Utusan Malaysia
3/5/2014
3/5/2014
KUALA LUMPUR 3 Mei - Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Di Dalam 
Perkhidmatan Awam (CUEPACS) akan mempertimbangkan cadangan Pertubuhan 
Pribumi Perkasa (Perkasa) Malaysia untuk menganjurkan perhimpunan 
besar-besaran bagi memberi penjelasan mengenai pelaksanaan Cukai 
Barangan dan Perkhidmatan (GST) kepada rakyat.
Presidennya, Azih Muda berkata, pihaknya tiada masalah untuk 
mengadakan perhimpunan itu sekiranya dilihat sebagai jalan terbaik 
untuk memastikan rakyat mendapat gambaran tepat mengenai GST namun perlu
 dibincangkan terlebih dahulu di peringkat jawatankuasa."Sekarang ini pun, CUEPACS dengan kerjasama Jabatan Kastam Diraja 
Malaysia (JKDM) termasuk pegawai-pegawai kerajaan bertanggungjawab telah
 mengadakan beberapa siri turun padang berjumpa rakyat bagi memberi 
penjelasan mengenai GST.
"Kami boleh menganjurkan perhimpunan itu, tetapi tidak mahu 
melibatkan mana-mana parti politik. Kami hanya mengalu-alukan kerjasama
 JKDM, wakil Kementerian Kewangan dan pertubuhan-pertubuhan bukan 
kerajaan (NGO)," katanya ketika dihubungi Mingguan Malaysia, di sini 
hari ini.
Beliau mengulas kenyataan Presiden Perkasa, Datuk Ibrahim Ali yang 
mencadangkan CUEPACS dan Dewan-Dewan Perniagaan supaya menganjurkan 
perhimpunan bagi memberi penjelasan mengenai pelaksanaan GST kepada 
rakyat selain sebagai tindak balas kepada perhimpunan membantah GST 
anjuran pembangkang pada Khamis lalu.
Menurut Azih, program turun padang yang dianjurkan pihaknya akan 
tetap diteruskan dari semasa ke semasa bagi membantu kerajaan 
menyebarkan maklumat mengenai pelaksanaan GST kepada rakyat."Sudah menjadi antara tanggungjawab CUEPACS untuk bantu kerajaan 
memberi penjelasan kepada mereka yang masih belum faham sepenuhnya 
mengenai GST ini," ujarnya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan