Bernama
31/3/2011
IPOH, 30 Mac (Bernama) -- Cuepacs akan mengemukakan enam tuntutan baru kepada Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) melibatkan kenaikan gred jawatan berdasarkan tempoh perkhidmatan, pemansuhan gred jawatan 1 hingga 16, cuti tanpa rekod, cuti separuh gaji, cuti bersalin serta pertukaran kerana kenaikan pangkat.
Presiden Cuepacs Datuk Omar Osman berkata kesemua tuntutan itu akan dibincangkan dalam pertemuan antara anggota Majlis Tertinggi Cuepacs dan Ketua Pengarah JPA pada 4 April ini di Putrajaya.
"Kita juga akan membuat susulan dan mendengar taklimat penggantian sistem Penilaian Tahap Kecekapan (PTK) dan cadangan gaji minimum RM920 yang dikemukakan oleh Cuepacs pada 1 Julai 2007," katanya kepada pemberita selepas menghadiri sesi dailog dengan kakitangan Jabatan Pengangkutan Jalan negeri Perak di sini pada Rabu.
Mengenai kenaikan gred jawatan berdasarkan tempoh perkhidmatan, Omar berkata Cuepacs mahu tempoh itu dipendekkan.
Berhubung gred jawatan 1 hingga 16, beliau berkata ia tidak lagi relevan kerana penjawat awam kini berkelulusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).
Katanya Cuepacs berpendapat penjawat awam yang diberikan kenaikan pangkat dalam kumpulan yang sama tidak perlu diarah berpindah ke kawasan yang jauh seperti dari Ipoh ke Johor Baharu kerana ia boleh mendatangkan pelbagai masalah seperti keluarga.
Mengenai penggantian PTK pula, beliau berharap segala input yang diberikan oleh Cuepacs sebelum ini untuk penambahbaikan sistem penilaian kompetensi penjawat awam itu tidak ditolak oleh JPA.
Ketika diminta mengulas pemberian bonus oleh agensi kerajaan negeri dan syarikat berkaitan kerajaan (GLC), Omar berkata Cuepacs berpendapat kerajaan perlu mempunyai satu garis panduan kepada agensi berkenaan dan GLC berhubung pemberian bonus kepada kakitangan mereka.
"Kita mendengar lembaga ini dapat tiga bulan, GLC ini dapat empat bulan...sepatutnya seperti GLC ini, kerajaan perlu ada satu garis panduan. Penjawat awam sahaja yang tidak dapat bonus, kita hanya terima bantuan khas, tetapi agensi lain sama ada GLC atau badan kerajaan yang diasingkan, semua ada bonus paling kurang tiga bulan," katanya.
Omar berkata Cuepacs akan membawa perkara itu kepada kerajaan supaya satu mekanisme dapat diwujudkan selain berharap kerajaan dapat mempertimbangkan pemberian bonus kepada 1.2 penjawat awam pada tahun ini selepas dua tahun tidak menikmatinya.
Katanya Cuepacs belum menghantar tuntutan bonus itu secara rasmi dan akan berbuat demikian dalam masa terdekat.
-- BERNAMA