SELAMAT DATANG KE BLOGSPOT CUEPACS

*** KUNJUNGILAH BLOGSPOT INI UNTUK MENDAPAT MAKLUMAT TERKINI*** CUEPACS DI HATI KU***Tema Hari Pekerja CUEPACS 2023 : PEKERJA BERINTIGRITI TUNJANG NEGARA MADANI*** SAMBUTAN HARI PEKERJA 1 MEI 2023

17 Disember 2010

CUEPACS: SU AGUNG GESA NUTP JANGAN GUNA TAKTIK KOTOR

The Malaysia Insider
Oleh G Manimaran
13 Disember 2010






KUALA LUMPUR, 13 Dis — Setiausaha Agung Cuepacs Ahmad Shah Mohd Zin mendakwa Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP), antara gabungan terbesar badan induk itu, cuba melakukan serangan peribadi dengan melabel kepimpinannya memperlihatkan “banyak masalah” sehingga perlu dicabar.

“Saya menganggap bahawa kenyataan presiden NUTP tempoh hari tidak profesional, tidak ikhlas, seolah-olah ada agenda tersusun hendak memburuk-burukan saya... saya lihat ia sebagai serangan peribadi, ada niat buruk di pihak NUTP,” kata beliau kepada The Malaysian Insider.

Kata beliau, dakwaan Hashim Adnan, presiden NUTP, tidak sewajarnya dibangkitkan memandangkan setiap perkara diputuskan oleh Cuepacs ada pendirian bersama dan dicari penyelesaian secara kolektif selama ini.

“Jadi mengapa baru sekarang hendak mengatakan kepimpinan saya bermasalah sedangkan NUTP boleh membangkitkan kalau ada isu, kalau hendak menegur ketika mesyuarat majlis dan jawatankuasa. Mengapa sekarang?” katanya lagi.

Ahmad Shah yang memutuskan untuk mempertahankan kedudukannya berkata, kepimpinan NUTP berada dalam majlis kongres dan jawatankuasa kepimpinan Cuepacs, yang secara tidak langsung membolehkan mana-mana pihak membangkitkan jika ada masalah dalam kepimpinan.

“Mengapa mahu membangkitkan sekarang, ketika menjelang pemilihan,” kata Ahmad Shah lagi.

“Saya berpendapat bahawa dia (presiden NUTP) menyokong calon dia sehingga memburuk-burukkan setiausaha agung sedia ada iaitu diri saya.

“Sebenarnya ada cara lain untuk mempromosikan mana-mana calon termasuk wakil kesatuan mereka, tetapi jangan sampai memandang rendah peranan dan tanggungjawab setiausaha agung... ini, bagi saya satu taktik kotor dibawa oleh NTUP,” katanya lagi.

Ketika dihubungi The Malaysia Insider baru-baru ini, Hashim berkata NUTP memutuskan untuk meletakkan calonnya merebut jawatan setiausaha agung Cuepacs atas alasan penyandangnya “banyak masalah” dan mahu mengembalikan integriti badan induk itu.

NUTP mencalonkan Lok Yim Pheng merebut jawatan setiausaha agung yang kini disandang oleh Ahmad Shah.

“Kami memutuskan untuk meletakkan calon NUTP bertanding jawatan setiausaha agung dengan harapan mahu membawa perubahan dalam Cuepacs. Kami tidak mahu Cuepacs ada kepimpinan yang lemah dan tiada integriti,” kata Hashim.

Lok juga kini merupakan setiausaha agung NUTP. Beliau juga telah dicalonkan untuk bertanding jawatan timbalan presiden Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC).

Ini bukan kali pertama NUTP, kesatuan gabungan terbesar dan antara kesatuan yang mempunyai undi terbanyak dalam persidangan perwakilan Cuepacs, menghantar pemimpinnya bertanding jawatan tertinggi dalam kongres itu.

Sebelum ini, Datuk N. Siva Subramaniam pernah menjadi setiausaha agung dan kemudian sebagai presiden Cuepacs.

Sambil menekankan jawatan setiausaha agung adalah kedudukan penting, Hashim yang merupakan salah seorang naib presiden Cuepacs berkata, “dengan meletakkan calon baru, harapan kami Cuepacs akan mendapat pemimpin baru, yang lebih mantap.”

Hashim berkata, pihaknya meletakkan calon mereka dengan harapan dapat menukar setiausaha agung yang menurutnya mempunyai banyak “masalah” dalam menguruskan kongres itu.

Bagaimanapun beliau enggan menghuraikan masalah yang dimaksudkan.

Pemilihan Cuepacs akan berlangsung 22 Disember sempena persidangan perwakilan dua hari yang akan dirasmikan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.

Tiada ulasan: