CUEPACS minta kerajaan rangka akta baru untuk badan berkanun

Shah Alam: Kongres Kesatuan Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) meminta kerajaan merangka satu akta bagi membolehkan kakitangan badan berkanun memperoleh faedah sama seperti dinikmati penjawat awam.

Presiden CUEPACS, Datuk Omar Osman, berkata akta itu jika digubal perlu merangkumi empat perkara penting, iaitu kenaikan pangkat, gaji, pilihan persaraan dan penggunaan surat pekeliling yang mana pelaksanaannya kini adalah berbeza antara setiap badan berkanun.
Perlu kaji gaji


“Kadang-kala ada pengarah badan berkanun berada di gred JUSA C dan sudah berada di gred ini terlalu lama. Sepatutnya perkara ini tidak boleh berlaku, kerana pengarah ini sudah tentu memegang tanggungjawab yang berat. Begitu juga dengan gaji, perlu lihat semula gaji maksimum.

“Selain itu, jika sesebuah badan berkanun itu diswastakan, kakitangannya hanya diberi dua pilihan, iaitu menjadi pekerja swasta atau bersara awal.
Selain dua pilihan ini, sepatutnya ada satu lagi pilihan, iaitu tukarkan kakitangan yang tidak berminat menyertai sektor swasta ke agensi lain.

“Ada badan berkanun tidak mengguna pakai surat pekeliling diedarkan kerana ia memerlukan kelulusan lembaga pengarah, sehingga menjejaskan pelaksanaannya,” katanya selepas majlis perasmian Persidangan Kebangsaan Anggota Badan Berkanun CUEPACS di sini, semalam.
Persidangan yang dihadiri kira-kira 600 kakitangan badan berkanun itu dirasmikan Ketua Setiausaha Negara, Datuk Seri Dr Ali Hamsa.

Lakukan transformasi

Omar berkata, sudah tiba masanya transformasi dilakukan dalam badan berkanun bagi memastikan ia terus menjadi nadi kepada kerajaan, seiring dengan peranannya yang semakin penting bagi menuju negara maju menjelang 2020.

Terdahulu dalam ucapannya, Omar berharap Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak akan mengumumkan perkara yang menggembirakan pada perhimpunan penjawat awam di Putrajaya, 11 Mac ini.

“Kita harap ada sesuatu yang menggembirakan untuk kita semua. Bersama-samalah kita berdoa semoga beberapa tuntutan yang kita kemukakan sebelum ini diterima kerajaan,” katanya.