Utusan MalaysiaOleh NURUL ANUAR KARIanuar.kari@yahoo.com 14/1/2012Wakil majikan dan agensi pekerjaan menyerbu Ibu Pejabat Imigresen di Putrajaya baru-baru ini untuk menguruskan permohonan Program Penyelesaian Menyeluruh Pekerja dan Pendatang Asing Tanpa Izin atau Program 6P.
RAKYAT Malaysia memang terkenal dengan sikap suka menangguhkan sesuatu kerja sehingga ke minit akhir dan kemudian memberi pelbagai alasan bila urusan tersebut gagal diselesaikan mengikut syarat.
Contoh terbaik adalah ketika musim mengisi borang cukai dengan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN), saman, pendaftaran kenderaan komersial dan terbaru di kalangan majikan dalam pendaftaran Program Penyelesaian Menyeluruh Pekerja dan Pendatang Asing Tanpa Izin (6P).
Hakikatnya, rakyat tidak boleh disalahkan sepenuhnya apabila mereka terlalu dimanjakan dengan penangguhan tindakan perundangan dan lanjutan tempoh untuk menyelesaikan saman serta urusan berkaitan oleh kementerian, agensi kerajaan mahupun majlis perbandaran.
Langkah kerajaan mengambil kira aduan dan pandangan rakyat terutamanya mereka yang mempunyai kepentingan dalam sesuatu keputusan atau dasar baru memang sepatutnya dipuji.
Namun, sikap berlembut itu juga boleh menjadi serampang dua mata, bukan sahaja menunjukkan keprihatinan kerajaan malahan mungkin menunjukkan kurangnya ketegasan dan kesungguhan dalam melaksanakan sesuatu keputusan, peraturan dan dasar baru.
Isu pendatang asing dan program 6P menjadi contoh kegusaran rakyat yang masih menunggu hasil konkrit dalam mengurangkan jumlah pendatang asing di negara ini dengan kebimbangan tarikh tindakan perundangan dilanjutkan lagi.
Kini, laporan skim Saraan Baru Perkhidmatan Awam (SBPA) akan disemak semula turut menimbulkan tanda tanya sesetengah pihak sama ada perancangan oleh Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) itu dibuat secara terburu-buru sehingga menerima banyak aduan.
Bagi Setiausaha Kluster Governans, Perundangan dan Pengurusan Awam Majlis Profesor Negara, Profesor Dr. Durrishah Idrus, tidak menjadi isu besar jika wujudnya sokongan dan tentangan terhadap penangguhan sesuatu dasar atau keputusan kerajaan.
“Bila sesuatu dasar itu diumumkan dan diketahui rakyat, tentu akan ada yang memberi pendapat masing-masing.
“Jika dasar yang telah diketahui umum itu ditangguhkan pula, tentu akan wujud dua kumpulan iaitu yang menyokong dan menentang,” jelasnya.
Tegasnya, sesuatu dasar baru itu adalah polisi jangka panjang atau jangka sederhana yang bakal memberi kesan kepada ramai pihak jika dilaksanakan.
Oleh itu, katanya, sebuah dasar baru seboleh-bolehnya perlu dikaji dengan teliti dan mendalam terlebih dahulu sebelum diumumkan kepada orang ramai.
“Jika sudah dikaji dan diteliti dengan mendalam, mungkin penangguhan dapat dielakkan kerana masalah tidak timbul jika keputusan itu menggembirakan rakyat.
“Penangguhan pula akan menimbulkan tanda tanya kepada sesetengah pihak sementara pihak lain menyokong. Ini perkara biasa bila berlaku penangguhan dan tidak menjadi isu besar,” katanya.
Durrishah menjelaskan, jika SBPA dilaksanakan tanpa diteliti semula, sebilangan golongan sederhana dan bawahan dalam perkhidmatan awam mungkin berasa tidak puas hati dalam jangka panjang.
“Jika dahulu, perbincangan diadakan dahulu pihak berkaitan dengan kerajaan dan hanya diumumkan jika semua isu berbangkit sudah selesai.
“Saya harap kerajaan akan semakin matang kelak dalam mengendalikan situasi seperti apa yang berlaku dengan SBPA,” ujarnya.
Ketua Kluster Politik, Keselamatan dan Antarabangsa Majlis Profesor Negara, Profesor Datuk Dr. Mohamed Mustafa Ishak pula berpendapat penangguhan SBPA bukannya menunjukkan kelemahan tetapi menonjolkan keberanian Perdana Menteri bertindak pantas terhadap keresahan mereka yang terlibat.
“Mungkin ada pihak akan mengambil kesempatan dalam isu penangguhan dasar ini tetapi tindakan segera Datuk Seri Najib Tun Razak membuktikan kerajaan responsif terhadap isu-isu tulen dan perkara berbangkit selepas menerima maklum balas pihak yang sedar diri mereka akan terjejas.
“Bukannya kerajaan tidak bertegas dalam pelaksanaan sesuatu dasar tetapi ada isu yang tidak mendapat maklum balas di peringkat awal yang sepatutnya telah melibatkan kumpulan pembuat keputusan dan pihak berkepentingan,” katanya.
Tambahnya, sesuatu dasar baru juga perlu melihat kepada maklum balas umum dan ini boleh dicapai dengan kemajuan teknologi semasa.
Menurut beliau, Perdana Menteri sendiri mengakui kerajaan tidak mengetahui semua perkara tetapi bersedia menerima pendapat orang ramai yang boleh membawa kebaikan kepada semua.
“SBPA perlu dikaji semula bila majoriti kakitangan awam tidak berpuas hati walaupun sesetengah pihak gembira dengan apa diterima mereka.
“Kelemahan di sini adalah dari sudut pelaksanaan apabila perbincangan tidak dibuat JPA dengan pihak-pihak berkaitan terlebih dahulu sehingga mungkin menjejaskan sekitar 500,000 pekerja,” ujarnya.
Tegasnya, semakan semula yang diumumkan menunjukkan hasrat Perdana Menteri yang mahu memberi penambahbaikan dalam pelbagai aspek agar memberi manfaat dan boleh diterima baik oleh majoriti, jika tidak kesemua kakitangan awam sekalipun.
“Mengumumkan penangguhan adalah satu langkah berani dan tegas demi memberi perhatian kepada isu yang timbul dan mengelakkan masalah lain kelak.
“Perdana Menteri juga mungkin tidak menerima gambaran tepat sebelum mengumumkan SBPA dan kerana itu kakitangan awam perlu memberi maklum balas agar semua pihak dilindungi dan tiada yang menerima kesan buruk, di samping menutup peluang pihak yang mahu menangguk di air keruh,” jelasnya.
Mohamed Mustafa berpendapat matlamat skim tersebut sangat baik tetapi pelaksanaannya yang seperti tergesa-gesa mungkin menjadi punca masalah.
“Walaupun sesuatu dasar baru mempunyai matlamat yang baik, tiada maknanya jika kumpulan sasaran tidak menerima manfaatnya.
“Baguslah Perdana Menteri mendengar masalah yang dibangkitkan dan sedia menangguhkan SBPA demi kebajikan mereka yang terlibat,” katanya.
Adalah lebih baik untuk berhadapan dengan seorang yang menentang selepas memahami isu sebenar daripada dibiarkan ramai membantah tanpa memahami tujuannya.
Kewajaran penangguhan sesuatu keputusan sewajarnya dinilai demi kepentingan dan masa depan kesemua pihak yang terlibat atau sekurang-kurangnya kumpulan majoriti.
Walaupun kerajaan sewajarnya bertegas dalam pelaksanaan dasar baru agar rakyat lebih berdisiplin dan yakin dengan komitmen pentadbiran negara, kesan jangka panjang serta baik dan buruk keputusan tersebut perlu diutamakan.
Penerimaan rakyat terhadap sebarang keputusan kerajaan juga akan berubah sejajar dengan pemahaman dan perubahan yang berlaku, sama ada menerima jika kesannya positif atau membantah jika sebaliknya.
Apa yang perlu diutamakan kini adalah pemahaman rakyat terutamanya mereka yang berkepentingan dalam sesuatu keputusan tentang punca dan sasaran pelaksanaan, mahupun penangguhan, sesebuah dasar baru.