SELAMAT DATANG KE BLOGSPOT CUEPACS

*** KUNJUNGILAH BLOGSPOT INI UNTUK MENDAPAT MAKLUMAT TERKINI*** CUEPACS DI HATI KU***Tema Hari Pekerja CUEPACS 2023 : PEKERJA BERINTIGRITI TUNJANG NEGARA MADANI*** SAMBUTAN HARI PEKERJA 1 MEI 2023

07 Oktober 2011

TUMPU BEBAN SARA HIDUP

Utusan Malaysia

KUALA LUMPUR 6 Okt. - Pertubuhan bukan kerajaan (NGO) berharap Belanjawan 2012 yang akan dibentangkan esok dapat memberi fokus mengurangkan beban sara hidup rakyat yang semakin meningkat sejak kebelakangan ini.

Presiden Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS), Datuk Omar Osman berkata, penyelarasan gaji kakitangan awam amat dinanti-nantikan kerana ia bukan sahaja mampu mengurangkan kadar kemiskinan tetapi menyuntik semangat baru kepada mereka.

"Pembentangan belanjawan kali ini dilihat cukup penting bagi penjawat awam, bagaimanapun berapa peratus kenaikan gaji biarlah ditetapkan sendiri oleh kerajaan.

"Kerajaan telah begitu prihatin dengan memberi bonus setengah bulan dan jika bonus dua bulan diberikan sudah tentu ia satu sejarah kepada kakitangan awam," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

Dalam pada itu, Gabungan Persatuan-Persatuan Pengguna Malaysia (FOMCA) berharap kerajaan memberikan insentif tertentu bagi membantu golongan orang kurang upaya (OKU) dan berpendapatan rendah.

Presidennya, Datuk N. Marimuthu berkata, antara lain kerajaan boleh mempertimbangkan pemberian kupon makanan dan memperluaskan Kedai Rakyat 1Malaysia.

"Saya percaya kali ini kerajaan akan memberikan yang terbaik bagi membantu rakyat menangani kos hidup seperti yang telah dijanjikan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak baru-baru ini," katanya.

Timbalan Presiden Persatuan Pemaju Hartanah dan Perumahan Malaysia (REHDA), Datuk FD Iskandar FD Mansur berkata, dalam membantu rakyat memiliki rumah, skop tangga gaji perlu diperluaskan dan tidak dihadkan kepada pendapatan isu rumah RM3,000.

''Skim Rancangan Rumah Pertamaku yang diperkenalkan oleh kerajaan sebelum ini amat dialu-alukan.

"Kerajaan Persekutuan juga perlu mengambil inisiatif dalam pembinaan rumah mampu milik di bandar-bandar besar dengan memperluaskannya kepada pihak pemaju lain," katanya.

Persatuan Ibu Tunggal Islam berharap kerajaan dapat memberi penelitian mengurangkan kos yuran pelajaran dan perubatan dalam Belanjawan 2012 esok.

Pengerusinya, Haziah Haniza Abd. Wahab berkata, langkah tersebut dapat mengurangkan beban ibu tunggal yang terpaksa bekerja keras menampung kehidupan keluarga serta kedua-dua keperluan itu.

"Sayang, kalau anak-anak mereka yang bijak terkandas dalam pelajaran hanya disebabkan ibu tunggal tidak mempunyai dana yang mencukupi untuk menyekolahkan anak-anak," katanya.

Presiden Persatuan Pengusaha Stesen Minyak Malaysia (PDAM), Datuk Hashim Othman pula berharap kerajaan menyelaraskan kadar sewa yang dikenakan oleh stesen-stesen minyak terhadap para pembekal seluruh negara.

Katanya, kini kadar komisen yang diterima oleh pembekal bagi petrol adalah 12.19 sen seliter manakala diesel, 7 sen seliter.

"Kenaikan kadar sewa antara RM6,000 hingga RM7,000 sebulan daripada RM4,000 hingga RM5,000 sebulan merupakan satu bebanan.

"Penyelarasan gaji minimum mungkin akan menambah beban kepada para pembekal minyak jika kadar sewaan tidak diseragamkan apabila terpaksa menanggung kos lain termasuk kenaikan gaji pekerja," katanya.

Tiada ulasan: