekerja asing.
Ketua Penerangan Parti Progresif Penduduk (PPP) Datuk A. Chandrakumanan berkata langkah untuk meningkatkan kemahiran pekerja tempatan dana pada masa sama mengurangkan pengambilan pekerja asinga adalah baik.
"Jika kita berjaya mengurangkan pengambilan pekerja asing, ia akan dapat mengurangkan pengangguran," katanya.
Beliau berkata PPP menyambut baik pendekatan MEB yang tidak menjadikan kaum sebagai kriteria utama pelaksanaan dan tiada siapa akan terpinggir. - BERNAMA

Tiada ulasan: