• Ramai bimbang gejala 'berubat sendiri'
BAGAN SERAI - Perlaksanaan sistem pengasingan fungsi klinik dan farmasi di negara ini tidak sesuai dilaksanakan buat masa ini kerana dibimbangi akan menyebabkan gejala self medication atau ‘berubat sendiri’ dalam kalangan rakyat.

Ahli Parlimen Bagan Serai, Dr Noor Azmi Ghazali berkata, kebimbangan kemungkinan berlaku gejala merawat sendiri penyakit dihidapi pesakit di negara ini, amat tinggi berikutan langkah ‘doktor diagnosis, farmasi beri ubat’ dijangka akan meningkatkan lagi kos rawatan dan perubatan.

“Apabila sistem dispensary separation (DS) atau pengasingan fungsi klinik dan farmasi diperkenal, ia pasti akan menekan golongan rakyat yang terpaksa menanggung caj konsultasi rawatan dan pembelian ubat yang lebih tinggi.

“Ini kerana pelaksanaan sistem DS akan menyebabkan pengamal perubatan klinik kenakan caj konsultasi jauh lebih tinggi, pada masa sama farmasi juga akan meletakkan harga ubat-ubatan dengan lebih tinggi memandangkan unsur monopoli bakal berlaku di situ,” katanya kepada Sinar Harian.

Dr Noor Azmi berkata, selain membebankan rakyat dari aspek kewangan, perlaksanaan DS dijangka menyusahkan mereka yang terpaksa berkunjung ke dua lokasi berasingan kerana konsultasi doktor dan pengambilan ubat.

“Bagaimana pula kes kecemasan dan sakit pada waktu tengah malam? Sekiranya doktor klinik memberikan preskripsi ubat kepada pesakitnya pada waktu itu, adakah wujud farmasi 24 jam sehari di setiap pekan di negara ini?

“Bagaimana pula dengan farmasi yang tidak mempunyai preskripsi ubat-ubatan pesakit disarankan doktor? Adakah mereka akan menukar jenis atau jenama ubat disarankan doktor dengan sewenang-wenangnya kepada pesakit?

“Paling penting, kita bimbang sistem DS menggantikan sistem pengurusan rawatan pesakit diamalkan ketika ini menjadi huru-hara dan rakyat menjadi mangsa pada akhirnya,” katanya.

Beliau berkata, paling dibimbangkan ialah gejala self medication iaitu pesakit yang mengetahui jenis penyakit dihadapi terus mendapatkan ubat-ubatan daripada farmasi tanpa perlu mendapatkan konsultasi doktor.

“Sebagai contoh, apabila seorang pesakit menghidapi batuk, dia akan mengambil langkah self medication dengan terus membeli ubat batuk dan antibiotik daripada farmasi tanpa mengenal pasti jumlah dos tepat diperlukan.

“Apabila senario sebegini berlaku terutama melibatkan penyalahgunaan dan salah arahan kaedah pengambilan steroid dan antibiotik dalam kalangan pesakit, saya bimbang wujud fenomena rintangan antibiotik dan seterusnya menyebabkan jangkitan penyakit sekunder kepada pesakit,” katanya.

Dr Noor Azmi berkata, perlaksanaan sistem DS sudah dilakukan di negara-negara maju seperti United Kingdom dan Amerika Syarikat, selain beberapa negara yang belum maju seperti Filipina dan Indonesia turut melaksanakannya.

Bagaimanapun katanya, berdasarkan sumber diterima, sistem DS bukan sahaja gagal di kedua-dua negara Asia itu, malah menyebabkan fenomena lambakan pesakit di klinik dan hospital kerajaan.

Katanya, apabila klinik dan hospital kerajaan dipenuhi pesakit yang rata-rata rakyat berpendapatan sederhana dan rendah, maka kerajaan terpaksa menambah bajet negara dalam bidang kesihatan.

“Akhirnya, saya bimbang perlaksanaan DS buat masa ini berkemungkinan akan memberi bebanan kewangan kepada kerajaan sekiranya tidak dikaji kesannya secara menyeluruh,” katanya.

Beliau memberi bayangan modul DS berkemungkinan membunuh industri pengusaha farmasi berskala kecil dan sederhana di negara ini.

Menurutnya, kerajaan disaran menganjurkan dialog melibatkan kesemua pihak terlibat dalam isu ini termasuklah golongan pengusaha farmasi dan pengamal perubatan bagi membincangkan kesan DS.

Sementara itu, Ahli Parlimen Kampar, Dr Ko Chung Sen berkata, cadangan mengasingkan fungsi klinik dan farmasi belum sesuai dilaksanakan kerana farmasi sedia ada tidak mencukupi.

Menurutnya, kebanyakan klinik dibuka 24 jam namun farmasi pula ditutup selepas jam enam petang, jadi perkara ini akan menimbulkan masalah kepada pesakit.
“Sekarang apabila kita ke klinik, selepas mendapat nasihat doktor kita akan ambil ubat sekali tetapi bila cadangan ini dilaksanakan ia akan menyebabkan pesakit terpaksa tunggu esok untuk mendapatkan ubat sekiranya dia ke klinik pada waktu malam,” katanya.

Beliau berkata, hanya ahli farmasi berkelayakan boleh beri ubat kepada pesakit.
“Daripada pengalaman saya, ketika Tahun Baharu Cina beberapa tahun lalu, anak saya ada alahan, kami ke farmasi untuk membeli ubat, namun tidak dapat berbuat demikian kerana tiada ahli farmasi.

“Walaupun saya dan isteri doktor dan tahu ubat apa yang boleh diberikan tetapi ubat itu tidak boleh dijual tanpa pengesahan ahli farmasi,” katanya.

Ahli Parlimen Gopeng, Dr Lee Boon Chye pula berpandangan, pengasingan dispensari akan menyebabkan kos rawatan meningkat.

Boon Chye berkata, apabila doktor memberikan ubat dia boleh memberikan preskripsi dengan tepat tentang sesuatu ubat kepada pesakit.

“Misalnya, Panadol, ia boleh digunakan untuk demam, sakit tulang belakang dan lain-lain, doktor akan terangkan satu per satu termasuk bila dan bagaimana untuk makan ubat tersebut tetapi sebaliknya jika di farmasi,” katanya.

Exco Kesihatan, Pengangkutan Awam, Hal Ehwal Bukan Islam, Integrasi Nasional dan Kampung Baharu Perak, Datuk Dr Mah Hang Soon berkata, kajian terperinci perlu dilakukan sebelum sebarang keputusan dibuat.


Hang Soon berkata, kajian mendalam perlu dilakukan sama ada ia membebankan orang ramai atau tidak dari segi kos dan kemudahan untuk rawatan.