SELAMAT DATANG KE BLOGSPOT CUEPACS

*** KUNJUNGILAH BLOGSPOT INI UNTUK MENDAPAT MAKLUMAT TERKINI*** CUEPACS DI HATI KU***Tema Hari Pekerja CUEPACS 2023 : PEKERJA BERINTIGRITI TUNJANG NEGARA MADANI*** SAMBUTAN HARI PEKERJA 1 MEI 2023

26 September 2010

KESIHATAN, PRESTASI JADI UKURAN LANJUT USIA PERSARAAN 60 TAHUN

Berita Harian
Oleh Mohd Yahya Ariffin
25/9/2010



Generasi muda bermotivasi patut diberi peluang masuki pasaran kerja

KEBELAKANGAN ini beberapa media arus perdana menyiarkan isu umur persaraan pekerja dengan memuatkan pandangan pelbagai pihak termasuk pemimpin kesatuan sekerja, ahli akademik dan orang awam. Dengan pelbagai alasan, ramai yang tidak setuju umur persaraan dinaikkan, sebaliknya Presiden Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS), Omar Osman, konsisten mempertahankan cadangan mereka. Menteri Sumber Manusia, Datuk Dr S Subramaniam, dalam reaksinya kepada media berkata, kerajaan belum membuat keputusan mengenainya. Pasti isu itu menarik untuk diikuti sama ada oleh penjawat awam mahupun swasta kerana mereka terbabit secara langsung dengannya. Bakal pekerja turut memberi perhatian kerana jika berlaku perubahan kepada umur persaraan, ini memberi kesan kepada mereka yang terpaksa menunggu beberapa tahun lagi untuk memasuki pasaran kerja.

Usia persaraan kakitangan kerajaan mengalami perubahan dua kali setakat ini. Pertama, pada 2001 apabila usia persaraan kakitangan sektor awam itu dinaikkan kepada 56 tahun, kemudian dilanjutkan kepada 58 tahun pada 2008. Namun, ada kakitangan memilih bersara pada usia 55 atau 56 tahun atas alasan tersendiri.

Walaupun usia persaraan kakitangan awam meningkat namun, sebahagian besar pekerja sektor swasta kekal bersara wajib pada 55 tahun walaupun ada hingga 60 tahun. Kini, terdengar kembali ura-ura kerajaan akan menaikkan usia persaraan 1.2 juta kakitangan awam kepada 60 tahun.

Omar seperti dilaporkan dalam sebuah akhbar mingguan baru-baru ini meminta kerajaan meningkatkan umur persaraan kakitangan awam kepada 60 tahun berbanding 58 pada masa ini. Perubahan itu perlu dilakukan kerana banyak negara termasuk negara maju dan negara jiran berbuat demikian.
Maklumat Persekutuan Majikan Malaysia (MEF) menunjukkan kini umur persaraan di kebanyakan negara Asia Pasifik melebihi 60 tahun. Contohnya, usia persaraan 60 tahun dilaksanakan di Thailand, Vietnam, Indonesia, Filipina, Korea Selatan dan India. Di Singapura antara 61 hingga 64 tahun, manakala pekerja di Hong Kong, Jepun, Australia dan New Zealand bekerja hingga 65 tahun.

Menurut Omar, pada 2006 cadangan asal CUEPACS adalah supaya kerajaan meningkatkan usia persaraan kakitangan awam kepada usia 60 tahun. Beliau berharap kerajaan akan mempertimbangkan semula cadangan itu demi kebaikan kakitangan awam dan kepentingan negara.

Langkah itu bakal melegakan kakitangan awam untuk memberi khidmat kepada masyarakat dua tahun lagi jika dipersetujui kerajaan. Persoalannya wajarkah semua kakitangan diberi opsyen itu oleh Jabatan Perkhidmatan Awam?

Kemungkinan besar ramai yang memilih untuk bersara pada usia 60 tahun dan tidak kurang juga kekal pada usia 58 tahun.

Hakikatnya, bukan semua kategori kakitangan sesuai atau mampu memberi perkhidmatan dengan baik sehingga usia 60 tahun atas pelbagai kekangan.

Apakah tahap kesihatan penjawat awam pada usia itu masih baik? Mungkin ada yang mengalami masalah penglihatan, pendengaran atau lemah anggota badan. Namun, ada kakitangan dalam profesion seperti pensyarah yang masih mampu berkhidmat sehingga usia 60 tahun.

Ramai ahli akademik di universiti masih menyampaikan kuliah, menjalankan penyelidikan dan menghasilkan penulisan akademik walaupun melewati 60 tahun.

Sebagai contoh, bekas mentor saya, Rektor Universiti Islam Antarabangsa Malaysia, Prof Datuk Seri Syed Arabi Idid, walaupun melewati usia 60 tahun masih aktif menerajui universiti, melakukan penyelidikan serta menyelia pelajar pascasiswazah.

Di Universiti Malaya dan universiti awam lain, ramai rakan akademik yang walaupun dalam usia bersara dilantik secara kontrak masih mampu melakukan tugas hakiki sebagai pensyarah.

Begitu juga dalam profesion perundangan, ramai hakim melewati usia 60 tahun tetapi masih mampu melaksanakan tugas penghakiman secara profesional. Golongan profesional lain termasuk pakar perubatan, pergigian, pentadbiran, ekonomi dan kewangan serta guru masih mampu memberi sumbangan.

Persoalannya, wajarkah kakitangan yang bermasalah kesihatan dengan laporan perubatan atau masalah disiplin diberi peluang terus berkhidmat dalam perkhidmatan awam? Apakah kehadiran mereka mampu meningkatkan produktiviti dan menaikkan imej organisasi?

Oleh kerana ia adalah opsyen apakah mungkin sebelum menawarkannya ketua jabatan perlu pastikan anggota di jabatan masing-masing tiada masalah kesihatan kritikal atau masalah disiplin atau prestasi kerja yang rendah? Ketua jabatan harus menyemak laporan prestasi kakitangan beberapa tahun sebelum, misalnya ketika mereka berusia 55 hingga 58 tahun sebelum diberi perlanjutan ke-60 tahun.

Apa guna dilanjutkan perkhidmatan mereka jika sering berulang-alik ke hospital atau klinik akibat gangguan kesihatan. Bukankah itu menjejaskan perkhidmatan organisasi kerana kakitangan sering cuti sakit atau terlantar di hospital, malah membebankan rakan setugas kerana harus menyelesaikan kerja mereka.
Begitu juga mereka yang mempunyai masalah disiplin atau memberi masalah di tempat kerja seperti curi tulang, hilang minat bekerja, suka menghilangkan diri pada waktu kerja atau terbabit rasuah.

Mungkin lebih baik kerajaan memberi peluang kepada generasi muda termasuk graduan yang mempunyai kesihatan yang baik lagi bertenaga serta motivasi tinggi untuk bekerja bagi mengambil alih tanggungjawab itu. Pelantikan tenaga baru juga mengurangkan kadar pengangguran di negara ini.

Bagi sektor swasta, wajar menaikkan usia persaraan daripada tahap sedia ada. Mungkin mereka boleh mengikut langkah kerajaan menaikkan usia persaraan dari semasa ke semasa.

Usia 55 mungkin dianggap masih bertenaga dan produktif bagi kebanyakan pekerja memandangkan jangka hayat penduduk negara ini semakin meningkat kerana tahap kesihatan dan kehidupan semakin berkualiti dan sejahtera berbanding puluhan tahun lalu.

Sebagai perbandingan, ramai ahli politik dan ahli perniagaan masih aktif walaupun mereka melewati 55 tahun. Statistik Jabatan Perangkaan menunjukkan pada 1970, peratus penduduk berusia lebih 65 tahun adalah 3.3 peratus meningkat kepada 3.6 peratus pada 1990 dan 4.5 peratus pada 2008.

Ini bermakna mereka yang bersara pada usia 55 tahun terus menikmati kehidupan lebih lama melebihi 10 tahun dan kemungkinan bosan akibat tiada kerja rutin seperti mereka lakukan ketika dalam perkhidmatan. Oleh itu, wajar usia persaraan dinaikkan kepada 60 tahun sama ada oleh sektor awam mahupun sektor swasta bagi memenuhi keperluan semasa.

Namun, opsyen kenaikan usia persaraan jika ditawarkan mungkin bersandarkan status kakitangan yang mengalami gangguan kesihatan, ada masalah disiplin atau prestasi kerja yang semakin merosot.

Penulis ialah Ketua Jabatan dan Pensyarah Kanan Pengajian Media,
Fakulti Sastera dan Sains Sosial,
Universiti Malaya

18 ulasan:

Boonsak Ponana berkata...

kami penguatkuasa JPJ tetap menuntut agar pekerja Indon dihantar pulang segera agar rakan kami pekerja kontrak dapat diserap segera didlam sektor pembinaan dan perladangan, utk PA kontrak wanita bolehlah menggantikan amah2 Indon nanti. ini adalah untuk kebaikan negara dan membela nasib pekerja kontrak

Tanpa Nama berkata...

Kerajaan perlu mengkaji semula perkara umur persaraan PA. Adakah umur persaraan 58 dikekalkan? Saya yakin ramai yg tak mampu bekerja bukan kerana usia, tetapi kerana tiada kualiti dan komitmen kerja dah berkurang.
Ada yg sudah sibuk dgn kerap hadir mesyuarat jbtn., unit yg sengaja dibuat & diada2kan, mesy.NGO, MC, Cuti kursus yg tidak berfaedah, memimpin sukan, sertai kejohanan sukan & lain2 yg lari dpd 'core busines' sbg PA & kesan akhirnya ialah meninggalkan waktu bekerja hakiki (ponteng kerja?)
Kerajaan patut turun umur persaraan kpd 55/56 tahun shj, Umur persaraan 58/60 thn .. khusus kpd JAWATAN yang amat KRITIKAL shj.
Bagi orang MUDA bekerja. Presiden Cupec omar, boleh letak jawatan, sebab anda sudah tidak relevan lagi.

Tanpa Nama berkata...

Tambah 60 aku tak sokong tapi kurangkan 58 ke 55 aku sokong, insaf-insaflah hidup kita ni tak selama-lamanya tongkat langit.

Tanpa Nama berkata...

Tuan Presiden,minta mesy.khas cuepacs, 8 oktober 2010 TARIK BALIK memorandum minta naik umur persaraan ke 60 thn.
Mohon Presiden, letak jawatan presiden cuepacs. Tuan tidak relevan kpd perjuangan PA hari ini.
Kami golongan muda minta Cuepacs perjuang nasib kami.

Tanpa Nama berkata...

Saudara Boonsak Ponana, saudara memang berkarisma dan berpandangan jauh. Saudara sudah layak sangat untuk menggantikan Pak Omar. Selamat maju jaya

Tanpa Nama berkata...

Saya sangat setuju dgn cadangan CUEPACS tu supaya negara dpt mencapai negara berpendapatan tinggi.

Tanpa Nama berkata...

saya setuju "kesihatan, prestasi jadi ukuran lanjut usia persaraan 60 tahun" dan hanya sebagai opsyen.Tidak diwajibkan.Pak Omar adalah presiden yang tebaik yang sy temui sehingga kini.Yang banyak memperjuangkan untuk kita.Jangan lah kita menjadi spt pepatah melayu "Habis madu sepah dibuang"

Tanpa Nama berkata...

Saya sangat sokong apa yg saudara/saudari sebutkan di atas sebab ian utk kepentingan semua dan negara

Tanpa Nama berkata...

hairan dengan kerenah pakcik makcik, kenapa begitu beria nak kerja hinga umur 60 thn? kerna wang? atau untuk negara?
Bagi ler peluang kpd kami org muda utk khidmat kpd negara.
Kami tak hormat presiden cuepacs yg penting diri ... dulu bolehlah. Skrg nampak sangat penting diri ..

Tanpa Nama berkata...

umur 60 tahun hanya opsyen,kalau ada darah tinggi,kencing manis ,jantung atau lain-lain penyakit yg setara dengannya takyah keja,,ini ingatan tuk saya gak,,takut nanti asyik kena sumpah dek orang,mana taknya asyik MC sepanjang tahun

Tanpa Nama berkata...

kepada golongan muda..usahlah risau...berdoalah rezeki untuk anda tu ada.Kalu betul la umur persaraan dilanjutkan ke 60tahun.Tak semua PA akan pilih...sbb mcm grup akak memg xnak keje lama2...kalu boleh nak pencen umur 50.So apa yg dicadangkan mungkin rezeki utk mereka yg sanggup lg berbakti.

Atan berkata...

Hahahaha...bayangkan nenek duduk kat kaunter.

Tanpa Nama berkata...

kalo dah tanak keje sampai umur 60 tahun tu..sign je la opsyen amik 58..takyah bising-bising..biarlah kerajaan yang putuskan..

Tanpa Nama berkata...

jgn risau ..bgs umo 60..nnt bnyk jawatan 0 bile x smpi umo 60 da menemui ajal.....skrng pun da mcm2 penyakit kite tau...wlupn kite da cube mencegahnyerr..ble ms nk rehatnyerr....asek kije jerrr..silap2 belum pencen da GOLL!!!!!....
"anda buat anda dapat"..hehe

Tanpa Nama berkata...

Bagi aku, Omar Osman ialah presidan yg terbaik untuk membela nasib kakitangan kerajaan. Banyak pembelaan semasa Ceupacs diterajui olehnya. Aku wakil pekerja pihak berkuasa tempatan menyokong penuh presiden sekarang...

Tanpa Nama berkata...

Umur 60 apa yang dapat dilakukan. Hanya makan gaji buta kerana terlalu banyak sangat mc sakit. Berilah peluang kepada anak2 kita untuk menjana kehidupan baru. Umur 60 dah sesuai untuk beramal ibadat kerana kita semua tahu umur kita dah tak lama. Lagipun Kerajaan terpaksa menangggung beban yang tinggi dalam pembayaran gaji sedangkan kerja yang diperolehi tidak setimpal dan sudah tidak berkualiti... Kereta buruk tapi kena bayar mahal. Kerajaan tak pikirkah ?????

Tanpa Nama berkata...

Omar Osman kena pikirrr. Kebanyakan mereka yang akan memilih untuk bersara 60 nanti adalah mereka yang gila duit. Mereka ini akan banyak menimbulkan masalah di jabatan masing-masing. Cuba bayangkan nenek2, datuk2, kita yang dah uzur datang bertugas ataupun nenek kita yang dah tua dok mengajar cicit2 di sekolah... tak dapat gambarkan...

Tanpa Nama berkata...

Siapa yang mintak pencen umur 60? 58? Omar Osman? biaqpi la dia keje sorang2. Kalau boleh 50 sy nak pencen. Dan pencen pilihan bgla seawal 45 ke. Janganla tahan pencen sampai umur bersara wajib br nak kasi. Apala ada pd kami ni. Memang sah2 takkan kaya sampai bebila pun. Bebanan tugas tetap bertambah. Sekurang-kurang bglah ihsan kpd kami ni di hari tua