SELAMAT DATANG KE BLOGSPOT CUEPACS

*** KUNJUNGILAH BLOGSPOT INI UNTUK MENDAPAT MAKLUMAT TERKINI*** CUEPACS DI HATI KU***Tema Hari Pekerja CUEPACS 2023 : PEKERJA BERINTIGRITI TUNJANG NEGARA MADANI*** SAMBUTAN HARI PEKERJA 1 MEI 2023

06 Oktober 2010

BPH BENAR PENGHUNI COCHRANE TANGGUH PINDAH

Utusan Malaysia
5/10/2010



PUTRAJAYA 4 Okt. - Bahagian Pengurusan Hartanah (BPH) Jabatan Perdana Menteri (JPM) hari ini membenarkan penghuni kuarters kerajaan Jalan Cochrane, Kuala Lumpur, memohon untuk menangguhkan pengosongan kuarters itu sehingga hujung tahun ini.

Kebenaran tersebut akan diberikan kepada penghuni yang mempunyai alasan kukuh untuk berbuat demikian dan mereka layak menuntut elaun pindah berdasarkan kemampuan kewangan jabatan masing-masing.

"BPH sentiasa bersedia berbincang dengan penduduk kuarters tersebut bagi mencari jalan terbaik untuk menyelesaikan masalah yang timbul.

"Diharap penjawat awam akur dengan langkah kerajaan untuk mengambil kembali kuarters tersebut seiring dengan pembangunan yang sedang dirancang untuk kemudahan pada masa depan," ujar bahagian itu dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Semalam, Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) meminta kerajaan menangguhkan arahan pemindahan lebih 500 keluarga yang tinggal di kuarters kerajaan Jalan Cochrane ke Putrajaya sebelum 15 Disember ini.

Presidennya, Omar Osman berkata, penangguhan itu disebabkan tarikh yang diberi tidak sesuai dan terlalu singkat kerana ramai anak penjawat awam yang tinggal di situ akan menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Penilaian Menengah Rendah (PMR).

Pada masa ini, terdapat 538 unit kediaman di kuarters kerajaan itu dan pembangunan di atas tapak berkenaan akan mengakibatkan sebanyak 400 unit kediaman terpaksa dikosongkan.

BPH memberitahu, pihaknya menempatkan 16 penghuni yang mempunyai masalah penyakit kronik seperti jantung dan orang kurang upaya (OKU) ke kuarters kerajaan Jalan Duta dan Jalan U-Thant.

"BPH telah menyenaraikan 47 penghuni yang memohon Projek Perumahan Rakyat (PPR) dan telah dipanjangkan kepada Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) manakala 82 penghuni yang berhasrat untuk berpindah ke Putrajaya telah ditawarkan kuarters," katanya.

BPH berkata, bagi melaksanakan tanggungjawab dan menjaga kebajikan penghuni terbabit, pihaknya telah mengambil inisiatif mengeluarkan notis lebih awal iaitu tujuh bulan sebelum mereka diarah berpindah.

Katanya, langkah itu dibuat meskipun Peraturan Am Bab E, Perintah 5 (b) menyatakan kerajaan boleh menghendaki seseorang pegawai mengosongkan kuarters dengan memberi tempoh sebulan sahaja.

"BPH telah mengeluarkan surat makluman kepada penghuni kuarters terbabit pada 5 Mei lalu tentang hasrat kerajaan untuk membangunkan kawasan tersebut.

"Satu perjumpaan bersama penghuni bagi menerangkan perkara berkenaan telah diadakan pada 10 Mei lalu di Dewan Serbaguna Pusat Kecemerlangan Sukan Cochrane dan ia turut dihadiri oleh Setiausaha Agung CUEPACS, Ahmad Shah Mat Zain," menurut kenyataan itu lagi.

1 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

alahhh...kuarters di Jln Imbi telah dirobohkan 12 tahun lalu masih tidak dibangunkan terbengkalai begitu saja..maklum lah sekarang ni dia merintah ..masih berkuasa ni ..bila lagi.